Mufti Sangkal Dakwaan Imam Masjid Wilayah Persekutuan Sumpah Saiful Tidak Sah

on Monday, August 25, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kenyataan Imam Masjid Wilayah Pesekutuan, Ramlang Porigi yang mendakwa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos lepas tidak sah, tidak boleh diterima pakai, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Beliau berkata imam itu yang menjadi saksi kepada sumpah tersebut tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fekah, selain hanya berjawatan pegawai rendah.

"Saya dapat maklumat dia pegawai rendah sahaja. Kita perlu tahu apa pengkhususannya, kalau dia hanya dalam bidang tajwid bukan hukum hakam maka dia berhak cakap pasal tajwid sahaja bukan soal hukum," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan imam tersebut yang mendakwa sumpah Mohd Saiful tidak sah dan tidak mengikut lunas-lunas Islam.

Wan Zahidi yang bimbang dengan kenyataan itu, menyifatkannya sebagai pandangan peribadi imam tersebut yang mana boleh menimbulkan kekeliruan umat Islam.

Beliau berkata soal hukum tidak boleh berdasarkan fikiran sendiri yang mana boleh menjadi dosa kerana ia menjadi panduan orang ramai.

"Ini adalah hukum Allah, sebab itu saya sendiri bila bercakap ada kitab di hadapan, kerana saya tidak berani malah berdasarkan ingatan pun tidak boleh.

"Saya nampak dia memberi kekeliruan kepada umat Islam kerana tidak membuat apa-apa rujukan sebelum memberi kenyataan. Saya sangsi beliau boleh membaca kitab fekah," katanya sambil merujuk kitab fekah "Hasyiah I'anah al-Talibin" yang menjadi rujukan ulama seluruh dunia.

Mengulas lanjut kenyataan imam tersebut yang menyatakan sumpah mubahalah seharusnya dibuat selepas kes tersebut selesai dibicarakan di mahkamah, Wan Zahidi berkata perkara tersebut adalah tidak benar.

Katanya sumpah yang dilakukan Mohd Saiful adalah di luar mahkamah dan ia tiada kaitan dengan prosedur di dalam mahkamah.

Mengulas lanjut mengenai sumpah yang dilakukan Mohd Saiful, Wan Zahidi berkata sumpah yang dilakukannya itu adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan.

Beliau berkata wakil pihak Mohd Saiful sendiri ada bertanya kepada beliau untuk mendapatkan nasihat yang betul tentang pelaksanaan sumpah itu.

Katanya perkara yang digunakan untuk bersumpah perlulah dengan menggunakan nama Allah atau sifat-sifatnya yang didahului dengan huruf "Qasam" atau sumpah iaitu "waw", "ba" dan "ta".

"Sumpah itu boleh disebut dengan "Wallahi, Wabillahi, Watallahi, tetapi jika hanya menggunakan salah satu daripadanya sudah memadai," katanya.

Beliau berkata saksi juga tidak diperlukan ketika melafazkan sumpah kerana ia atas kerelaan individu itu sendiri.

"Tidak kira di mana pun melakukan sumpah, siapapun saksinya yang penting menyebut nama Allah. Soal tempat, memegang al-Quran, selepas Asar hari Jumaat hanyalah cara-cara pemberatan sumpah sahaja," katanya.

Wan Zahidi juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan memegang al-Quran ketika melakukan sumpah menyamai ajaran Kristian.

Beliau berkata mengikut pendapat Imam Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hambali, jika seseorang itu melakukan sumpah dengan meletakkan tangan ke atas al-Quran ia adalah sah.

Katanya begitu juga penggunaan perkataan "Amin" dalam sembahyang atau ketika berdoa yang sama dengan "Amen" yang digunakan agama Kristian ketika upacara doa di gereja hanyalah persamaan zahir dan tidak boleh dianggap meniru dengan upacara agama tersebut.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya dengan senario politik hari ini yang mana menggunakan agama untuk kepentingan peribadi hingga menimbulkan banyak fitnah.

"Saya bimbang...saya takut (dengan senario ini), agama jangan dipolitikkan. Saya menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan akan hal ini," katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.