Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-duanya yang merupakan Timbalan Presiden dan Naib Pre­siden UMNO itu juga akan hadir pada mesyuarat tersebut untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, UMNO sentiasa mendengar setiap suara yang diluahkan pemimpinnya dalam memastikan parti itu terus utuh.

“Kita harap mesyuarat khas MT pada 9 Disember nanti akan mencapai keputusan dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan keputusan yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada Muh­yiddin dan Mohd. Shafie akan diberi peluang menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 atau sebaliknya.

Sebelum ini, MT memutuskan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing dan bukannya oleh Timbalan Presiden seperti mana lazimnya.
Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan berlangsung dari 8 hingga 12 Disember ini yang akan bermula dengan Majlis Taklimat Presiden.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan di karnival tersebut berkata, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berusaha membawa kemajuan dan pembangunan kepada setiap lapisan rakyat.