default

PENANG TECHNOLOGY PARK BERTAM MENERUSKAN VISI TUN ABDULLAH DI KEPALA BATAS

on Friday, July 22, 2022 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

 


Siapa sangka kawasan yang dahulunya merupakan kawasan kelapa sawit dan sawah padi kini telah berubah wajah menjadi sebuah bandar yang pesat membangun. Kepala Batas merupakan Bandar yang terletak di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. 


Kepala Batas yang dahulunya  lebih dikenali sebagai ‘pekan koboi’ disebabkan pada masa tersebut premis atau kedai-kedai pada zaman 1990-an mampu dibilang dengan jari. 


Kini masa mengubah segalanya,Kepala Batas tidak lagi seperti dahulu. Pelbagai kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas telah dibangunkan di kawasan tersebut. Pembangunan pesat ini secara positifnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk dan kawasan ini.


Pembangunan yang pesat ini tercetus daripada idea bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas yang mahukan Kepala Batas membangun seperti bandar-bandar yang lain.


Teringat dulu  beliau pernah menyebut mahu membangunkan  Kepala Batas ini sebagai Mini Putrajaya .


Pembangunan ini telah memberi kesan yang positif terhadap pekan Kepala Batas dan telah menjadikan pekan ini sebagai tempat institusi pendidikan, kegiatan ekonomi, dan juga pusat pentadbiran yang dahulunya terletak di Bandar Butterworth dan kemudianya berpindah di Bertam, Kepala Batas.


Malah  pembangunan  institusi-institusi pendidikan dibina seperti Institut Pengajian dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia. Universiti Teknologi Mara, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara juga turut memberi impak besar kepada penduduk di sini .


Kewujudan institusi-institusi pendidikan disini akan menghasilkan ribuan graduan dan TVET  dan tentunya  memerlukan peluang pekerjaan yang banyak  di kawasan sekitar ini . 

 

Jadi , projek Taman Teknologi Tinggi Pulau Pinang (Penang Technology Park) Bertam amat tepat dan perlu dibangunkan .  Malah ia juga dapat meningkatkan pembangunan ekonomi kepada daerah Seberang Perai Utara dan juga negeri Pulau Pinang melalui kegiatan pelaburan tempatan mahupun pelaburan asing . 


Cuba kita bayangkan sektor industri yang akan dibawa ke Bertam ini seperti terdapat di Taman  Perindustian  Batu Kawan dengan kebanyakkan syarikat melabur adalah syarikat berteknologi tinggi seperti bidang semiconductor , aeroangkasa  barang perubatan dan lain lain. Golongan muda & lepasan graduan di  Kepala Batas dan sekitar Seberang Perai Utara tentunya akan dapat manfaat melalui peluang pekerjaan ini  . 


Kepala Batas kini sudah memiliki pelbagai kemudahan infrastruktur yang baik , institusi  pendidikan,pusat pentadbiran kerajaan telah merancakkan kegiatan ekonomi penduduk kawasan ini  . 


Kini  projek berimpak tinggi seperti  Taman Teknologi Tinggi Pulau Pinang di Bertam perlu direalisasikan bagi meneruskan visi dan legasi Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk masa depan  rakyat Kepala Batas. 






 




default

SURAT TOMMY THOMAS GUGAT ASET NEGARA BERNILAI BERBILLION RINGGIT ?

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

 




Surat bekas peguam negara Tommy Thomas kepada peguam yang dilantik oleh pihak yang mendakwa sebagai waris sultan Sulu dijadikan sandaran dalam keputusan timbang tara baru-baru ini yang kini mengancam untuk merampas aset Malaysia bernilai berbilion ringgit di luar negara.

Penelitian terhadap 297 perkara dalam keputusan timbang tara itu menunjukkan sekurang-kurangnya lebih dari 10 kali surat Thomas dipetik ketika hakim timbang tara Gonzalo Stampa menjelaskan kewajaran anugerah diberikan kepada penuntut.

Proses timbang tara itu berakhir di mana Malaysia diperintahkan untuk membayar AS$14.9 billion (RM60 billion) kepada kumpulan tersebut, menjadikan ia sebagai pampasan kedua terbesar seumpamanya di dunia, malah mampu menyebabkan kerugian lebih besar daripada skandal 1MDB.


Dalam surat bertarikh 19 September 2019, Thomas yang menjadi peguam negara semasa pentadbiran Pakatan Harapan menyatakan kekesalan apabila kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu, sebuah kerajaan yang pernah memerintah beberapa wilayah di kepulauan Melayu termasuk apa yang hari ini merangkumi negeri Sabah.

Pembayaran tersebut dihentikan sejurus selepas pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah oleh ratusan penyokong setia Sulu pada 2013.

Selepas menyatakan kekesalannya, Thomas turut menyenaraikan tunggakan bayaran termasuk 10% faedah, di mana jumlah keseluruhannya berjumlah RM48,230.

Thomas kemudian menawarkan untuk menghantar jumlah tersebut “dengan segera” kepada pihak penuntut sebagai pertukaran untuk menamatkan sebarang tindakan timbang tara.

"Malaysia kini bersedia dan sanggup membayar kepada klien anda semua tunggakan bayaran dari 2013 hingga 2019," tulisnya sambil menambah tawaran tersebut harus dibalas pihak penuntut untuk menghentikan sebarang langkah timbang tara diambil.

Timbang tara itu dibuat selepas tuntutan dibuat oleh lapan individu, di mana mereka memetik perjanjian pada 1878 antara Sultan Sulu Mohamet Jamal Al-Alam dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, sebuah syarikat kolonial Britain yang ditubuhkan bagi mengeksploitasi sumber alam di wilayah itu.

Dalam perjanjian tersebut, sultan menyerahkan kedaulatan di beberapa wilayah yang terletak di Utara Borneo yang kini dikenali sebagai Sabah.


Susulan beberapa proses undang-undang di Sepanyol, keputusan timbang tara itu diumumkan sebuah mahkamah di Paris pada Februari tahun ini di mana pihak penuntut dianugerahkan AS$14.92 bilion (RM60 bilion) termasuk faedah dan kos.

Keputusan tersebut dikecam oleh Putrajaya, di mana ia mengatakan Stampa yang merupakan hakim timbang tara Sepanyol tidak mempunyai kuasa untuk memberikan anugerah tersebut.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang peguam kepada penuntut untuk mula menguatkuasakan pampasan itu awal bulan ini, dengan menyampaikan notis rampasan aset ke atas dua anak syarikat Petronas di Luxembourg.

Sebagai reaksi kepada tindakan tersebut, sehari kemudian, Malaysia mendapat perintah penangguhan di Paris untuk menghentikan pelaksanaan anugerah timbang tara tersebut, yang mengundang amaran peguam penuntut untuk menyasarkan aset-aset Malaysia di negara lain.

Bagaimana surat Thomas membantu dalam kejayaan tuntutan Sulu

Ketika mengemukakan kes dalam prosiding timbang tara tersebut, penuntut Sulu beberapa kali menggunakan tawaran yang dibuat Thomas, di mana Stampa merujuknya dalam mewajarkan penganugerahan berbilion dolar itu.

Stampa berkata Malaysia melanggar perjanjian 1878 apabila menghentikan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 sejak 2013.

“Encik Thomas mengambil pendirian yang sama dalam suratnya pada 19 September 2019 ... ketika beliau menawarkan penyelesaian dengan kembali membuat pembayaran, dengan syarat pihak penuntut menghentikan tindakan timbang tara.

“Secara jelas (dan benar), peguam negara Malaysia tidak pernah menganggap timbang tara ini sebagai satu serangan terhadap prerogatif kedaulatan Malaysia.”
 
Kemudiannya, Stampa kembali mengulangi apa yang dikatakan Thomas.
 
“Pihak responden (Malaysia) turut mengakui semua pembayaran itu dihentikan pada 2013 dan tidak dibayar kepada penuntut sejak itu. Pada 19 September 2019, Malaysia berkata bahawa ‘… ia kini bersedia dan sanggup membayar klien semua tunggakan dari 2013 hingga 2019 dan bersetuju untuk mematuhi Geran 1878 dan Pengesahan Penyerahan 1903 mulai sekarang berhubung pembayaran akan datang. Sementara mengenai tunggakan, Malaysia juga bersetuju untuk membayar faedah mudah sebanyak 10% p.a. bagi pembayaran tahunan untuk setiap tahun yang dirujuk’..”

Stampa juga turut merujuk kenyataan lain oleh Thomas dalam menyimpulkan sultan Sulu tidak pernah melepaskan dirinya daripada kedaulatan ke atas wilayah Borneo Utara.
 
Stampa berkata Malaysia bersetuju bahawa “penilaian bukti yang ada pada timbang tara ketika ini mengekalkan Sultan tidak pernah dilucutkan atau dilupuskan daripada kedaulatan wilayah Borneo Utara yang disebut dalam Perjanjian 1878 dan Wasiat Pengesahan 1903.”

Wasiat Pengesahan itu ditandatangani Sultan Sulu Jamalul Kiram II, mengesahkan beliau sudah menyerahkan pemilikan Borneo Utara kepada penjajah British.
 
Stampa turut merujuk kepada fakta bahawa tiada sebarang keraguan ditimbulkan oleh Thomas yang menunjukkan bahawa prosiding timbang tara itu akan melanggar kekebalan kedaulatan Malaysia.
 
“Terma itu mendedahkan tiada sebarang keraguan ditimbulkan pada waktu tersebut (i.e., 19 September 2019), sebaik sahaja timbang tara yang dibuat ketika ini dimulakan, menyatakan prosiding yang dijalankan akan melanggar kekebalan kedaulatannya.”
 
Satu lagi tamparan kepada Malaysia adalah perkataan yang digunakan dalam surat Thomas tersebut, yang membawa kepada kesimpulan ia adalah transaksi komersial dan tertakluk kepada timbang tara. 

Pendirian yang diambil oleh Thomas tersebut adalah bercanggah dengan dasar kerajaan ketika ini.

“Subjek tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara, malah Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara,” kata Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama Kementerian Luar dalam maklum balas kepada keputusan timbang tara itu pada Februari.

Ketika menyimpulkan penemuannya, Stampa sekali lagi merujuk surat Thomas dalam memutuskan Malaysia masih terus mematuhi Perjanjian 1878 tanpa sebarang keraguan.

Beliau memetik satu baris daripada surat Thomas mengenai pembayaran tahunan Malaysia kepada waris sultan Sulu, “..dari 1963 hingga 2012, di mana, ia tidak pernah putus dan berterusan selama 49 tahun”.

“Penimbang tara berpandangan Responden (Malaysia) terus menunaikan Perjanjian 1878 – secara sukarela dan tanpa ragu-ragu - sehingga akhir 2012,” tambah Stampa.

Stampa kemudiannya mengisytiharkan Malaysia gagal menunaikan pembayaran seperti di dalam Perjanjian 1878 dan menambah ia “tidak dapat menunjukkan pada masa yang sama mengikut mana-mana alasan kontrak bagi tindakannya yang tidak menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab kontrak tersebut”. 

“Sebaliknya, responden secara sukarela mengakui bahawa ‘… malangnya, pembayaran.. dihentikan pada 2013,” katanya, sekali lagi memetik Thomas.


sumber :malaysianow


default

UMNO PERMATANG PAUH BANTU 6 BERADIK YATIM PIATU

on Monday, September 20, 2021 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments





 Keperitan 6 Beradik Yatim Piatu Ini Mendadani Laman Pelbagai Media Sosial Beberapa Hari Lepas. Mereka Menjadi Yatim Piatu Selepas Covid Meragut Tiang Seri Kehidupan Mereka Seminggu Lalu.

Pemergian Bonda Tercinta, Selepas Ayahanda Tersayang Di Jemput Illahi Pada Mac Lalu Benar2 Menguji Kekuatan Emosi 6 Beradik Ini.
Apalah Yang Anak2 Kecil Ini Tahu Tentang Kehidupan Dan Kesusahan, Nakhoda Yang Menanggung Beban Buat Adik2, Kini Terletak Pada Bahu Kakak Sulung Yg Berusia 18 Tahun Dan Adik Perempuan Berusia 16 Tahun. Keduanya Tidak Bersekolah Lagi.
Kelangsungan Hidup Dan Tanggungjawab Untuk Mempastikan 2 Adik Yang Bersekolah Di SK Permatang Pauh Dan Dua Yang Masih Kecil Terletak Pada 2 Anak Gadis Yang Belum Pasti Kemampuannya. Bilakah Kesudahan Episod Sedih Ini Akan Berakhir Buat Mereka 6 Beradik, Hanya Allah Yang Tahu...
Kemarin, Saya Menjejaki Mereka Atas Permintaan YB Dato Seri Reezal Merican Naina Merican. Dalam Perjalanan Saya Singgah Membeli KFC Dan Ais Krim, Buah Tangan Buat Mereka.
Sebaik Daun Pintu Di Buka, Paparan Penderitaan Mereka Bermula Di Minda Saya, Ais Krim Yg Saya Hulurkan Melalui Jeriji Besi, Menceriakan Sedikit Hari2 Mereka. Sedap Sungguh Anak2 Kecil Itu Menikmati Hingga Saya Perasan Tidak Ada Setitispun Yang Meleleh Atas Lantai Di Ruangan Tamu Itu.
Apa Yang Adik Nak Minta, Tanya Saya?
"Kalau Boleh, Saya Mahu Tilam Untuk Adik2 Saya Tidur, Sekarang Ini Tiap Malam Kami Tidur Atas Tikar Yang Di Beri Jiran2... Kadang Kala Lewat Malam, Saat Terjaga Dari Tidur, Mereka Selalu Mengadu, Kakak Adik Sejuk Sangat... Berlinang Airmata Saya Melihat Mereka..
Satu Lagi, Adik2 Saya Nak Tengok TV, Masa Arwah Mak Ada Mereka Selalu Tanya, Bila Mak Nak Beli TV? Sekarang Mak Dah Tak Ada, Mereka Tak Tanya Lagi "
InsyaAllah Bagi Pihak YB Dato Seri Reezal Merican, Beliau Akan Membayar Sewa Rumah Ini Selama 24 Bulan, Jika Mereka Mahu Terus Menetap Di Sini. Sementara Tilam, Katil Dan TV Yg Kakak Sulung Mohon Akan Di Hantar Dan Pasang Selepas Tempoh Kuarantin 6 Beradik Ini Berakhir Minggu Ini.
Terima Kasih Pada Jiran Tetangga Keluarga Malaysia Yang Sangat Perihatin. Moga Ada Sinar Gemerlapan Pada Anak2 Ini, Untuk Hari2 Mendatang!




default

MAMPU KAH UMNO BERSENDIRIAN TANPA KERJASAMA POLITIK DENGAN PN ??

on Wednesday, October 14, 2020 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Add caption


Mampukan UMNO bersendirian masuk PRU 15 tanpa kerjasama dengan PN ? 


Itu lah persoalan yang diperdebatkan penganalisis dan pemerhati politik selepas UMNO pertimbang menarik diri menyokong kerajaan PN dan meletakkan syarat baru jika mahu meneruskan kerjasama politik ini . 

Jika UMNO bersendirian maka undi pengundi Melayu di kawasan majoriti dan campuran akan berpecah dan menguntungkan PH seperti mana pada PRU14.

Cuma saya  tertarik dengan pandangan berbeza Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa yang anggap UMNO berhak semak kerjasama untuk pastikan muafakat lebih perkasa dan tersusun .



Kalau apa yang saya faham daripada kenyataan  ini ialah UMNO mahu terus kerjasama politik  jika PN sedia runding dan setuju syarat diletakkan  secara bertulis . 

Ini kerana sokongan  UMNO kepada PN kini   hanya  yang dilabel FOLLOWER sahaja  dan segala dasar kerajaan dan perancangan ekonomi ditentukan daripada pemimpin  parti PPBM sahaja  .

Lihat la sendiri dalak Kabinet PN , UMNO hanya diletakkan di Kementerian tidak penting dan tidak dekat  membantu rakyat

Tetapi jika ada keputusan kerajaan yang ditentang rakyat seperti pengabungan UEM Sunrise dengan Eco World yang dianggap bailout wang rakyat  , UMNO juga turut dipersalahkan sebab sebahagian kerajaan PN walhal yang membuat keputusan itu adalah KHAZANAH yang tiada langsung kaitan dengan  pemimpin UMNO .


Jadi , kenyataan Biro Politik UMNO semalam adalah tindakan yang bijak bagi menilai kembali kerjasama longgar ini dengan kerajaan PN dan menyedarkan kembali Muhyiddin agar jangan tamak sangat kuasa .  

Cukup cukup la seorang GILA KUASA macam Anwar Ibrahim . 

UMNO pernah  bersendirian ?  

Ya , mereka sudah lalui  pada   PRU14 .

Tapi mampukah BERSATU ??   Kerusi yang  lompat daripada UMNO adakah mampu mereka pertahankan ?? MP   Tasek Gelugor pun  menang hanya 81 undi ..


Saya berpandangan UMNO , BERSATU , PAS  saling memerlukan kerjasama  sebelum PRU15 bagi solid mendapat undi Melayu agar tidak berpecah .

Kalau nak bergaduh UMNO dengan PPBM sekarang ini  memang tepat sekali berbanding ketika nak PRU15.  Apa tak puas hati buat je ugutan sekarang kepada Muhyiddin agar dia sedar sikit tidak mempergunakan UMNO dan menikam seperti berlaku di PRN  Sabah . 



default

NAJIB DEDAHKAN KENAPA UMNO PERTIMBANG TARIK DIRI DARIPADA KERAJAAN PN

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

 



Ada yang sokong dan ada yang kritik kenyataan UMNO semalam untuk pertimbangkan sokongan pada kerajaan PN dan meletakkan syarat.

Keputusan ini adalah keputusan sebulat suara Biro Politik UMNO dan disokong oleh semua ketua perhubungan setiap negeri.
Sememangnya pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan membuat keputusan yang tidak mengambil kira suara akar umbi.
Jika akar umbi tak mahu, pemimpin UMNO tidak akan membuat keputusan.
Walaupun saya bukan lagi ahli Biro Politik UMNO atau ketua perhubungan mana-mana negeri (dan tidak hadir mesyuarat tersebut), saya ingin memberi pendapat saya.
Semasa PM7 letak jawatan secara mengejut, pendirian UMNO masa itu ialah untuk pilihan raya umum diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik masa itu.
Namun, Majlis Raja-raja tidak bersetuju dan kita diminta untuk memberi sokongan untuk mewujudkan kerajaan PN.
Di sebalik kegembiraan bahawa kerajaan PH sudah tumbang, ramai penyokong dan akar umbi UMNO masa itu juga membantah kita bekerjasama dengan PPBM sebab PPBM telah banyak mengambil Ahli Parlimen serta ahli parti dan kita baru bertembung di PRK Tanjung Piai.
Selama berbulan-bulan selepas kerajaan PN dibentuk, ramai yang juga mahu kita tolak PN dan kukuhkan MN.
Ramai yang juga percaya bahawa jika kita tidak membentuk kerajaan PN bersama, PPBM serta geng yang lompat keluar PKR untuk masuk PPBM juga akan terkubur pada PRU15.
Namun apa yang berlaku di Sabah (termasuk mengambil kerusi UMNO dan PN letak calon bebas untuk pecahkan undi BN), kenyataan-kenyataan dari ketua Armada PPBM serta perkongsian kuasa yang di lihat berat sebelah telah terus membakar ketidakpuasan dan kemarahan ramai ahli-ahli UMNO.
Sebagai contoh, PM adalah dari PPBM dan pengganti PM iaitu Azmin juga dari PPBM sekarang.
Dalam hal ekonomi, menteri kewangan bukan dari BN mahupun PAS.
Menteri yang jaga ekonomi dan yang jaga perdagangan luar juga bukan dari BN ataupun PAS.
Begitu juga dengan Khazanah dan Petronas.
Malah, tiada seorang pun dari UMNO atau PAS dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid.
Sebaliknya, individu seperti boss The Edge dilantik ke dalam pula bersama tiga orang menteri PPBM.
(UMNO kini digelar gila kuasa pulak?)
Sebab kita bersama dalam kerajaan PN, suka atau tidak, UMNO dan BN juga akan turut dipersalahkan jika adanya keputusan ekonomi yang meragukan ataupun ekonomi bertambah teruk walaupun tiada seorang dari BN atau PAS terlibat dalam sebarang keputusan yang melibatkan ekonomi.
Contohnya seperti gesaan berulang-kali UMNO untuk moratorium pinjaman dilanjutkan atau diberi kepada Sabah tidak didengar oleh kerajaan PN serta penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World yang diteruskan dan bakal menyebabkan kerajaan hilang syarikat hartanah terbesar negara dengn pemilikan tanah terbesar walaupun UMNO sudah bantah langkah ini sejak tahun lalu.
Dari segi pengawalan Covid pula, Majlis Keselamatan Negara menolak cadangan Menteri Kesihatan dari UMNO untuk melaksanakan kuarantin wajib untuk mereka yang pulang dari Sabah sebelum PRN.
Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin mandatori di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negera serta kegagalan Menteri PPBM untuk mengasingkan tahanan serta SOP yang sepatutnya turut menyebabkan kluster Sivagangga di Kedah dan penularan amat teruk di Sabah serta beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.
Dan kini, UMNO turut dipersalahkan bagi gelombang ketiga Covid pada masa kini.
Sejak kerajaan PN dibentuk, pemimpin BN mempertahankanya (termasuk saya yang juga sering memberi pelbagai saranan yang seterusnya diambil kerajaan) biarpun ramai keputusan atau kesilapan adalah dilakukan oleh menteri PPBM sebab itu adalah janji kami semasa membentuk kerajaan PN.
Namun ramai yang rasa ini tidak adil sebab yang buat silap mereka tapi yang mempertahankan mereka adalah ktia pula.
Keputusan UMNO semalam adalah untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik.
Keputusan mesyuarat UMNO semalam tidak menyentuh tentang sokongan kepada Anwar jadi PM ataupun bekerjasama dengan DAP (namun Guan Eng tentu happy jika dia berpeluang kerjasama dengan saya).
Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin UMNO, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid.
Dan jika Perikatan Nasional boleh didaftarkan sebagai parti politik, kenapa pula Muafakat Nasional tidak boleh?
Ini selaras dengan jawapan saya bulan lepas bahawa saya adalah "orang parti" dan akan menyokong penuh keputusan rasmi parti biarpun ada kala saya tak setuju secara peribadi tetapi saya akan bincang melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik secara terbuka.
"Najib to support party's decision on Anwar"
Pendirian saya tiada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda-propaganda PH dan Tun Mahathir sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.
Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah.
Saya yakin dan pasti saya dapat membersihkan nama saya dan didapati tidak bersalah termasuk di mahkamah rayuan jika sistem perundangan adalah adil dan bebas dari pencaturan Tun Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya.
Berhubung dengan itu juga, saya tidak mahu menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan PN ataupun apa-apa kerajaan baru selama kes-kes saya belum selesai dan nama saya belum dibersihkan.
Bagaimanapun, nasihat saya pada UMNO dan kerajaan PN secara am ialah pemulihan ekonomi, pengawalan Covid serta kebajikan Rakyat adalah keutamaan dan apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenarkan untuk menjejaskannya.
Menteri-menteri dari UMNO dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini.

NAJIB RAZAK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.