CAJ HOSPITAL KERAJAAN NAIK 50%?
Serius, tajuk muka depan KOSMO hari ni bikin orang ramai panik. Hasrat editor untuk meningkatkan hit mereka berjaya dengan cemerlang.
Pertama sekali perlu difahami, Caj RM1 untuk pesakit Am dan RM5 untuk jumpa doktor Pakar adalah KEKAL. Kata mudahnya, Caj Pesakit Luar tidak berubah.
Kedua, Hospital dan Klinik Kerajaan tidak mengenakan sebarang caj untuk ubat-ubatan. Ini juga KEKAL. Maknanya, bayar RM1 atau RM5, ubat tetap diberikan berkepuk-kepuk sebagaimana biasa. KKM belanja RM2 billion setahun untuk beri ubat pecuma kepada rakyat.
Apa sebenarnya yang berlaku ialah KKM sedang kemaskini kadar caj pesakit warganegara berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) 1982 yang dicadangkan berkuatkuasa 1 Januari 2017. Harga ubat, peralatan perubatan dan khidmat doktor meningkat di seluruh dunia namun kadar caj pesakit tidak pernah disemak di Negara kita sejak 34 tahun lalu.
Pengemaskinian yang dicadangkan hanya melibatkan pesakit yang memilih untuk masuk ke wad Kelas 1 dan Kelas 2. Ya, mereka pilih sendiri untuk masuk ke wad kategori ini.
Pengemaskinian di wad Kelas 1 akan melibatkan caj wad, rawatan, siasatan, ujian makmal dan pembedahan. Pengemaskinian Wad Kelas 2 pula hanya melibatkan caj wad sahaja. Kadar baru ini akan dimaklumkan setelah diputuskan.
Wad Kelas 3 langsung tidak terlibat dengan pengemaskinian ini. Kebiasaannya golongan kurang berkemampuan akan ditempatkan di wad ini.
Sebagai makluman, kadar caj wad semasa di Hospital Kerajaan adalah seperti berikut:
Kelas 1: RM30 - RM80 sehari (1 bilik seorang)
Kelas 2: RM20 sehari (Kongsi beberapa orang)
Kelas 3: RM3 sehari (Terbuka)
Jika dilihat dalam skop yang lebih besar, sebenarnya peratusan jumlah pesakit yang akan terlibat dengan kadar caj baru ini sangat kecil. Dan mereka yang akan terlibat ini adalah atas pilihan sendiri.
Dalam setahun, anggaran 2 juta pesakit diwadkan di Hospital Kerajaan. Anggaran pecahan mengikut wad seperti berikut:
Kelas 1: 16,000 orang (0.8%)
Kelas 2: 16,000 orang (0.8%)
Kelas 3: 1,968,000 orang (98.4%)
Kesimpulannya, golongan kurang berkemampuan langsung tidak terkesan dengan pengemaskinian ini. Malah golongan ini akan mendapat manfaat yang besar kerana pengemaskinian ini akan membolehkan pendapatan yang diperoleh dari wad Kelas 1 dan 2 "dipindahkan" kepada mereka dalam bentuk ubat dan peralatan.
Moga sahabat memperoleh pencerahan awal.
*MOHD ZAIRI SAID*
*Pegawai Khas*
*Timb. Menteri Kesihatan*
betul la tu tajuk akhbar..apa yang salah? jgn baca tajuk je..baca isinya sekali..semua benda naik zaman najib ni..