Pengendali portal ‘Malaysia Today’, Raja Petra Kamarudin berkata, mereka tidak menyangka Najib mampu bertahan lama setelah diramalkan mungkin meletak jawatan enam bulan lalu.

Beliau mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tahu bahawa satu-satunya cara untuk menjatuhkan Najib adalah dengan menyekat kemasukan dana politik untuk UMNO.

Najib tidak mampu membiayai UMNO dan parti itu tidak mempunyai dana sendiri,” katanya seperti dipetik daripada portal tersebut (http://www.malaysia-today.net) hari ini.

Namun, Raja Petra menambah, dana politik RM2.6 bilion yang diterima Najib daripada penderma asing telah menyebabkan Dr. Mahathir kecewa.

Beliau menjelaskan, sumbangan tersebut membantu usaha Najib memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

“Mereka semua tahu dana berkenaan berasal dari Asia Barat dan bukan diambil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walau bagaimanapun, mereka masih memutarbelitkan fakta kerana orang ramai yang membenci UMNO dan kuasa politik orang Melayu mempercayainya,” jelasnya.

Raja Petra memberitahu, kumpulan ‘anti-Najib’ tidak dapat menerima hakikat mereka telah tewas kerana isu derma RM2.6 bilion tidak memberi kesan terhadap Perdana Menteri.

“Memandangkan isu 1MDB hampir selesai, segala-galanya akan berakhir untuk kumpulan ‘anti-Najib’,” katanya.