Bincang dulu isu ISA

on Wednesday, February 25, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menuntut Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub mengadakan perbincangan mengenai isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah tertangguh sejak tiga bulan lalu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membuat tuntutan itu ketika Salahuddin menghantar surat cabaran supaya Dewan Pemuda Pas berdebat dengan Pemuda UMNO berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Parlimen hari ini.

Khairy berkata, beliau tidak pernah lupa jemputannya kepada Salahuddin untuk membincangkan isu ISA tiga bulan lalu.

''Hari ini Dewan Pemuda Pas minta bincang isu PPSMI pula.

''Saya sudah tiga bulan minta dia bincang tentang ISA tapi masih belum sampai ke meja rundingan," katanya ketika menerima surat cabaran berdebat mengenai isu PPSMI yang ditujukan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengenai cabaran Dewan Pemuda Pas untuk berdebat mengenai isu PPSMI, Khairy menambah, perkara berkenaan mesti dibincangkan terlebih dulu memandangkan pemilihan parti sudah semakin hampir.

''Pemuda UMNO akan membincangkan jawapan kepada surat Dewan Pemuda Pas yang disampaikan kepada saya hari ini," katanya.

Sementara itu, Salahuddin menjelaskan, perbincangan mengenai ISA tertangguh kerana beliau menunaikan fardu haji, terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dan kemelut politik di Perak.

''Justeru hari ini saya ingin maklumkan saya bersedia mengadakan perbincangan tidak formal empat mata dengan Khairy minggu depan di satu bilik di Parlimen. Ia bukanlah satu debat tapi sekadar perbincangan saja," katanya.

Mengenai isu PPSMI, jelas Salahuddin, ia sudah menjadi isu masyarakat Melayu dan sayap Pemuda dari dua parti yang besar dalam negara perlu memberikan input.

''Input yang diberikan akan membolehkan keputusan lebih tepat dan berlandaskan realiti dicapai berhubung isu PPSMI. Ini adalah demi masa depan negara," katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.