Pingat Sukan Olimpik sudah dalam genggaman Goh V Shem-Tan Wee Kiong cuma warnanya belum dapat dipastikan selepas beregu lelaki negara itu melakar kejutan mara ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan pasangan China, Chai Biao-Hong Wei pada separuh akhir di Riocentro, Brazil hari ini. V Shem-Wee Kiong, yang menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang Sukan Olimpik kali ini mengetepikan pasangan No. 5 dunia itu 21-18, 12-21, 21-17 dalam aksi berlarutan selama 68 minit.
Dengan kemenangan itu, V Shem-Wee Kiong kini hanya selangkah lagi untuk menggapai pingat emas Olimpik dan akan turun dalam perlawanan akhir pada pukul 10.50 malam, Jumaat ini.
Siapa lawan mereka di final bagaimanapun belum diketahui dan ia bergantung kepada keputusan satu lagi saingan separuh akhir di antara pasangan No. 4 dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China dan beregu No. 22 dunia dari Britain, Marcus Ellis-Chris Langridge yang akan berentap sebentar lagi. Jika berdepan Haifeng-Zhang Nan, V Shem-Wee Kiong memegang kelebihan psikologi selepas mengalahkan pasangan itu dalam pertemuan mereka di peringkat kumpulan.
Kejayaan V Shem-Wee Kiong, tanpa mengira mereka menang atau tidak dalam perlawanan akhir nanti sudah memastikan kontinjen Malaysia pulang dari Rio dengan pencapaian terbaik mereka selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terlebih dulu mengesahkan pingat dengan melangkah ke final awal pagi tadi.
Peng Soon-Liu Ying akan menentang pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dalam perebutan emas pada pukul 11.30 malam esok. Terdahulu, Malaysia meraih pingat pertama dalam acara terjun menerusi Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong yang meraih perak acara 10 meter platform seirama wanita. - UTUSAN ONLIN -
Apabila kemahiran adalah setara, siapa yang akan meraih pingat emas adalah bergantung pada faktor kecerdikan dalam mengawal emosi, psikologi dan paling penting bagaimana membelanjakan tenaga agar ianya cukup hingga ke mata akhir perlawanan.
Kalau tenaga tidak cukup, pada kedudukan mata 20 dan sedang mendahului lawan, belum tentu boleh perlawanan dapat disempunakan yakni dapatkan mata ke 21 kerana di kedudukan mata 20 itu tenaga luar biasa amat diperlukan bagi mengalahkan pesaing.
Satu yang boleh dijangkakan apabila beregu campuran tidak mampu meraih emas dan puncanya jelas iaitu:
1. Tidak mampu melakukan servis sempurna terutama pemain lelaki dengan sendirinya tidak dapat meraih mata. Tanpa mendapat cukup mata menerusi servis, peluang untuk mengalahkan lawan sangatlah tipis.
2. Tidak cukup tenaga untuk memberikan tentangan terhadap pasukan lawan. Kalaupun permainan berlanjutan ke set 3, peluang untuk menang di set akhir hampir mustahil.