Anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan kerana promosi Melaka

on Saturday, October 11, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan kerana promosi Melaka
11/10/2008 7:14pm
MELAKA 11 Okt. — Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk “One Two Ka Four” di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.
“Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort di Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas istiadat penyampaian anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.
Mohd Ali berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.
“Kalau kita hendak buat promosi Melaka secara sendiri melalui sesuatu filem yang ditonton jutaan orang di seluruh dunia tentu kosnya bernilai beratus juta ringgit,” katanya.
“Melaka mempunyai banyak tempat pelancongan menarik seperti Sungai Melaka, Menara Taming Sari, Eye On Melaka dan tempat-tempat bersejarah yang menarik untuk filem seperti filem Hindustan. Kawasan lain di dunia pernah ditonton oleh orang ramai tetapi Melaka belum ditunjukkan secara menyeluruh,” katanya.
Mohd Ali berkata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mencadangkan kepada Mohd Khalil supaya pelakon Bollywood itu diberi anugerah bagi membantu Melaka menjadi terus popular lebih-lebih lagi selepas Melaka mendapat pengiktirafan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Katanya Tun Daim sedang menguruskan tarikh yang sesuai untuk membawa Shah Rukh Khan datang ke Melaka menerima anugerah berkenaan, mungkin dalam tempoh sebulan ini.
Beliau juga berkata kerajaan negeri mahu menjadikan Melaka tempat perfileman antarabangsa, apabila Melaka popular maka Malaysia pun popular.
Terdahulu, semasa berucap pada istiadat penganugerahan itu, Mohd Ali berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada 10 agenda untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Agenda berkenaan ialah menarik lebih banyak lagi pelaburan, memperkukuhkan penggunaan domestik; mendapatkan peruntukan persekutuan yang lebih besar memandangkan sumbangan negeri dari segi pelbagai cukai adalah besar kira-kira RM1.9 bilion setahun; mengutamakan bidang bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), industri terpilih dan asas tani yang merupakan jentera baru pertumbuhan ekonomi dunia.
— BERNAMA

p/s kontroversi juga anugerah ini ,pasti akan menjadi isu di Malaysiakini dan Pas di ceramah2nya. ada asas nya juga pemberian anugerah itu .tidak sangka juga Tun Daim sekarang ni seperti Agent Bollywood kot kerana memperomosi nama SRK dalam list datuk dr Melaka.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.