KAJIAN REMAJA SONGSANG MAMPU GUGAT KESELAMATAN NEGARA !

on Monday, November 10, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




 Perlakuan songsang di kalangan remaja hari ini perlu ditangani segera kerana dalam jangka masa panjang ia boleh menggugat keselamatan negara, menurut Penolong Pengarah Kanan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Rosly Abas.

Beliau berkata kajian komprehensif yang dijalankan mengenai permasalahan remaja mendapati trend yang semakin berkembang dan membimbangkan.

Kajian itu dilakukan di George Town, Pulau Pinang selama tiga tahun sejak 2011.

Rosly berkata kajian mendapati jika dahulu bohsia akan menjadi GRO di kelab malam tetapi kini mereka sanggup bertindak sehingga menjadi keldai dadah, yang diperalatkan sindiket antarabangsa.

"Kajian saya mendapati perlakuan songsang remaja sekarang bukan terhenti setakat umur awal remaja sahaja," katanya.

Beliau berkata apa yang membimbangkan, gejala songsang di kalangan remaja itu kalau tidak terkawal, akan menyebabkan wujudnya satu kumpulan lain iaitu ekstremis.



"Manakala kumpulan ekstremis ini pula melihat perlakuan songsang remaja itu perlu dihentikan. Akhirnya akan berlaku pertembungan dua kumpulan pelampau, satu daripada kumpulan remaja itu, dan satu lagi yang ingin hapuskan kumpulan remaja," kata Rosly.

"Dulu kalau kita cakap pasal mat rempit, setakat waktu sekolah je, lepas bekerja mereka tinggalkan.

"Sekarang, kajian mendapati mat rempit cuba bidang baru selepas mahir merempit. Mereka terlibat pula dengan sindiket dadah, jadi ketua sindikit atau "pusher", yang sampai ke peringkat antarabangsa," kata Rosly kepada BERNAMA pada majlis konvokesyen ke-27 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.

Pada majlis konvokesyen itu, Rosly menerima ijazah Sarjana Sastera (Kerja Sosial) kerana menjalankan kajian berkenaan.

Menurut Rosly, pengaruh rakan sebaya juga menjadi penyebab masalah di kalangan remaja berikutan sikap mereka yang suka mencuba sesuatu.

"Nak cuba syabu, nak rasa jadi mat rempit, nak jadi hero di kalangan rakan-rakan," kata beliau.



"Dua tiga hari ni kecoh dengan isu buli di sekolah. Ini semua masalah kerana keinginan remaja untuk bebas," tegas beliau.

Rosly berkata perlakuan songsang remaja ini perlu ditangani segera sebelum ia menggugat keselamatan negara.

Pendidikan di sekolah adalah cara terbaik menangani permasalalah ini, katanya.

"Sekolah perlu memupuk nilai-nilai disiplin yang lebih tegas. Selain itu pendidikan di rumah juga penting.

"Namun, perhatian ibu bapa kini agak nipis, tumpuan kepada anak-anak kurang berikutan cabaran hidup masa kini," katanya.

Rosly menarik perhatian bahawa remaja merupakan aset penting kepada negara dalam membina bangsa dan ia memerlukan komitmen semua pihak.

"Daripada 30 juta rakyat Malaysia, remaja membentuk lebih kurang lima atau enam juta," katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.