Popular di kalangan ahli parti tidak guna jika tidak popular di kalangan rakyat - Najib

on Sunday, September 13, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


KUALA LUMPUR 12 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak hanya popular di kalangan ahli parti sedangkan pada masa sama mereka gagal memenangi hati rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, jika pemimpin terbabit lupa menjadi popular di kalangan rakyat, mereka sudah pasti akan dihukum dalam pilihan raya akan datang.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak adalah di tangan rakyat bagi menentukan nasib BN dalam setiap pilihan raya.

“Sebab itu saya selalu mengingatkan bahawa tiada guna kita menjadi popular di kalangan ahli parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat.

“Kalau kita popular di kalangan ahli parti, kita boleh menang jawatan dalam parti. Tetapi sama ada parti kita relevan atau tidak, ia bergantung kepada sama ada kita boleh memenangi hati rakyat untuk menyokong BN," katanya.

Beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 yang dihadiri 1,464 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ini adalah kali pertama beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Ucapan selama kira-kira 25 minit itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Sepanjang ucapannya itu, beliau menerima tidak kurang 10 kali tepukan gemuruh daripada para perwakilan.

Najib menegaskan, semua pemimpin parti komponen BN harus sedar bahawa rakyat kini bukan lagi seperti masyarakat pada tahun 1950-an.

“Rakyat sudah cerdik dan pandai menilai dasar-dasar kita. Oleh itu, untuk parti komponen BN kekal relevan, kita mesti membina hubungan dengan rakyat dan menjadi pembela rakyat yang sebenarnya.

“Saya juga telah beri isyarat yang jelas dengan melakukan walkabout (lawatan tanpa berjadual). Kalau saya sebagai Perdana Menteri boleh buat ini, pemimpin-pemimpin lain pun boleh buat.

“Kita hendaklah sentiasa mendampingi orang ramai, merendah diri dan bersikap sederhana. Rakyat benci jika pemimpin angkuh, menyalahgunakan kuasa dan menunjukkan kekayaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, mulai hari ini beliau telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk MIC iaitu parti itu mesti menarik kembali sokongan masyarakat India.

“Perkara lain tidak penting, yang utama ialah untuk memenangi semula sokongan masyarakat India.

“Buatlah kerja bersungguh-sungguh, jangan buat yang tidak patut dibuat. Bersikap merendah diri, pergi ke bawah dan beri khidmat kepada masyarakat India dan Malaysia seperti kata peribahasa, kalau ular menyusur akar, takkan hilang bisanya,” ujar beliau.

Najib juga menerima tepukan daripada perwakilan apabila menyatakan bahawa kerajaan akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada masyarakat India jika kaum itu memberi respons dalam bentuk sokongan besar kepada BN dalam pilihan raya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri melaung-laungkan kata-kata semangat, “Tunjukkan anda bersama-sama BN” sebanyak tiga kali dan disambut teriakan “Ya, ya” daripada perwakilan dan hadirin dan beliau kemudian menambah:

“Kita mempunyai peluang untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat untuk semua kaum.”

Pada awal ucapannya, Perdana Menteri sempat mencuit hati perwakilan apabila menyentuh laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan bekas timbalannya, Datuk S. Subramaniam yang masing-masing mendakwa mempunyai bom hidrogen dan nuklear.

“Sebelum saya datang pada pagi ini, saya sudah dengar heboh, kononnya ada bom nuklear dan bom hidrogen.

“Saya sudah meminta Unit Pemusnah Bom untuk membuat sweeping (pembersihan) dan mereka beritahu saya tidak ada bom dalam dewan di PWTC, jadi kita boleh bersidang dalam keadaan selamat,” katanya disambut dengan tepukan dan gelak ketawa perwakilan.

Komen PB

Najib memang hebat berpidato dan mungkin kita cukup terpesona dengan ucapannya tetapi jika kita sedar mesej yang disampaikan oleh beliau cukup jelas iaitu mahu parti komponen BN terutama MIC harus memenangi semula hati masyarakat India. MIC harus membina hubungan baik dengan rakyat dan menjadi pembela rakyat . KPI utama MIC adalah mudah iaitu menarik semula sokongan masyarakat India semula kepada BN dalam PRU 13 ini nanti .




Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.