Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, terutama Amanah dalam soal pembahagian kerusi.

Sehubungan itu, tegas beliau, Pas tidak berminat untuk mene­liti lebih lanjut cadangan Kit Siang tersebut.
"Itu pandangan DAP, bagi Pas, kita tidak ada pandangan macam itu. Kita ada Majlis Syura, ada Dewan Ulama dalam parti yang boleh berbincang perkara ini.

"Kita memang tidak akan berkompromi terhadap perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ijtimak Ulama dan Guru-Guru Pondok Kelantan 2015 di Madrasah Diniyah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh, di sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kit Siang dalam satu kenyataan akhbar semalam mengemukakan formula pengagihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang bagi mengelak pertandingan tiga penjuru yang hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN).

Katanya, satu-satu cara menyelesaikan masalah itu ialah Pas hanya perlu bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Amanah pula boleh bertanding di negeri-negeri lain.
Usaha petugas media mendapatkan reaksi Abdul Hadi terhadap perkara itu bagaimanapun gagal kerana beliau enggan ditemu bual.