Menteri masuk kampung

on Thursday, May 8, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Tanggal April 26 dan 27 memberi kepuasan serta pengalaman penuh bermakna kepada saya dan isteri apabila kami membuat lawatan serta bermalam di rumah penduduk kampung di Pulau Pinang dan Kedah.

Bukan itu sahaja, malah saya dan isteri Asbi Rohani sempat beramah mesra dengan penduduk setempat sambil menyelami kesusahan serta kesulitan yang mereka hadapi.

Ini semua saya lakukan semasa membuat lawatan kerja bagi melihat sendiri kemiskinan di luar bandar serta bertemu dengan ketua-ketua kampung serta pengawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat atau Kemas.

Destinasi hari pertama di Kampung Telok, Sungai Dua, Seberang Perai, saya dan isteri ke rumah Puan Zainab Osman, berusia 71 tahun dan mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya lumpuh. Mereka berumur dari 41 tahun hingga 54 tahun.

Saya dan isteri tersentuh hati apabila melihat Puan Zainab membelai anak-anaknya dengan penuh kasih sayang walaupun dalam keadaan daif dan serba kekurangan.

Melihat keadaan itu, saya mengarahkan KEMAS memberi bantuan sepenuhnya, bukan sekadar bantuan makanan kerana Puan Zainab memerlukan perhatian lebih dari itu.

Begitu juga di Kampung Cheenam, Nibong Tebal, dimana Puan Sabariah yang tinggal dalam rumah bertiang yang usang membela seorang anak cacat berumur 18 tahun. Saya mengarah KEMAS membina sebuah rumah yang lebih selesa dan berlantai simen bagi menyenangkan beliau membela anak yang cacat.

Pada sebelah malamnya, saya dan isteri bermalam di sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Pulut di Baling, Kedah. Kesempatan ini saya sempat berjemaah di masjid Kampung Betong sambil beramah mesra dengan anak kariah di situ.

Dalam majlis dialog bersama lebih 100 penduduk Kampung Sungai Krik pula, saya telah meminta ibu bapa supaya berhati-hati dengan anak-anak perempuan mereka agar tidak terpedaya dengan lelaki warga asing serta terjebak dalam kancah maksiat atau jenayah pengedaran dadah.

Seawall pagi 27 April, saya berpeluang berjemaah Suboh di Masjid Kampung Betong, bersembang sambil menghirup kopi dan menjamah kuih kampung di beranda masjid. Kami bercerita bagaimana hendak meningkatkan kemajuan di kampung dan bagaimana untuk menambat hati anak-anak mjuda agar balik ke kampung untuk sama-sama membangunkan kampong halaman sendiri.

Saya juga sempat menyertai gotong-royong membersih sekitar masjid itu. Saya juga sempat mengadakan majlis dialog dengan qariah Kampung Jubai Bawah di Kulim, Kedah, untuk mendengar dan melihat sendiri keluhan penduduk.

Sesungguhnya, pulang dari sana, saya dan isteri berasa puas kerana kami dapat mendengar sendiri keluhan penduduk kampong serta menyelesaikan serba sedikit masalah-masalah rakyat yang kami lawati.

Saya akan terus membuat lawatan sambil bermalam di kampung-kampung setiap tiga minggu sekali untuk melihat serta menyelesaikan masalah-masalah rakyat sekadar yang terdaya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.