Keterbukaan pilihan Shabery perjuang pendirian kerajaan

on Monday, July 21, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Oleh Hishamuddin Aun (hishamaun@nstp.com.my)

Orang ramai boleh buat pertimbangan bersandarkan hujah dan penjelasan

LAMA sesudah selesainya debat kenaikan harga minyak malam Selasa lalu, telefon bimbit Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak henti-henti menerima SMS. Pada hitungan terakhir, lebih 300 pesanan ringkas diterimanya hingga keesokan hari.

“Macam baru menang pilihan raya,” katanya.


Blognya, notashabery.com, turut tersenarai antara lima tertinggi paling kerap dilayari, kecuali ia tidak hanya memuatkan ucapan syabas selain kupasan terhadap butir bicaranya, malah juga caci-maki.
Menteri Penerangan itu, yang terkenal murah senyum - malah ketika berdebat pun turut tidak lekang dengan senyuman - masih mampu terus tersenyum. Baginya, tiada langsung sebab untuk bermuram.

Di Parlimen keesokannya, ramai penyokong kerajaan mengucapkan tahniah. Kalau pun ada sindiran atau renungan tajam dari barisan pembangkang, itu dianggapnya lumrah. Lagipun, bukan wakil pembangkang yang diharapkannya untuk dimenangi hati mereka.

Demikian juga beliau menyimpulkan keputusan debat ‘Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’ anjuran laman web AgendaDaily pada malam itu ? sebahagian memberi kemenangan kepadanya, manakala sebahagian lagi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tergantung kepada kecondongan masing-masing.



“Saya tidak terlalu tersentuh dengan pandangan bahawa Anwar yang unggul pada malam itu,” kata Shabery di pejabatnya kelmarin. “Seperti mana-mana debat yang ada pencadang dan ada pembangkang, saya rasa saya sudah melakukan tugas saya.”

Cuma yang berbeza ialah Anwar yang menjadi pencadang dan Shabery pula pembangkang ? berlawanan dengan keadaan sebenar.

“Saya bukan berdepan sembarangan pendebat. Jika saya dilihat berupaya merobek sedikit (kekebalan) Anwar, saya anggap itu satu pencapaian. Dan saya juga rasa berjaya membuat Anwar kelihatan kerdil walaupun untuk seketika,” katanya.

Seperti dikatakannya sebelum debat berkenaan, tujuannya hanyalah untuk mempertahankan dasar dan keputusan kerajaan selain memanfaatkan peluang menyerlahkan Anwar bukanlah hebat sangat.

“Kalau nak cakap soal siapa menang dan siapa kalah, maka bukan Anwar yang jadi lawan. Saya boleh cabar Ketua Penerangan PKR untuk berdebat,” katanya.

Dalam pada itu, Shabery yang mempertaruhkan jawatannya selaku Menteri Penerangan andainya dianggap gagal dalam debat berkenaan di sebalik sedar ia tugas amat berat, mengakui harus tersilap percaturan.

Persiapannya kurang seminggu, itu pun sekembalinya dari satu persidangan di Venezuela, 9 Julai lalu.

“Saya tidak duga ‘point’ Anwar (cadangan turunkan harga minyak cuma 50 sen seliter daripada RM2.70 sekarang berbanding ucapannya berasaskan RM1.92 seliter sebelum Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu) semudah itu.

“Seketika saya rasakan debat itu tidak harus dilanjutkan tapi tak mungkin saya boleh buat begitu. Lihatlah Anwar boleh mengubah-ubah modal perbahasannya sedangkan jika dirujuk ucapannya sebelum pilihan raya, dia patut cadang harga lebih rendah dari itu,” kata Shabery.







Keduanya, dengan bermirip kepada debat pemilihan Presiden Amerika Syarikat, tanggapannya ialah tidak salah untuk menyerang kredibiliti lawan kerana itu juga suatu kekuatan perdebatan.

“Saya tidak serang secara peribadi. Tapi saya nak ingatkan penonton apa yang Anwar cakap atau buat ketika dia pemimpin pelajar, ketika dia dalam kerajaan, dengan apa yang dikatakannya sekarang.

“Bagi seseorang yang menjanjikan itu dan ini sekarang, dia harus mempertahankan apa yang dikatakannya pada masa lalu.

“Anwar tidak pun punya kredibiliti untuk pertikai soal IPP (Pengeluar Tenaga Persendirian), malah dia tidak lakukan apa-apa untuk pinda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) ketika jadi Menteri Pendidikan.

“Apabila saya bangkitkan soal itu, saya jangka orang ramai boleh terima, rupa-rupanya tidak, saya dikatakan main kasar. Debatnya saja mirip pemilihan Presiden Amerika tetapi saya lupa audiensnya tidak,” katanya.

Menoleh ke belakang, Shabery menganggap debat itu menyingkap lembaran baru dalam erti keterbukaan dalam menyuarakan pendapat ? tanpa perlu demonstrasi jalanan, tanpa kata nista dan cacian.

Orang ramai boleh membuat pertimbangan sendiri bersandarkan kepada hujah dan penjelasan, antaranya subsidi minyak lebih tinggi bukanlah kaedah terbaik membendung inflasi.

Keterbukaan, katanya, tidak semestinya memungkinkan pergaduhan atau sifat perkauman.

“Kerajaan tidak akan tumbang hanya kerana satu atau dua debat dibenarkan,” kata Shabery yang mempertahankan pendiriannya itu adalah konsisten dari zamannya sebagai pelajar, ketika di dalam Semangat 46 mahupun hingga kini.

Diberikan sedikit kuasa, keterbukaan seperti ini yang akan saya perjuangkan agar pada masa depan, saya dapat tunjukkannya sebagai ‘track record’ saya. Generasi masa depan lebih saya beratkan,” katanya.

Jika benar dianggarkan 4.4 juta menonton ? ketiga terbesar tahun ini di belakang Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular ? Shabery harus semakin dikenali melalui debat malam itu walhal ia bukan pun acara hiburan.

Harus beliau sendiri amat terperanjat keesokan selepas debat itu apabila doktor sebuah klinik di Jalan Imbi, Kuala Lumpur yang ditemuinya untuk merawat luka kecil dicakar kucing di kakinya, enggan menerima bayaran.

“Saya berkeras untuk membayar tapi doktor itu juga berkeras enggan menerimanya dengan alasan: ‘Saudara sudah menjalankan kerja dengan baik malam tadi’.”

Nadanya tidak pun berbeza apabila Shabery menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya pagi kelmarin, untuk menerima ucapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi: “You did a good job.”

Apakah kesan positif kepadanya menjelang mesyuarat agung bahagian Umno, Oktober nanti yang disusuli perhimpunan agung parti, dua bulan kemudian?

“Saya tidak berganjak daripada pendirian untuk tidak bertanding sebarang jawatan kerana debat ini bukan untuk kepentingan politik peribadi,” katanya.

Di sebalik senyumannya yang terus meleret, harus tersembunyi kecekalan.

(Rencana ini tersiar dalam Berita Minggu 20 Julai 2008)


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.