Kisah Bloggger Mesra Kerajaan dalam Utusan

on Wednesday, December 1, 2010 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Terima kasih kepada sdr Zaini Hassan yang mengiktiraf peranan bloggger mesra kerajaan seperti PB dan rakan2 yang lain yang siang dan malam menentang Pakatan Rakyat . Jarang sekali hasil kerja bloggger ini dipandang oleh banyak pihak malah ada Ketua Pemuda UMNO negeri itu kata blog ini orang dah tak baca , semua orang la ni dok layan facebook . Facebooker mana ada create isu , semua bahan diambil dari blog juga ..

Ikuti rencana menarik pandangan dari kolumnis terkenal Utusan ini .



MALAM Rabu minggu lalu saya berpeluang menemui para blogger mesra-kerajaan yang hebat-hebat dalam satu forum di Petaling Jaya. Mereka merupakan blogger yang berhempas-pulas siang dan malam menyajikan pelbagai maklumat bagi membantu kerajaan, UMNO, BN dan orang Melayu.

Bahan-bahan dalam blog mereka cukup kuat. Siap dengan gambar, grafik dan fakta-fakta yang cukup mengkagumkan, yang media arus perdana – akhbar-akhbar, radio dan televisyen – gagal melakukannya (lagi).

Sebagai wartawan akhbar yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan konvensional melebihi 20 tahun, saya melihat revolusi para blogger pasca reformasi 1997/98 ini berupaya memporak-perandakan subjek mereka. Dalam dunia propaganda dan perang psikologi media di Malaysia, mereka ini cukup bernilai.

Bagi saya, yang menjadi ahli panel forum malam itu, mereka sebenarnya ialah penggerak utama (the prime-movers) dalam peperangan siber di negara ini. Diakui pada sebelum, ketika dan selepas reformasi itu dulu, kemunculan mereka ini cukup memudaratkan kerajaan memerintah.

‘‘Saya sebagai penggerak laman web Mahazalim serta Mahafiraun ketika itu berjaya memporak-perandakan pemikiran rakyat terhadap Mahathir,” kata Anuar Md. Nor, blogger yang kini menggerakkan blog UMNO Reform atau pembaharuan UMNO yang mesra-kerajaan.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui kekuatan media baru itu. Pemikiran rakyat ketika itu -- sama ada faktanya sahih atau tidak – telah dibentuk oleh media tersebut.

Persepsi rakyat terhadap kerajaan, para pemimpin parti, UMNO dan BN ketika itu, dicorak oleh mereka. Bagi yang tidak boleh mencapai siber, bahan-bahan daripadanya dicetak dan diedarkan ke seluruh pelosok bandar dan kampung.

Revolusi wartawan siber ini telah diwujudkan dengan begitu cepat dan amat menarik sekali. Mereka berupaya merunsingkan semua pihak.

Namun sebagai pemimpin bijak, Dr. Mahathir ketika itu tidak kalut. Malah beliau mewujudkan koridor raya multimedia bagi memberi ruang yang lebih luas bagi medium baru ini berkembang.

Hari ini peranan blog kewartawanan baru itu menjadi satu fenomena. Ia amat penting dalam perang propaganda politik dan sosial di negara ini. Dr. Mahathir sendiri melalui chedet.com berkecimpung menulis melalui laman siber itu. Blognya adalah blog paling popular di negara ini.

Tapi siapa prime-movers yang dimaksudkan itu? Mereka boleh ditentukan dalam beberapa kategori. Jika diikut format blog Rocky‘s Bru (yang dianggap oleh para bloggers mesra-kerajaan sebagai penghulu mereka), ia terbahagi kepada yang utama; Journo-Bloggers, Socio-Political (So-Po), So-Po Anonymous (penulisnya tidak dikenali), Politicians (Ahli-ahli Politik), Blog Gambar dan lain-lain.

Journo-Bloggers sendiri terdiri daripada wartawan dan bekas wartawan media konvensional yang menulis blog di atas kapasiti peribadi. So-Po pula terdiri daripada pelbagai pihak termasuk para profesional dan bergerak aktif meluahkan perasaan dan mendedahkan fakta-fakta yang cukup mengancam. Antaranya Zakhir Mohd atau Big Dog melalui blognya Thirteen Million Plus Ringgit, Syed Azidi AlBukhary melalui blognya yang cukup anti pemerintah dulu, Sheih Kickdefella.

Begitu juga dengan Syed Akbar Ali melalui blog OutSyed The Box – yang analisis terbarunya cukup analitikal dan tidak termampu ditulis oleh wartawan akhbar arus perdana (sekarang).

Beliau menggarap corak pemilihan DAP secara cukup menarik. Bagaimana Teresa Kok dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor – walaupun corot di tempat kelima ke bawah. Sayang sekali tulisan seperti itu tidak dapat dilakukan oleh wartawan akhbar dengan cepat. Syed Akbar – seorang bekas ahli bank, lulusan luar negara dan kini berniaga kedai emas – berjaya membuat analisis mengalahkan wartawan Utusan Malaysia sendiri!

So-Po Anonymous (yang tidak berselindung lagi dan mulai dikenali) seperti Parpu Kari melalui House PK merupakan blogger terhebat memainkan peranan mempertahankan kerajaan semasa daripada pihak pembangkang. Parpu Kari kini berada di tempat ke-3 paling popular mengikut ranking Alexa untuk blog dan portal politik sehingga 28 November ini.

Begitu juga Ruang Bicara Faisal atau rbf online (ranking ke-10), cukup berbisa dengan berita dan analisis sempoi warna-warni politik semasa.

The Unspinners (ke-6), yang kononnya merupakan sekumpulan bloggers yang tidak dikenali juga memainkan peranannya yang tersendiri. Juga Jebat Must Die yang baru-baru ini menggarap secara bersiri dengan begitu detail dan akademik peristiwa di sebalik Tragedi 13 Mei.

Tabik juga kepada Husin Lempoyang, seorang blogger yang cukup kritis pemikirannya. Juga blogger Apanama serta Lydia USM (Lawyer Garang) yang cukup garang dengan coretannya.




Blog GAP atau Gerakan Anti-PKR yang diasaskan oleh seorang bekas hardcore ahli PKR yang taksub kepada Anwar Ibrahim dan kini berpatah arang 360 darjah. Ia kini berkedudukan ranking ke-5 paling popular.

Tidak ketinggalan blogger foto Minaq Jinggo yang berjaya merakamkan gambar bersejarah Nik Aziz membahagi-bahagikan wang kepada pengundi di Galas. Gambarnya dipetik oleh Utusan Malaysia dan menjadi panas selama kempen itu berlangsung. Pas akhirnya kalah di situ.

Itu hanyalah sekadar yang tersebut. Banyaklah lagi yang tidak tersebut. Banyak yang akan berkecil hati kerana nama-nama blog mereka tidak tersebut. Yang nyata mereka ini terlalu hebat. Bahan-bahan berserta analisis mereka cukup membantu kerajaan daripada tekanan dan serangan pihak pembangkang, yang juga mempunyai jentera siber yang cukup konsisten, terancang dan sistematik.

Dalam forum itu saya membangkitkan satu persoalan: ‘‘Bayangkan sekiranya anda semua yang berada dalam dewan ini swing atau berpatah balik ke sebelah sana (pembangkang), apa akan jadi kepada kerajaan, UMNO, BN, PM...?”

Apa akan jadi jika Anuar, Parpu Kari, GAP, RBF, Kickdefella atau Syed Akbar, Big Dog (yang terlalu kuat UMNOnya) berpatah mengasak kerajaan...???

Semua dalam dewan itu terdiam. Penganjurnya dari pihak kerajaan juga turut terdiam. Para bloggers sebenarnya amat pasrah. Mereka yang saya panggil sebagai penggerak utama propaganda itu sebenarnya amat berkecil hati. Mereka mengadu tiada siapa yang mengambil berat terhadap mereka. Tiada siapa yang mengkoordinasi mereka.

Semasa berdialog mereka merungut. Mereka memberontak. Ada yang diam kerana memikirkan perjuangan menentang sebelah sana amat mustahak sekali. Tapi sampai bila mereka boleh bertahan?

Peranan mereka dipandang sepikah? Bukan semua mereka bekerja tetap, profesional atau berniaga emas seperti Syed Akbar. Yang gagal bertahan akan tutup kedai.

Blog AIDC yang hebat menghentam pembangkang hampir-hampir mati (sudah mati pun) kerana tiada bantuan. Kos untuk mengekalkan jentera pelayarnya sahaja sekitar RM26,000 sebulan. Siapakah yang menjaga mereka?

Apakah pihak-pihak tertentu sedar perkara ini?

Bukan tujuan saya untuk mendapatkan atau mencari jawapannya. Kita sedar pihak tertinggi ada bertemu mereka. Tapi mana susulan (follow-up)? Mereka juga manusia yang mempunyai perasaan dan perlu makan.

Cuba bayangkan jika esok mereka beralih kiblat?


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.