Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang akan memakmur dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, kata Pengerusi BN Negeri, Teng Chang Yeow.
Ia merangkumi semua aspek dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang bakal menjadi enjin baharu kepada Pulau Pinang selain sector pembuatan yang menjadi penyumbang kepada ekonomi, jelasnya selepas melancarkan manifesto tersebut di sini malam ini. Manifesto yang menggariskan 19 teras utama dan 26 aku janji itu bertemakan ‘Pulau Pinang Yang Unggul’.
Teng berkata pertumbuhan ekonomi tidak boleh lagi bergantung hanya kepada sektor pembuatan, sebaliknya memerlukan enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu, bagi mengelak Pulau Pinang berdepan kemelesetan ekonomi yang serius.
“Enjin pertumbuhan ekonomi baharu yang dikenal pasti ialah dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan, berikutan kedudukan strategik Pulau Pinang di kawasan segi tiga emas yang turut meliputi selatan Thailand dan utara Sumatera.