RAKYAT JANGAN MELANGKAU BATAS SISTEM KEHAKIMAN KES ZULKIFLI - PEGUAM

on Friday, January 1, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments




 Masyarakat tidak boleh melangkaui sistem kehakiman dan terus membuat keputusan dalam kes seorang lelaki dikenali sebagai Zulkifli yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh perompak di rumahnya untuk mempertahankan diri.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, apa yang dilalui Zulkifli merupakan proses biasa atas kesalahan dilakukan.

“Zulkifli perlu menjalani proses tahanan reman, pendakwaan dan perbicaraan sehingga hakim yang membicarakan kes itu membuat keputusan sama ada dia bersalah atau tidak. Membunuh tetap merupakan satu jenayah maka Zulkifli mesti menghadap hakim dan melalui proses bicara.

"Cuma kerana beliau mempertahankan diri dan keluarga maka mudah bagi peguam mewakilinya menimbulkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan seterusnya membebaskan Zulkifli,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kisah Zulkifli menjadi viral di laman sosial dan masyarakat yang bersimpati dengan nasib bapa malang itu menuntut agar nasibnya dibela.

Ramai yang mempertikaikan penahanan itu susulan Zulkifli didakwa mempertahankan keselamatan keluarganya daripada perompak yang menceroboh ke rumahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Azam berkata, mempertahankan diri merupakan satu pembelaan bermerit yang dibenarkan di dalam Kanun Keseksaan walaupun menyebabkan kematian orang lain.

Tetapi ada cara untuk membuktikan sama ada mempertahankan diri itu wajar atau tidak. Ada keperluan undang-undangnya.

“Bukan semudah alasan ‘ini rumah saya dan saya boleh buat apa yang saya suka’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menghentikan viral yang tidak benar, sebaliknya perlu membantu keluarga Zulkifli.

“Disebabkan kes dihadapi Zulkifli adalah pertuduhan bunuh, peguam mewakilinya merupakan lantikan mahkamah. Jadi kita tidak perlu kumpul duit upah peguam kerana kerajaan menyediakan peguam percuma jika tertuduh berdepan kes melibatkan hukuman gantung.

“Lebih baik masyarakat kutip derma untuk ringankan beban keluarganya sementara Zulkifli melalui proses mahkamah. Bagi kes Zulkifli, serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.


2 Responses

  1. Anonymous says:

    Biasanya dalam kes begini, Zulkifli akan didapati tidak bersalah kecuali kalau ada foul play.

  2. Anonymous says:

    Aku heranlah PDRM ni - kenapa kes En. Zulkifli tu bukan main dilayan dgn. amat KERAS hanya kerana MEMPERTAHANkan rumah dia dari PENYAMUN-yg- ramai suka MEMBUNUH; sedgkan VIP lain yg. juga pernah BUNUH perompak, asyik diBEBASkan! Ini amat MENCURIGAKan! Dan aku ingat lagi kes anak jiran Melayu yang kepalanya tersangkut kat tingkap jiran dan disyaki diPUKUL sampai mati walaupun dia tersangkut kepalanya - apa jadi kes tu?! BUKA BALIK kes tu!

    Lihat di http://www.ismaweb.net/2016/01/ada-tertuduh-kes-bunuh-kerana-pertahan-diri-dibebaskan-tidak-dibicarakan/ : (Tapi awas: NGO ni ni adalah PENJILAT-madey)

    Ada tertuduh kes bunuh kerana pertahan diri dibebaskan, tidak dibicarakan
    January 2, 2016

    BANGI, Sabtu – Kisah Mohamad Zulkifli Ismail yang menikam mati seorang daripada dua penyamun yang menceroboh rumahnya di Kampung Labuhan, Kerteh, Terengganu, menjadi viral dalam media sosial, menarik simpati orang ramai dan banyak dibincangkan.

    Zulkifli didakwa di mahkamah kerana membunuh penyamun yang cuba merompak rumahnya di Kerteh pada mulanya direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

    Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat, sebelum dibenar diikat jamin RM15,000.

    Namun, tuduhan ke atasnya ditukar semula kepada Seksyen 302 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

    Kisah terbabit mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasib lelaki itu dan menuntut supaya nasibnya dibela.

    Berikutan viral dan ulasan orang ramai, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai memahami hak dan had orang awam mempertahankan diri dalam mendepani kes jenayah supaya tidak sewenang-wenangnya membunuh penjenayah.

    Hak dan had tersebut seperti yang telah termaktub dalam undang-undang yang diperuntukkan mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

    Sebenarnya, kes mempertahankan diri sehingga menyebabkan kematian pernah berlaku sebelum ini dan mereka yang menyebabkan kematian itu bebas.

    BERITA BERKAITAN: Pandangan awal kes Zulkifli bunuh perompak: Zaharudin Muhammad

    Mengikut laporan The Star semalam, pada 4 Julai 2013 seorang lelaki berpangkat Tan Sri menembak mati seorang lelaki yang cuba menetaknya dalam satu cubaan merompak dalam sebuah klinik di Cheras.

    Dalam kejadian itu, tiga lelaki memasuki klinik berkenaan dan mengarahkan semua orang menyerahkan barang berharga dan wang mereka. Apabila seorang daripada perompak itu mengacukan parang ke arah beliau, Tan Sri berkenaan mengeluarkan pistol dan mengarahkan perompak itu beredar.

    Bagaimanapun, perompak itu menyerang beliau menyebabkan Tan Sri terbabit melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan seorang daripada mereka terbunuh.

    Pada 27 November 2013, seorang bapa tertembak anaknya dalam percubaan untuk menghalang satu rompakan di Kampung Baru Balakong.

    Bapa lelaki terbabit yang berusia 76 tahun bersenjatakan ‘pump gun’ dilaporkan tertembak anaknya yang disangka perompak ketika anaknya sedang membantu seorang pekerja yang diserang perompak.

    Dalam satu lagi kes pada 23 Julai 2013, Mahkamah Tinggi membebaskan peguam Datuk Balwant Singh daripada tuduhan membunuh seorang penghantar surat di Bangsar pada Jun tahun yang sama.

    Hakim ketika itu, Datuk S Augustine Paul berkata, Balwant berjaya membuktikan bahawa tindakannya itu berdasarkan haknya untuk mempertahankan diri.

    Balwant sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Gobala Krishnan, 33.

    Dalam kes lain pada 2010 lalu, dakwaan terhadap jurulatih skuad menembak Majlis Sukan Terengganu, Zamil Ahmad Murat yang dituduh membunuh seorang lelaki yang didakwa memecah masuk ke rumahnya di Kuala Terengganu, dibatalkan.

    Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pendakwa memohon mahkamah untuk menarik balik tuduhan tanpa membebaskan kerana mendapati Zamil bertindak kerana mempertahankan diri.

    (Nek Tempoyak)

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.