TERKINI! TARIFF ELEKTRIK AKAN DITURUNKAN MULAI JANUARI DEPAN!
Ini dua keputusan penting yang dibuat kerajaan menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula hari ini sehingga Sabtu depan.
Yang pertama adalah tarif elektrik untuk Semenanjung, Sabah dan Labuan dikurangkan antara 3.3 peratus hingga 5.9 peratus mulai Januari tahun depan.
Penurunan kadar tarif elektrik itu dijangka membabitkan pengguna industri dan isi rumah.
Tarif baharu itu dijangka berkuat kuasa selama enam bulan memandangkan kerajaan mengkaji semula kadar tersebut setiap setengah tahun.
Sumber memberitahu, pengurangan tarif boleh dilakukan melalui rebat Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).
Selain itu, kejatuhan harga minyak dunia telah memberi kesan kepada harga gas asli yang digunakan untuk menjana tenaga.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili akan mengadakan sidang akhbar mengenai tarif elektrik pada 4.30 petang ini di kementeriannya di Putrajaya.
Sementara itu, mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu juga bersetuju supaya kenaikan harga tiket untuk Komuter, transit aliran ringan (LRT), Monorel dan Express Rail Link (ERL) dinilai semula.
Difahamkan sebahagian menteri telah menyuarakan bantahan mengenai kenaikan harga tiket pengangkutan awam tersebut.
"Kabinet mengarahkan pihak berkenaan mengkaji semula kenaikan harga dan menyerah laporan dalam mesyuarat seterusnya.
"Keputusan lanjut akan dibuat dalam mesyuarat akan datang," kata sumber.-8/12/2015
Sumber: Agenda Daily