KELEMAHAN JAIPP GAGAL BUKTIKAN MUALAF NORA TEOH BERAGAMA ISLAM

on Thursday, June 12, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memutuskan wanita yang sebelum ini didakwa seorang mualaf, Teoh Cheng Cheng sebenarnya bukan seorang Islam ketika meninggal dunia Sabtu lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Zaim Md Yadim membuat keputusan itu selepas mendapati wujud keraguan dalam keterangan dua saksi yang dipanggil dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) selain mendapati wanita berkenaan masih lagi mengamalkan cara hidup ajaran Buddha seperti yang dinyatakan oleh teman rapat si mati dan anak sulungnya.

Dalam penghakimannya, Zaim berkata, terdapat keraguan pada borang pendaftaran dan sijil akuan memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kepada si mati pada November 1997.

"Terdapat keraguan dalam borang tersebut iaitu isu tarikh yang berbeza, ada tiga tarikh.

"Pertama, tarikh di dalam buku daftar ialah 10 November 1997, tarikh di muka surat pertama borang permohonan untuk masuk Islam ialah 6 Disember 1997 dan tarikh akuan pihak si mati menandatangani borang ialah 16 Disember 1997.

"Plaintif tidak dapat memberi alasan yang konkrit mengenai perkara ini. Mahkamah juga mendapati tarikh 10 November 1997 adalah selepas 10 hari si mati melahirkan anak sulungnya.

"Jadi agak pelik si mati yang baru bersalin hadir ke JHEAIPP untuk mendaftar masuk Islam," katanya.


 Zaim berkata, mahkamah turut mengambil kira keterangan teman rapat dan anak sulung si mati yang juga saksi ketiga dan keempat dalam kes itu.

Beliau berkata, kenyataan anak sulung si mati yang juga saksi keempat bahawa kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha adalah bulan lalu sebelum kematian Cheng Cheng.

"Saksi keempat juga menyatakan ibunya masih mengamalkan cara hidup Buddha dengan menyembah berhala dari tarikh dia didakwa memeluk Islam sehingga mati.
 
"Amalan dan kehidupan si mati itu langsung tidak mencerminkan dia sebagai seorang Islam malah ada bukti di ruang tamu dan luar rumah wanita itu terdapat berhala," katanya.
 
Berdasarkan keterangan serta bukti, beliau berkata, mahkamah memutuskan bahawa wanita terbabit bukan bergama Islam dan mayatnya akan diserahkan kembali kepada ahli keluarga untuk dikebumikan mengikut kepercayaan dan agama dianutinya.

Sebelum ini, MAINPP memohon semakan status wanita berkenaan bawah Seksyen 61 (3) (10) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang iaitu pengisytiharan bahawa seseorang yang sudah mati itu sama ada Islam atau sebaliknya.

Dalam prosiding yang dijalankan semalam, empat saksi dipanggil memberi keterangan iaitu dua saksi MAINPP iaitu wakil pendaftar mualaf dan dua saksi bagi pihak keluarga si mati iaitu teman rapat keluarga serta anak sulung si mati yang berusia 17 tahun.

Keluarga si mati diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala MAINPP diwakili Noor Asyimah Ramli.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.