3 DUN kekal sebagai wakil rakyat
Mahkamah Tinggi tolak permohonan DUN Perak
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar untuk mengenepikan saman pemula yang difailkan oleh tiga anggota DUN masing-masing bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi turut menolak permohonan enam pihak termasuk tiga bekas Exco kerajaan negeri Perak iaitu A.Sivanesan, Tai Sing Ng dan Chan Fook Chye serta tiga pengundi DUN berkenaan untuk bertindak sebagai pencelah dalam kes berkenaan dengan kos.
Secara tidak langsung, ketiga-tiga Adun bebas berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) sehingga hari ini masih kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong.
Dalam saman pemula itu, tiga Adun berkenaan yang menamakan Sivakumar sebagai defendan memohon supaya mahkamah mengisytiharkan kerusi masing-masing tidak kosong dan mereka masih wakil rakyat yang sah setelah Sivakumar memutuskan yang mereka telah mengosongkannya.
Februari lepas, ketiga-tiga wakil rakyat itu keluar parti masingmasing, iaitu Jamaluddin dan Mohd Osman daripada PKR dan Hee daripada DAP, dan ini mendorong Sivakumar mengisytiharkan tiga kerusi itu kosong kerana mendakwa mereka telah menandatangani surat peletakan jawatan selepas menang dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.
Ketua panel peguam yang mewakili ketigatiga Adun itu, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata dua permohonan itu ditolak oleh mahkamah kerana ia tidak menjadi keperluan dalam prosiding dan ia merupakan satu keputusan yang signifikan untuk menyelesaikan isu perlembangaan di Perak secepat mungkin.
Penolakan keduadua permohonan itu merupakan satu keputusan yang sangat penting kerana pihaknya mahu menyelesaikan kebuntuan krisis perlembagaan di Perak dengan cara yang paling berkesan, katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Beliau berkata mahkamah juga telah menetapkan Rabu depan sebagai tarikh pendengaran saman pemula berkenaan.
Bagaimanapun ia bergantung kepada sebarang penghakiman yang akan dibuat di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya berhubung beberapa persoalan perlembagaan pada Jumaat ini.
Sebelum ini, pihak plaintif telah memohon untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berhubung tafsiran Undang-undang Tubuh Negeri Perak mengenai sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau Speaker Dewan Undangan Negeri Perak adalah pihak yang berhak dan berkuasa untuk menentukan sesuatu kerusi DUN itu kosong atau sebaliknya.
Sementara itu, mengenai permohonan enam pihak untuk menjadi pencelah dalam saman pemula itu, seorang lagi peguam plaintif Datuk Hafarizam Harun berkata pihaknya berhujah bahawa bukan setiap orang atau seseorang itu boleh mencelah di dalam kes ini.
Antara alasan yang diberikan oleh hakim untuk menolak permohonan pencelahan oleh enam pihak itu adalah kerana mereka bukan pihak diperlukan dalam kes itu, hak mereka tidak terjejas dengan penghakiman terhadap plaintif manakala bagi tiga bekas Exco yang mendakwa masih Exco yang sah dan akan hilang hak serta elaun jika tidak mencelah pula, hakim menganggap itu hanya hak komersial sedangkan penghakiman memerlukan hak daripada segi undang-undang.
"Bagi tiga pengundi di kawasan DUN berkenaan pula mereka hanya memohon untuk kepentingan politik mereka yang mana bukan dari segi hak dan kepentingan undang-undang di dalam kes ini," katanya.
Esok, Mahkamah Tinggi Ipoh dijadual mendengar satu permohonan deklarasi mahkamah oleh Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya supaya mahkamah mengisytihar tindakan Sivakumar menggantung mereka daripada menghadiri persidangan DUN sebagai tidak sah dan menyalahi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Pada 18 Februari lepas, Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exco berkenaan daripada menghadiri persidangan DUN masing-masing selama 18 bulan dan 12 bulan. BERNAMA
Komen PB
Dalam 3 hari selepas berkempen ini di Bukit Gantang ,kita sudah nampak pelbagai perkara yang sedikit sebanyak telah memberi sedikit kelebihan kepada BN . Hari ini mahkamah membuat keputusan bahawa ketiga-tiga ADUN yang menjadi wakil rakyat bebas mengekalkan kerusi Dun masing-masing. Tentulah Hakim telah membuat pertimbangan yang seadilnya berpandukan perlembagaan negeri Perak untuk membuat keputusan yang penting ini dan ia memberi tamparan hebat buat Nizar dan DAP
rancangan Hujah@9 telah menujukkan kebenaran siapa PAS dan DAP yang cuba mengaburi pemikiran rakyat dengan isu kejatuhan PR dan peralihan kuasa di Perak. Pandangan kedua-dua tokoh ahli panel tersebut (Dato Shafie dan Prof Shad Saleem Faruqi) jelas menunjukkan Tuanku sultan telah bertindak seadil-adilnya mengikut lunas-lunas dan perlembagaan negeri. Berlainan dengan Presiden Majlis Peguam yang baru yang mahu kepada pilihanraya untuk menentukan kerajaan .