Khazanah negara di Eropah bakal dibawa semula ke negara !

on Friday, January 4, 2013 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




 Kerajaan Melaka menyasarkan untuk mengumpul puluhan ribu manuskrip Bahasa Melayu di Eropah sebagai usaha pembangunan bahasa itu menerusi Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa mula beroperasi di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata ke arah usaha itu, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Leiden di Belanda yang merupakan pusat Bahasa Melayu terunggul di dunia yang menyimpan koleksi khazanah, buku serta manuskrip Bahasa Melayu.

Katanya lawatan ke universiti tertua di Belanda itu akan diadakan minggu depan dan berharap mendapat kerjasama dalam usaha menyalin ribuan manuskrip untuk disimpan dan dijadikan sumber rujukan dan penyelidikan pusat itu.

“Usaha kali pertama secara besar-besaran ini untuk mengumpul salinan manuskrip serta koleksi lain bagi pusat bahasa terunggul di rantau sebelah sini akan mengangkat martabat Bahasa Melayu ke era kegemilangan sebagaimana sejarahMelaka suatu masa dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pusat itu di Bangunan Yayasan Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan.

Selain Universiti Leiden, Mohd Ali berkata kerajaan Melaka juga akan menjalinkan kerjasama menyalin manuskrip dan dokumentasi Bahasa Melayu yang disimpan di negara Eropah lain seperti England dan Portugal.

Menurutnya pusat kecemerlangan yang diterajui seorang pengarah itu berperanan mengadakan seminar serta bengkel dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

Kerajaan Melaka juga katanya, akan menjalinkan kerjasama mengumpul dan menyalin manuskrip dan dokumentasi Bahasa Melayu yang disimpan di negara Eropah lain seperti England dan Portugal.

Sementara itu, Md Salleh memberitahu Universiti Leiden mempunyai hampir 100,000 manuskrip Bahasa Melayu bermula sejak zaman penjajahan Belanda yang menakluki Nusantara pada kurun ke-17.

“Hampir semua khazanah bahasa Melayu terdapat di Leiden dan saya yakin usaha bersungguh-sungguh kerajaan Melaka ini untuk menyalin semula manuskrip di universiti boleh dicapai,” katanya yang pernah dilantik sebagai profesor pelawat di universiti itu pada tahun 2003 hingga 2006.

Katanya semasa di situ, beliau diberikan peranan untuk menyebarluaskan persuratan, pengajian dan dunia Melayu selain membantu penyelidikan pihak universiti dan universiti lain di Eropah yang mempunyai pusat pengajian Melayu seperti di Britain, Perancis dan Jerman.

Menurut beliau usaha kerajaan Melaka menubuhkan pusat kecemerlangan itu bukan sahaja memberi impak positif dalam perkembangan Bahasa Melayu malah memberi pulangan ekonomi dalam jangka masa panjang. – Bernama


One Response

  1. paktam says:

    Persoalannya mengapa inisiatif ini perlu dilakukan oleh kerajaan Melaka. Mana pergi ahli ahli sejarah dan pengajian Melayu. Masih dan terus tidur.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.