PM MALAYSIA PULANG MALAYSIA , TAK DITANGKAP PUN FBI

on Monday, October 5, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment



SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pulang ke tanah air hari ini setelah mengadakan lawatan kerja ke Milan dan New York, dengan lebih 1,000 orang menyambut ketibaannya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini. 

Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat pada 9.55 pagi.

 Penyokong-penyokong yang begitu bersemangat menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara itu tiba di perkarangan kompleks itu seawal 7 pagi. Mereka turut memegang sepanduk dan kain rentang tertera "Selamat Pulang Wira Negara dan Keamanan Sejagat", "Najib Razak Pejuang Keadilan Terhadap Palestin dan Umat Islam", "Allah Selamatkan Najib, Allah Selamatkan Palestin" dan "PM Najib Help Palestine, Save Syrian Refugees, We Are With You".





 Turut menyambut kepulangan Perdana Menteri ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet antaranya Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta pegawai tinggi kerajaan.

 Najib mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Milan mulai 2 Okt bagi meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Itali. Ketika di Milan, Najib menghadiri resepsi Hari Malaysia di Ekspo Milano 2015, yang dianjurkan oleh penganjur ekspo berkenaan pada Sabtu dan kemudiannya melawat Pavilion Itali di ekspo itu.

 Pada malamnya, Najib melancarkan Festival Makanan Malaysia di Pavilion Malaysia pada ekspo itu. Sebelum mengadakan lawatan ke Milan, Itali, Najib berada di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bertemakan “PBB pada 70: Jalan ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia” pada 1 Okt.

 Di luar persidangan itu, Najib yang mengetuai delegasi terdiri daripada beberapa menteri kabinet juga mengadakan rundingan dua hala dengan beberapa ketua kerajaan dan ketua negara yang menghadiri perhimpunan agung itu. 

Pada sesi ke-70 PBB, Najib merupakan antara pemimpin yang berucap pada Sidang Kemuncak PBB untuk Menerima Pakai Agenda Pembangunan pasca-2015 mengenai Pembangunan Mapan dan juga Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Sedunia mengenai Kesamarataan Gender dan Pemerkasaan Wanita.

 Najib juga menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak para pemimpin mengenai Pemeliharaan Keamanan dan juga mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau yang turut dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

 Dalam ucapannya, perdana menteri antaranya mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan dating bagi membantu meringankan krisis pelarian.

 Tumpuan lain perdana menteri semasa berada di New York adalah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dalam pertemuannya dengan pemimpin perniagaan dan peneraju industri Amerika Syarikat.


One Response

  1. Anonymous says:

    Mana blh tangkap! Asset tu!!!!!! Penganti Abg Non.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.