Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyelar pihak yang mendakwa pemimpin Umno lebih mementingkan perhimpunan agung yang berlangsung sekarang berbanding banjir yang melanda beberapa negeri.
Beliau berkata, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing meninggalkan perhimpunan pada Khamis dan Jumaat untuk meninjau kawasan terjejas dan keadaan mangsa banjir.
"Apa yang pembangkang dakwa itu memang pembohongan...Semalam presiden tinggalkan kami (perwakilan perhimpunan) di PWTC yang setahun sekali sahaja berjumpa, untuk pergi ke kawasan banjir khususnya di Pahang," kata Shahrizat kepada pemberita di luar perhimpunan itu.
Selepas menyampaikan ucapan dasar semalam, Najib bergegas ke Pahang manakala Jumaat Muhyiddin pula berada di Terengganu melihat dengan lebih dekat keadaan banjir selain bentuk bantuan yang diperlukan. Sambil menegaskan keadaan banjir turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk menteri besar, menteri, anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri, Shahrizat berkata ada perwakilan dari kawasan terjejas pulang ke kawasan masing-masing.
Shahrizat berkata, kira-kira 4,000 anggota Skuad Sayang Wanita Umno berganding dengan anggota Putera Umno di bawah kendalian Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu mangsa di kawasan terjejas. Mereka juga akan menawarkan tenaga kepada pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya.
"Mereka turun sebagai sukarelawan membantu mangsa di rumah atau jika diperlukan di pusat-pusat pemindahan banjir. Skuad Sayang mempunyai kepakaran membantu mangsa banjir kerana lebih lima tahun, apabila ada kejadian banjir, Skuad Sayang menjadi antara sukarelawan pertama membantu mereka," katanya.
Shahrizat berkata, pergerakan itu juga telah melancarkan Tabung Bantuan Mangsa Banjir Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno bagi meringankan beban mangsa banjir.