Universiti Sains Malaysia (USM) akan menghantar sekumpulan pengkajinya ke Australia Barat dan Afrika Selatan untuk mengkaji dan mendokumentasikan sejarah peradaban Melayu di sana.
Naib Canselor USM Prof, Datuk Dr Omar Osman berkata kumpulan pengkaji itu juga akan mengkaji sama ada peradaban Melayu di dua negara berkenaan mempunyai kaitan dengan Melayu di Malaysia terutama di Pulau Pinang.
Beliau berkata keputusan untuk menghantar pengkaji ke luar negara merupakan fasa kedua untuk program peradaban Melayu yang dijalankan oleh USM dan dijangka kumpulan pengkaji itu akan dihantar dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.
"Fasa pertama berhubung peradaban Melayu di Pulau Pinang yang telah dijalankan sejak dua tahun lepas hampir siap, semua dokumen, fakta, gambar dan maklumat berhubung kajian itu sedang didokumentasikan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
"Buku berhubung kajian itu dijangka siap penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Pameran Pulau Pinang di Alam Melayu di USM, di sini, hari ini. - Bernama