Azizan berang difitnah letak jawatan !

on Wednesday, February 8, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini berkata beliau tidak meletakkan jawatan seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal berita.

Azizan, yang menyifatkan laporan portal berita itu sebagai kebudak-budakkan, berkata spekulasi beliau meletakkan jawatan itu adalah serangan psikologi oleh orang yang takut akan kepimpinan dan tindakan tegas beliau.

"Sejak malam tadi, saya terima panggilan berkenaan perkara itu. Saya tidak akan melayan perkara itu... ini macam budak-budak. Mereka serang saya kerana mereka tidak yakin dengan diri mereka," kata Azizan (kanan) ketika dihubungi.

Azizan ditanya mengenai laporan portal KL-today.com semalam memetik sumber yang kononnya mendapat maklumat daripada Pejabat Menteri Besar mendakwa beliau
sedang menyediakan surat peletakan jawatan dan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri besar dalam beberapa jam lagi.

Spekulasi itu adalah yang terbaru terhadap Azizan berkenaan kenyataannya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Ditanya pihak yang mungkin menyebarkan spekulasi itu, Azizan berkata ia mungkin kumpulan sama yang mahu beliau disingkirkan daripada parti.

"Boleh jadi... saya tak tahu. Ia mungkin juga orang di luar parti kerana mereka mahu melihat kerajaan negeri pimpinan PAS menjadi lemah. Semalam, saya ada di pejabat sampai pukul 6.30 petang... saya hairan bagaimana perkara seperti itu boleh keluar," katanya.

Katanya ini bukan pertama kali perkara seumpamanya beliau alami sejak menjadi menteri besar Kedah pada 2008.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.