default

Pemuda Persoal Kerajaan Perak Amal Tender Ikut Pintu Belakang

on Saturday, June 28, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Oleh Haris Razali

Ipoh -- Pemuda UMNO Perak menolak alasan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri berhubung tender pembelian keperluan makanan untuk 5,000 keluarga miskin tegar di negeri terbabit yang dianggarkan RM500,000.

Ketua Pemudanya, Zainol Fadzi Paharudin berkata alasan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin bahawa mereka kesuntukan masa untuk melakukan secara tender terbuka adalah alasan yang tidak masuk akal.

Malah tegas beliau lagi, keengganan kerajaan negeri untuk mendedahkan nama-nama syarikat yang mendapat kontark berkenaan juga menimbulkan satu persoalan kepada umum akan ketelusan yang dikononnya dipratikkan kerajaan negeri.

"Ke mana perginya janji mereka untuk melaksanakan tender terbuka seperti yang terkandung di dalam janji manifesto pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini. Kita bertanya perkara ini kerana mereka berjanji kepada rakyat untuk melaksanakan apa jua projek kerajaan secara tender terbuka.

"Pemuda Perak bukannya mahu mencipta isu untuk kepentingan politik, tetapi ianya adalah hakikat yang perlu diperjelaskan oleh kerajaan negeri seiring dengan prinsip mereka yang kononnya memperjuangkan ketelusan", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas isu pembelian keperluan makanan untuk 5,000 keluarga miskin tegar di negeri terbabit yang dianggarkan RM500,000.

Zainol yang juga ADUN Sg Manik seterusnya berkata langkah kerajaan negeri untuk membantu rakyat miskin adalah dialu-alukan.

"Kita tidak berniat untuk menghalang mereka untuk membantu keluarga miskin. Namun apa yang kita persoalkan ialah pemberian tender untuk membeli keperluan makanan berkenaan yang tidak dibuat secara tender terbuka.

"Membantu keluarga miskin bukanlah satu tindakan yang perlu dilakukan secara tergesa-gesa seperti bencana banjir, kebakaran sehingga kerajaan negeri tidak sempat untuk membuka tender tersebut.

"Malah syarikat yang dapat membekalkan barangan tersebut juga cukup misteri kerana kerajaan negeri seperti takut untuk mendedahkan nama syarikat tersebut", katanya.

Beliau seterusnya berharap kerajaan negeri melaksanakan janji lain sepertimana yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya mereka baru-baru ini.

"Kita akan pantau dan teliti satu persatu apa yang belum dan apa yang telah dibuat oleh kerajaan Perak. Ini janji mereka dan manusia berpegang kepada janjinya", ujar beliau.

default

Melayu perlu kuat - Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri – Raja Nazrin

on Wednesday, June 25, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment



KUALA KANGSAR 21 Jun – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.

Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

“Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2008 di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu.

Titah baginda, bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah, malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

Baginda bertitah, MCKK menjadi kampung cerdik pandai Melayu yang terpilih daripada kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik.

‘‘Di sinilah asuhan, di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun temurun.

“Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap, dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya dan negara.

‘‘Bisikkan kepada mereka akan petua orang- orang tua bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

‘‘Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi, terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah.

‘‘Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya yang bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja,’’ titahnya.

Raja Nazrin bertitah, untuk itu, negara perlu melihat kedudukan MCKK daripada kaca mata penilaian yang berbeza dan tidak wajar disamakan dengan mana-mana institusi pendidikan lain.

Titah baginda, berasaskan akar sejarah penubuhannya, identiti MCKK daripada segi bentuk, tenaga pengajar, kurikulum dan kokurikulum harus mempunyai keunikan.

‘‘MCKK perlu senantiasa disuntik dengan nafas baru agar kekal dihormati sebagai institusi pendidikan menengah yang terunggul di negara ini.

‘‘Beta insaf betapa pentingnya kualiti, betapa mustahaknya taraf pendidikan di kolej ini ditingkatkan bertaraf dunia agar tradisi melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dapat diteruskan.

‘‘Dan keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan,’’ titah baginda.

ShareThis

default

Ezam tinggalkan Anwar kerana prinsip Islam

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Jun 23rd, 2008 oleh HangTuah · Tiada Ulasan
KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor semalam bersumpah atas nama Allah SWT dan Rasul akan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri kerana ‘prinsip seorang Muslim”.

Ezam yang berceramah di sini, semalam dilaporkan berkata, beliau sedia untuk ‘all-out’ bagi menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri ‘atas sebab-sebab tertentu’.

“Saya bukan jenis orang yang suka mengaibkan orang lain, tapi jangan cabar saya,” kata Ezam di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini.

Dalam ceramah bertajuk ‘Mempertahankan Perjuangan Pengasas Bangsa’ itu, Ezam menjelaskan politik cara Anwar Ibrahim akan menghancurkan kestabilan negara dari segi keselamatan dan ekonomi.

Dalam ceramah sulung di pentas UMNO itu, Ezam yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar berkata, tindakan beliau meninggalkan bekas boss nya itu semata-mata atas dasar prinsip.

Menurut beliau, biarpun ada dakwaan kononnya beliau disogok jutaan ringgit serta jawatan tertentu oleh UMNO, namun hakikat sebenarnya adalah beliau hilang kepercayaan pada perjuangan PKR.

“Dengan nama ALLAH saya tinggalkan Anwar atas prinsip sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip Islam yang tidak membenarkan saya membantu beliau menjadi pemimpin dalam apa cara sekalipun,” kata Ezam.

Jelas Ezam, sejak mengumumkan menyertai UMNO, beliau menjadi mangsa fitnah pihak tertentu.

Katanya, beliau tidak gentar sama sekali dengan fitnah-fitnah tersebut bahkan beliau memberi amaran bahawa kesabarannya ada batas.

“Saya tidak suka aibkan orang, tapi kalau terus memfitnah saya akan gempur habis-habisan,” katanya.

Turut hadir dalam ceramah tersebut adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Farid Wan Salleh.

ShareThis

default

Selamat Tinggal Islam Hadhari, Selamat Datang Agenda IFC

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Selamat Tinggal Islam Hadhari, Selamat Datang Agenda IFC



June 17, 2008 by Pendeta
Jika diimbas kembali di antara tuntutan-tuntutan Interfaith Commission (IFC) ada menyatakan bahawa “Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid-masjid.”

Dan pada 9 Jun 2008 yang lepas, tuntutan IFC ini telah berjaya dan akan dilaksanakan di Negeri Selangor.

IFC adalah satu gerakan anti-Islam yang didalangi oleh beberapa pemimpin dalam Pakatan Rakyat antaranya adalah Sivarasa a/l Rasiah (Naib Presiden PKR), Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), Ronnie Liu (Setiausaha Hal Ehwal Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan DAP Pusat , Elizabert Wong Keat Peng (Ketua Penerangan Wanita PKR) dan juga NGO-NGO yang lain.

Pada 9 Jun 2008, kerajaan campuran Pakatan Rakyat negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah membuat pengumuman untuk menghapuskan peraturan menghadkan rumah ibadat bukan Islam boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi di negeri itu.

Keputusan ini diumumkan oleh Dr. Xavier Jayakumar (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Naib Presiden PKR) bersama Ronnie Liu (Pengerusi Tetap Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Exco DAP Pusat)

Xavier ketika mula-mula mengangkat sumpah Yang Berhormat di Selangor menjanjikan tapak yang lebih luas berbanding sekarang ini iaitu 0.4 hektar sahaja.

Xavier turut berjanji menambah peruntukan tahunan sejumlah RM3 juta kepada rumah ibadat bukan Islam. Bukankah perkara ini ada di dalam salah satu daripada tuntutan IFC?

Di Selangor jumlah penduduk Islam adalah lebih kurang 4 juta orang dengan jumlah masjidnya adalah sebanyak 380 buah. Manakala penduduk yang beragama Hindu ialah berjumlah 700,000 orang dengan jumlah kuilnya sebanyak 1,000 buah. Apakah pula pendirian orang Melayu dalam PAS dan PKR tentang perkara ini?

Biarpun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seorang yang beragama Islam tetapi dia tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk menegur atau menghalang tindakan Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu. Sebaliknya keputusan yang diambil ditentukan oleh barisan Exco negeri itu sendiri.

Siapakah MB sebenarnya? Sama juga dengan kes beliau meluluskan ladang mega ternakan babi di Sepang, Selangor. Adakah jawatan Menteri Besar semata-mata sebagai “Pak Turut” dengan mengikuti segala kehendak DAP tanpa ada hak untuk mempertikaikannya?.

Mereka juga menuntut supaya keluasan sesuatu rumah ibadat bukan Islam hanya ditentukan oleh kerajaan negeri dengan melalui pihak berkuasa tempatan. Sebab itulah Ronnie Liu juga mencadangkan agar diadakan pilihanraya di peringkat PBT.

Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Penasihat kepada pakatan Pakatan Rakyat tidak dirujuk tentang cadangan Xavier ini? Kalau Anwar Ibrahim tahu sekalipun apakah Anwar akan menegur Xavier dan Ronnie Liu agar jangan berbuat sedemikian. Atau Anwar lebih percaya kepada Guan Eng berbanding Khalid Ibrahim?

Sama juga dengan sikap tidak ambil peduli Anwar Ibrahim ketika menghadiri satu jamuan makan malam sempena menyambut hari Krismas di sebuah restoran di Bandar Di Raja Kelang hujung tahun lalu.

Ketika Irene Fernandes mempertikaikan kenapa pihak Gereja Katolik tidak boleh menggunakan perkataan “Allah” dan bahasa Malaysia di dalam buletin dan bible mereka, Anwar Ibrahim sekadar berdiam diri sahaja.

Baru-baru ini dikhabarkan, Dr Dzulkefly (Ahli Parlimen Kuala Selangor) juga telah membaca ayat Al Quran di sebuah gereja di Selangor. Dr Dzulkefly menyatakan bahawa Islam memelihara hak semua orang tanpa mengira kaum.

Seorang lagi Exco dari pemimpin Pas, Datuk Dr Hassan Ali pula menyatakan Islam Hadhari diharamkan di Selangor.

Manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semasa berucap di sebuah gereja di Shah Alam menyatakan bahawa masyarakat Kristian tidak perlu takut untuk menggunakan terjemahan “Allah” untuk merujuk kepada kalimah “God” dalam Kristian dan ajarannya.

Khalid juga berpendapat bahawa perkataan “Allah” hanya terjemahan kepada perkataan “God”. Beliau juga mendakwa pihak gereja di Negara Arab juga menggunakan perkataan “Allah”.

Apakah pula pendirian Hassan Ali, Dr Dzulkefly dan Khalid Samad sebagai mewakili Pas dengan keputusan Xavier ini? Adakah sekadar diam seribu bahasa.

Inilah padahnya membiarkan Pakatan Rakyat memerintah Selangor, selepas membuat kandang babi di Sepang, mereka membenarkan pula agenda IFC dilaksanakan di Selangor.

Torashah

default

KHAIRY MENJELASKAN LAPORAN POLIS

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



June 25, 2008 by dewiarjuna
Tuduhan bermotifkan politik dan pembohongan yang nyata, sekali lagi dilakukan oleh Raja pencetus kontroversi iaitu Raja Petra Kamaruddin. Kali ini tuduhan beliau melibatkan Perdana Menteri dan Timbalannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibu.


Raja Petra dalam akuan bersumpahnya mendakwa ada tiga orang hadir pada tempat dan masa berlakunya pembunuhan Altantuya iaitu Rosmah, Pemangku Kolonel, Aziz Buyong yang juga seorang pakar bom C4 dan isterinya yang juga pengawal pengiring Rosmah, dikenali sebagai Norhayati.

Raja Petra dalam akuan bersumpah itu juga mendakwa beliau dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai secara pasti bahawa Perdana Menteri sudah menerima satu laporan perisikan tentera mengenai perkara itu dan laporan itu kini dalam simpanan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Khairy yang sebelum ini pernah ditanya berkenaan isu berkenaan berkata beliau akan membuat perbincangan dengan peguam beliau memandangkan ia melibatkan implikasi undang-undang sebelum beliau mengambil sebarang tindakan mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan.

Pada jam 10.30 malam tadi (24 Jun 2008), Khairy telah membuat satu laporan polis berkenaan pertuduhan yang diterimanya itu. Khairy telah menjelaskan dengan terperinci bahawasanya tuduhan Raja Petra itu merupakan satu pembohongan semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan dirinya sendiri.

Khairy menyatakan bahawa dia tidak pernah menerima apa-apa bentuk laporan berkenaan kes Altantuya sepertimana yang dilaporkan oleh Raja Petra dalam akuan bersumpah beliau itu. Raja Petra hanya membuat satu akuan palsu yang tiada bukti kesahihan sumber demi memburukkan nama mereka yang dikatakan terlibat terutamanya dirinya dan Pak Lah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.