Kedutaan Malaysia di Syria ditutup demi keselamatan - Najib

on Sunday, July 22, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah memutuskan semua rakyat Malaysia dan pelajar di Syria dibawa pulang ke tanah air serta merta berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah berkenaan. Beliau juga sudah memberikan kebenaran untuk menutup Kedutaan Malaysia di Syria serta merta dan mengarahkan penjawat awam termasuk Duta Besar Malaysia kembali ke tanah air atas faktor keselamatan.

 "Saya menerima panggilan dari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman selepas berbuka tadi yang meminta izin untuk membawa pulang rakyat dan pelajar kita di Syria berikutan pergolakan yang semakin meruncing.

 "Sehubungan itu saya fikir kedutaan kita wajar ditutup serta merta berikutan perkembangan terkini yang berlaku di sana," katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai bersama kira-kira 300 jemaah di sini Sabtu malam.

 Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Speaker Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin. Anifah dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria dengan segera. Pemindahan itu diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik. Anifah berkata Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut diminta pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan.

 Kesemua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu sehingga kini dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Kementerian Luar juga menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali pulih. BERNAMA


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.