PAS akui pertemuan dengan Umno

on Monday, July 21, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Jul 21, 08 1:55pm
PAS mendedahkan parti itu memang mengadakan pertemuan dengan perdana menteri seperti pendedahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam melibatkan beberapa pemimpin tertinggi parti "bagi menjayakan muzakarah dengan Umno."

Berbeza dengan tanggapan naib presiden Datuk Husam Musa yang menganggap kenyataan Abdullah itu bertujuan memecah-belahkan PAS, presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pertemuan-pertemuan tersebut telah dimaklumkan kepada majlis syura dan jawatankuasa pusat PAS.

Menurut kenyataan Abdul Hadi hari ini, pertemuan pertama diadakan tidak lama selepas pilihanraya umum Mac lalu melibatkan timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, ketua pengarah pilihanraya PAS dan juga pesuruhjaya Terengganu Datuk Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad.

Tempat pertemuan tidak dinyatakan.

"Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara pertemuan kedua diadakan di bangunan Parlimen antara Nasharudin dengan Abdullah - masa tidak disebut.


Kenyataan penuh presiden PAS seperti dimuatkan di media web rasmi parti itu Harakahdaily.net hampir tengah malam tadi:

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB perdana menteri yang juga selaku presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB perdana menteri berlaku sejurus selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu yang melibatkan timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, ketua pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan timbalan presiden PAS dan YAB perdana menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

Presiden PAS
20 Julai 2008

malaysiakini.com


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.