JATUHKAN MORSHI JUGA DEMOKRASI BAGI RAKYAT MESIR !!

on Monday, August 26, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



- Kegagalan bekas Presiden, Mohammed Mursi membawa perubahan kepada ekonomi Mesir dalam tempoh setahun pemerintahan beliau terus menjadi alasan utama kepada kelompok rakyat yang menyokong pembentukan kerajaan sementara.

Beberapa penyokong kumpulan anti-Mursi atau Tamarod yang ditemui Utusan Malaysia di lokasi tumpuan mereka di Dataran Tahrir di sini berkata, disebabkan itu, tindakan rakyat mendesak Mursi berundur menerusi bantahan besar-besaran di seluruh negara bulan lalu tidak boleh disalah anggap.
Menurut salah seorang daripada mereka, Hisham Ghazi, rakyat Mesir tidak boleh menunggu sehingga tempoh penggal perkhidmatan Mursi berakhir kerana percaya pada waktu itu keadaan sudah terlambat bagi menyelamatkan ekonomi negara ini.

Katanya, kelemahan pentadbiran Mursi cukup ketara bukan sahaja dari segi ekonomi, malah penyelesaian masalah rakyat sehingga membangkitkan kemarahan ramai.

‘‘Bantahan besar-besaran 30 Jun hingga Mursi digantikan 3 Julai lalu bukan tidak demokratik kerana saya percaya majoriti rakyat bersama kami. Maka, itu juga suara ramai.

‘‘Lagipun untuk menunggu tiga, empat tahun lagi untuk pilihan raya baharu diadakan, saya percaya waktu itu sudah terlambat untuk menyelamatkan Mesir daripada kegawatan ekonomi. Justeru, Mursi perlu digantikan untuk menyelamatkan Mesir ," katanya.

Seorang lagi penyokong kumpulan penentang Mursi, Malik Ahmed berkata, beliau percaya jumlah sokongan kepada Mursi tidak seperti mana yang digembar-gemburkan penyokong beliau.

‘‘Rakyat Mesir bersama kami. Kami menyokong kepimpinan kerajaan sementara dan pihak tentera. Mereka lakukan tindakan betul menyingkirkan Mursi demi negara ini.

‘‘Bantahan yang kami gerakkan bulan lalu adalah mewakili majoriti rakyat. Justeru, jika kumpulan pro-Mursi mahu turun ke jalanan, kami mahu tengok jumlahnya. Saya pasti mereka tidak mampu mewakili majoriti seperti kami," jelasnya.

Rakannya, Hussein Tabrawi berkata, selain itu, faktor Mursi yang dilihat cenderung mempunyai hubungan dengan beberapa kumpulan yang dikaitkan dengan pengganas juga bukan suatu yang baik untuk negara ini.

‘‘Kami tidak mahu Mesir menjadi sarang pengganas. Sebab itu Mursi perlu digantikan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Dataran Tahrir hari ini menyaksikan hanya beberapa khemah masih didirikan penyokong pergerakan Tamarod di bulatan di kawasan tersebut.

Selain itu, mereka turut mewujudkan galeri sementara mengenai perjuangan dalam mendesak penyingkiran Mursi yang berlaku bulan lalu.

Tamarod merupakan pergerakan yang ditunjangi golongan sekular Mesir dan kumpulan ini sering bertentangan pendapat dengan Mursi yang berorientasi Islam. - UTUSAN


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.