default

KJ tonjolkan kematangan politik secara sederhana

on Wednesday, February 18, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 5 Comments


Ramai yang menonton rancangan Hujah TV9 malam semalam menjangkakan bahawa platform forum dan diskusi idea antara tiga calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan memperlihatkan trend agresif Khairy Jamaluddin terus diketengahkan kepada khalayak ramai. Khairy yang dilihat sebagai antara penceramah paling hebat dalam Pemuda UMNO mahupun UMNO induk sekalipun, dijangka mendominasi forum tersebut dengan ungkapan dan hujah yang radikal, dinamis dan bersemangat. Namun, dalam konteks di mana dua lagi calon untuk jawatan Ketua Pemuda, Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dilihat menghentam dan mengkritik sekuat-kuatnya institusi parti dan Kerajaan, Khairy dilihat terpanggil memainkan peranan yang lebih bersederhana untuk mempertahankan institusi tersebut daripada terus menerus dihentam oleh individu berkepentingan.

Memang jika dilihat persepsi sejurus selepas tamatnya forum tersebut, Khir tampak meninggalkan impak yang paling mendalam melalui kelantangannya mengkritik secara terbuka parti UMNO dan Kerajaan dalam isu ISA, Karpal Singh mahupun isu ekonomi. Selain itu, 'keberaniannya' mengungkap sejarah Islam – malah cuba menyamakan kebangkitannya selepas kekalahan Selangor ditangannya dengan kebangkitan Rasulullah s.a.w. selepas kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud – barangkali diharap mampu menambat hati para hadirin (yang ramainya terdiri daripada penyokongnya sendiri walaupun arahan penganjur untuk tidak membawa sebarang penyokong kecuali tiga atau empat pengiring). Namun jika dikaji, Khairy-lah yang paling bertanggungjawab dalam menyampaikan hujah di hadapan penonton dari seluruh pelusok tanah air yang bukan sahaja terdiri daripada ahli UMNO, tetapi juga rakyat biasa pelbagai kaum. Dengan pendiriannya yang memperlihatkan suatu kesinambungan dari kepimpinan Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy memastikan bahawa strategi dan perjuangan UMNO selama beberapa tahun ini tidak dibuang dan dipijak sewenang-wenangnya di saluran televisyen nasional.

Jika dahulu ada yang membantah cadangan Khairy untuk diadakan satu debat antara ketiga-tiga calon ini atas alasan ianya akan hanya membuka pekung di dada, kini seolah-olah Khairy pula yang terpaksa menjaga muka dan maruah parti. Apa tidaknya, Datuk Mukhriz pun cukup lantang membantai parti UMNO yang dikatakan sudah menyimpang dari perjuangan asal agama bangsa dan negara – suatu tamparan yang cukup hebat kepada institusi parti itu sendiri serta segenap pimpinan parti UMNO ini.

Dari segi pengisian hujah pula, Khairy tampak lebih nasional dan menyeluruh dari segi pendekatannya untuk memenangi hati pengundi muda di dalam dan luar jangkauan tradisi UMNO. Dalam isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) contohnya, Khairy mengambil pendekatan yang lebih matang sebagai seorang ahli politik dengan mengatakan bahawa ada keperluan untuk kepimpinan Pemuda turun padang menerangkan dan berbincang bersama golongan muda ini tentang peri pentingnya ISA disamping mendengar cadangan-cadangan mereka sama ada perlu ISA diubah sedikit sebanyak supaya tidak digunakan untuk sebarang kepentingan politik. Ini jauh berbeza dengan dua calon lain yang tidak teragak-agak mengesyorkan bahawa ISA digunakan sebagai penyelesai masalah, tanpa menghiraukan persepi orang muda kini yang cenderung kepada suatu politik baru di mana hak asasi dan kebebasan individu diberi tempat tinggi dalam sesuatu percaturan atau tindakan.

Dalam isu Kontrak Sosial dan Hak-hak Melayu pula, Khairy sepertimana yang pernah ditunjukkannya sebelum ini, berhujah dengan penuh hikmah dan berjaga-jaga supaya tidak mengguris hati mana-mana golongan pada waktu UMNO dan BN mahu meraih kembali sokongan pengundi bukan Melayu, tanpa langsung mencairkan semangat pejuang Melayunya itu. Contoh terbaik, Khir ada menyebut bahawa ideologi Ketuanan Rakyat yang dibawa Pakatan Rakyat merbahaya kerana cuba menyamarata-kan antara rakyat berbilang kaum. Memang ada kebenaran dalam hujah Khir, tetapi cara penyampaiannya tidak langsung strategik kerana sudah pasti berbaur bahawa UMNO tidak merasakan orang Cina dan India ini sama rata dengan orang Melayu. Apa gunanya menjadi wira Melayu di studio tetapi hilang undi bukan Melayu dalam Pilihanraya-pilihanraya kecil yang bakal menjelang. Apa gunanya menang sorak kampong tergadai?

Akhirnya, terpanggil kepada Khairy untuk membawa kembali perbincangan ke arah yang lebih bersederhana dan berhikmah sejajar dengan usaha UMNO menjadi mesra rakyat. Beliau sekali lagi menekankan kepentingan Pemuda UMNO bersama Pemuda BN mendampingi golongan muda bukan Melayu yang merasakan bahawa Kontrak Sosial yang dipraktikkan oleh generasi-generasi pendatang sebelum mereka tidak lagi begitu relevan kerana mereka dilahirkan di Malaysia dan tidak merasakan perlu terhutang kepada golongan Melayu se-generasi mereka. Proses mendampingi dan mencari titik persefahaman dalam isu-isu Kontrak Sosial, ISA dan sebagainya amat penting jika UMNO dan BN mahu meraih kembali sokongan orang muda.

Yang pasti, malam tadi menonjolkan Khairy Jamaluddin yang lebih rendah diri, lebih matang mirip pemimpin negarawan yang mampu mewujudkan suatu pengisian baru kepada perjuangan Pemuda setakat ini. Dibandingkan dengan dua calon yang lain, Khairy sebenar jauh sekali dari imej tuduhan budak nakal, agresif keterlaluan dan 'samseng' yang kerap dilemparkan terhadapnya. Malam tadi, negara Malaysia dapat menyaksikan dan menilai sendiri siapa liabiliti dan siapa aset sebenar untuk memenangi kembali undi golongan muda dalam pilihanraya kelak.

prokhairy.com

link

Calon Pemuda UMNO sepakat bawa perubahan

Khairy vs Mukhriz dan Khir Toyo

penilaian ke atas 3 calon Ketua Pemuda

default

Mukhriz terkeluar dari landasan persaingan Ketua Pemuda

on Tuesday, February 17, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 12 Comments


Pembabitan Tun Mahathir mencampuri pemilihan Ketua pemuda UMNO bertambah teruk dan lupa kepada hukum alam dan hukum kehidupan bahawa setiap yang datang ke dunia ini akan tetap kembali. Tun seolah-olah tidak merasakan bahawa waktu itu akan datang melamarnya dan masih sibuk menghabiskan sisa peluang untuk dekat kepada Allah SWT pada sisa waktu yang tinggal. Masih mahu memburukkan insan tertentu bagi memastikan anak dan generasi beliau berada dalam kepimpinan kerajaan, jika ini pilihan beliau tidak siapa yang dapat menghalang. Namun hanya sekadar teguran kepada orang yang pernah kita hormati dan sayangi.

Seperti tulisan terbaru MSO yang bertajuk UMNO, Mahathir dan ular tedung beliau telah mengulas bagaimana Tun menjadi ular tedung membunuh semua musuh beliau dengan kaedah yang sama tidak kira yang kecil mahupun yang besar. Beliau juga menulis bagaimana Tun telah membunuh kerjaya, Tengku Abdul Rahman, Tun Hussein On, Anwar Ibrahim dan yang terbaru Perdana Menteri Malaysia yang sedia ada, Pak Lah. Tidak cukup dengan akuan Pak Lah untuk melepaskan jawatan Mac ini. Tun terus mengasak Pak Lah dan seolah-olah mahu melihat Pak Lah benar-benar telah meletakan jawatan barulah beliau mempercayainya.

Kini sasaran Tun adalah, Naib Ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Khairy mesti dicincang dan tempatnya mesti digantikan dengan anak beliau Mukhriz Tun Mahathir.

klik di sini serangan terbaru Tun

Tun mahu memaksa perwakilan untuk memartabatkan Mukhriz di kerusi Ketua Pemuda UMNO walupun penglibatan Mukhriz dalam UMNO hanya baru setahun jagung dan Mukhriz juga tidaklah sama seperti Tun yang punyai daya pemikiran yang pintar dalam segala espek. Mukhriz anak lembab yang mana ketika Tun menjadi PM, Mukhriz adalah enjin penyedut untuk keluarga Tun di mana Mukhriz akan sedut apa yang boleh disedut untuk kekayaan keluarga.

Mukhriz bukan tidak dibenarkan berpolitik, cukuplah Tun berpolitik pada masa itu, yang lain buatlah kerja yang boleh mendapat keuntungan dari Tun. Namun itu juga merupakan satu kesilapan besar Tun yang sering kita ketahui sering membuat keputusan dan kesilapan yang besar. Sepatutnya Tun telah meletakan anaknya pada satu tempat yang selesa ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan beliau tidak perlu membuat dosa menabur fitnah dan memburukan menatu dan anak orang pada saat beliau sepatutnya berehat bermain dengan anak cucu.

Sebenarnya Mukhriz tidak hebat, Mukhriz tidak layak untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO. Tun sendiri tahu akan keadaan ini. Jika tidak masakan Tun terpaksa berhempas pulas melonjakan nama Mukhriz bagi menyaingi dua calon lagi Dr Khir Toyo dan juga Khairy Jamaluddin. Jika dibandingkan anatar tiga tokoh ini, Mukhriz nampak lembab dan sentiasaa blurr, tidak nampak hala tuju politik dan tidak tahu apa yang mahu dilakukan melainkan Tun terpaksa mengetuk beliau sepanjang masa. Mukhriz juga pernah tewas ketika merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO di bahagian beliau (Kubang Pasu) tanpa pertolongan Tun. Nyata Mukhriz hanya hidup dalam politik dibawah bibir Tun Mahathir. Sebagai anak jantan, Mukhriz kurang kejantanannya menghadapi pemilihan ini sendiri.

Dalam tulisan terbaru Tun menyerang Khairy Jamaluddin yang menuduh budak-budak tingkat 4 menasihati Pak Lah agar jangan berundur ditulis secara positif sekali sedangkan perkara ini tidak berlaku. Tun telah membuatnya sebagai satu isu besar yang seolah-olah perkara ini berlaku bagi mengaitkan Khairy Jamaluddin masih bernaung di bawah pengaruh Pak Lah. Tun sedar dan sangkaan Tun bahawa Khairy akan menjadi lemah setelah Pak Lah mengumumkana akan membuat perlaihan kuasa pada Mac ini meleset. Tun sedar bahawa Khairy sekarang bergerak atas kepintaran dan usaha belaiu sendiri. Tun tahu bahawa semua orang tahu bahawa Khairy sekarang bertanding kerusi Ketua Pemuda UMNO atas landasan beliau sendiri dan Mukhriz sebenarnya tidak mampu bersaing dalam pemilihan ini.

Buktinya, Tun telah menyerang Khir Toyo dengan isu rasuah, kerana Khir telah nampak bahawa lonjakan persaingan adalah antara Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin dan Mukhriz kini berada jauh dari gelanggang persaingan walaupun beliau mendapat pencalonan tertinggi. Pencalonan tertinggi tidak bermaknan beliau akan mendapat sokongan pengundian kerana pencalonan dibuat atas hormat kepada Tun dan hormat kepada agen-agen Mukhriz yang telah berjasa kepada bahagian-bahagian berkenaan.

Kalau Mukhriz benar-benar hebat, tentu sekali Mukhriz tidak menggunakan ayahnya yang bukan ahli UMNO untuk menyerang calon-calonn yang lain. Tun tidak perlu bermusuh dengan calon yang menentang anaknya untuk menafikan bahawa kerusi Ketua Pemuda UMNO akan dimiliki oleh Mukhriz yang dikenali sebagai si lembik ini. Tun juga tidak perlu menghancurkan UMNO bagi mencapai niat beliau. UMNO hancur pada pilihan raya yang lalu kerana Tun mahukan Pak Lah mengundurkan diri. Kini UMNO akan hancur lagi kerana Tun mahukan anaknya menajdi Ketua Pemuda UMNO.

Jika Mukhriz memenangi pemilihan Pemuda UMNO ini bererti UMNO akan mempunyai Ketua Pemuda UMNO yang paling lemah sekali. Calon yang paling lemah dan yang langsung tidak berkaliber telah memenangi pemilihan ini. Calon yang lembik telah menajdi Ketua Pemuda UMNO. Sebenarnya , pertandingan ini adalah di antara Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo saja. Mukhriz telah ditelan arus dan populariti beliau kurang bukan kerana siapa tetapi kerana kesilapan dan kelemahan diri beliau sendiri. Pemuda bukannya bodoh, mereka telah nampak dengan matanya bagaimana yang menonjol kehadapan adalah Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Mereka seakan-akan bertanya mana Mukhriz kerana yang mereka nampak ialah Tun Mahathir sahaja. Apakah Tun Mahathir yang akan bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO?

Sebenarnya belum terlewat bagi Mukhriz mahu tunjukan bahawa beliau juga ada ketrampilan dan kekuatan, kerana apa yang dilihat oleh pemuda sekarang adalah bayangan Mahathir yang membayang Mukhriz. Mukhziz perlu keluar dari bayanagan Tun Mahathir kerana hanya Mukhriz sahaja yang masih menyusu dan dibuai oleh ayahnya dalam gelanggang pemilihan Ketua Pemuda UMNO.


Oleh : Tepak Bersulam

komen PB


bila membaca blog che det ,lagi menyampah aku dengan sikap beliau ini .Tuduhan yang tidak berasas langsung dan jika kita mendegar titah YDPA Sultan Mizan yang bertitah menyebut berharap peralihan kuasa berjalan lancar pada bulan depan .

"Beta maklum bahawa Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Timbalan Perdana Menteri pada bulan depan setelah menerajui negara sejak 31 Oktober 2003.

"Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan," titah Seri Paduka ketika merasmikan persidangan Parlimen bagi penggal kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

default

Akhirnya satu lagi Bukit akan diadakan pilihanraya

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


11.30 PAGI - TERBARU: Satu lagi pilihanraya kecil bakal diadakan. SAH Ahli Dewan Undangan Negeri PKR kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong umum letak jawatan ADUN dan EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang akhbar di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya jam 11 pagi ini. Suasana kecoh timbul sejurus beliau umum nak letak jawatan apabila kira-kira 30 penyokongnya jerit pekik di situ persoalkan kenapa beliau perlu letak jawatan .Beliau memberi alasan keputusan ini dibuat demi kepentingan parti PKR. Pada ketika yang sama berbagai-bagai spekulasi berlegar tentang siapakah teman lelaki misteri yang didakwa merakam secara curi gambar Wong di rumahnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Sumber-sumber PKR beritahu ada yang kata ia mungkin Pemuda Melayu. Jika betul cerita ini kata mereka, ini kes berat kerana ia sudah masuk bab kes bersekedudukan. Ini sekaligus cetus isu moral. Jika tidak mereka sendiri hairan kenapa tiba-tiba Wong umum nak letak jawatan." Kalau tak salah kenapa takut sampai nak letak jawatan...mesti ada kes berat ni,"kata mereka membuat andaian mengenainya.

Sementara itu seperti diduga walaupun kes ini tak jelas jalan ceritanya lagi kalangan pemimpin pembangkang terus hentam Barisan Nasional (BN) terlibat.Antaranya Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok. Mereka dakwa ini taktik kotor BN nak jatuhkan wakil rakyat pembangkang. Dalam sidang akhbar itu Wong dakwa beliau tidak merasa bersalah dan tidak malu dengan seksualitinya sebagai wanita bujang. "Saya berdiri teguh dengan prinsip demokrasi bahawa setiap orang mempunyai hak privasi - 17/2/2009

agendadaily.com

default

Saksikan Hujah TV9 bersama KJ ,Khir dan Muhkriz

on Monday, February 16, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 2 Comments







Saksikan Rancangan Hujah jam 9:30 malam pada hari Selasa, 17 Februari ini di saluran TV9 untuk menyaksikan forum Ketua Pemuda yang membariskan kesemua calon-calon bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia iaitu Khairy, Mukhriz dan Khir. Ia akan dipengerusikan oleh Prof Agus Yusof dibuat secara live dari Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur .

default

SEMANGAT SETIA KAWAN MAMPU PERKUKUHKAN PEMUDA UMNO

on Sunday, February 15, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 5 Comments


Ikuti temu bual antara Wartawan B.Harian dan Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam ruangan Rencana, Berita Minggu bertarikh 15.2.09.

MENGAPA YB membuat keputusan bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Saya percaya Pemuda perlukan calon yang membawa suara orang muda di akar umbi. Berbanding calon lain, saya paling muda. Saya masih lagi umur Pemuda dan tidak melangkaui umur Umno dewasa. Maka, pendekatan, aspirasi, isi hati, memahami kebimbangan orang muda itu, saya rasa ada sedikit kelebihan kerana dapat merasai peralihan generasi yang sedang berlaku.

Apabila kita melihat Umno induk sendiri ada peralihan generasi daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak, maka saya nampak di dalam Pergerakan Pemuda kita perlukan peralihan itu.

Jika tidak, kita hanya retorik apabila menyebut mengenai peremajaan Umno dan tidak memberi peluang kepada generasi muda mengambil tampuk kepemimpinan berkenaan.

Dulu, tidak mengapa jika Ketua Pemuda berada di dalam kelompok usia dewasa. Mungkin kerana ada ketandusan pemimpin muda. Tetapi kini, Akta Belia pun sudah dipinda dan menyatakan Pengerusi dan pemimpin persatuan belia berada di bawah umur 40, maka dalam Pergerakan Pemuda ini perlu dipraktikkan.

Cabaran pilihan raya umum akan datang untuk menarik minat pengundi muda di bawah umur 40. Jadi kita perlukan kepemimpinan yang menjiwai orang muda, dipimpin oleh orang muda. Tahun ini, kita mahu catatkan sejarah, Pemuda Untuk Pemuda.

Kenapa YB menjadi calon terakhir mengumumkan untuk bertanding.

Saya mengambil sikap tunggu dulu kerana mahu lihat calon lain yang menawarkan diri. Kita kena bagi alternatif kepada perwakilan. Saya nampak dua calon menawarkan diri sudah masuk usia pertengahan 40-an. Jadi saya tunggu mana tahu kalau ada calon dalam lingkungan umur 30-an membuat pengumuman dan ke depan. Apabila tiada, saya selaku Naib Ketua Pemuda, rasanya ada platform untuk ke jawatan Ketua Pemuda.

Bagi saya Pergerakan Pemuda memerlukan pemimpin jangka panjang dan wawasan masa depan. Bagi saya umur masih 33 tahun, boleh lama bersama Pemuda. Untuk mengukuhkan Pemuda memerlukan sentuhan jangka masa panjang.

Mengapa YB memilih slogan 'setia kawan' bagi persaingan ini.


Perkara paling asas dalam perjuangan politik adalah keikhlasan menjaga angkatan dan barisan kita. Setia kawan bermaksud kita pentingkan rakan-rakan bukan hanya diri sendiri. Saya berpegang kepada prinsip perjuangan semangat berpasukan. Jadi apa yang berlaku kepada rakan, akan beri kesan kepada kita.

Jika di medan perang, rakan ditembak, kita juga berasa sakitnya. Kalau rakan menganggur, kita pun rasa susah. Kalau kawan ada masalah, kita pun rasa kebimbangannya. Jadi saya mahu tanamkan dalam hati Pemuda, apa yang paling penting adalah menjaga rakan. Saya tak suka budaya tamak atau pentingkan diri. Setia kawan adalah budaya orang Timur dan Melayu seperti kita menjaga kampung sendiri. Saya tak mahu Pemuda hanya jaga diri sendiri.

Sedari awal berpolitik, saya sering mendengar ungkapan Inggeris - 'In politics there are no permanent friends and permanent enemies.' (Dalam politik, tiada rakan atau musuh yang kekal). Contoh paling jelas Pakatan Rakyat, dulu musuh sekarang kawan. Tetapi untuk kata tiada rakan kekal, saya tidak setuju. Kalau kita pegang pada ungkapan tiada rakan kekal, ia seolah-olah kita tiada prinsip. Kita mesti ada prinsip. Susah senang bersama rakan. Jangan guna perwakilan hanya ketika kempen untuk menang. Dengan slogan setia kawan ini, saya sebenarnya berikrar dan berjanji akan ingat jasa perwakilan selama-lamanya.

Ada menyifatkan YB masih baru atau kurang
berpengalaman.


Dari segi pengalaman dan mengikut usia, saya memang masih muda tetapi di dalam Pemuda selaku Naib Ketua sudah empat tahun. Sebelum itu menjadi Exco untuk empat tahun juga. Jadi sedikit sebanyak dapat menimba pengalaman terutama di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ketua Pemuda). Tidak hanya visinya, tetapi juga aspek pentadbiran dan pengurusan Pemuda. Soal pengalaman menjaga orang muda ini, saya memang sudah ada. Calon lain pun ada pengalaman dan tidak boleh dipertikaikan. Pengalaman menjaga Pemuda itulah yang relevan menjadi Ketua Pemuda.

Bagaimana YB melihat peluang memandangkan saingan lain tidak kurang hebatnya.

Susah nak buat rumusan mengenai peluang kemenangan tetapi saya merayu perwakilan pertimbangkan pencalonan saya. Kalau mereka inginkan kepemimpinan muda dan pemimpin yang mengutamakan kebajikan mereka, itulah slogan setia kawan yang saya bawa. Kalau ada kawan yang setia, kita akan membantu kawan-kawan kita. Saya anggap ahli pergerakan ini kawan-kawan. Saya bukannya ketua dan yang lain pengikut. Itu bukan saya kerana saya adalah sebahagian daripada angkatan ini. Cuma diangkat dan diamanahkan menjadi Naib Ketua tetapi saya kena ingat bahawa amanah itu berdasarkan kepada setia kawan untuk bantu akar umbi.

Kini, tekanan ekonomi dirasai oleh semua bukan saja ahli Umno tetapi seluruh rakyat. Apabila menjadi ketua, saya kena menjaga akar umbi, memastikan peluang pekerjaan dan peluang ekonomi untuk generasi muda Melayu dan ahli Pemuda dijaga dengan sempurna. Saya ada memberitahu ahli, saya mahu menjadi pekerja untuk mereka dan jangan anggap saya sebagai ketua dan pemimpin saja. Saya diberi amanah dan perlu bekerja. Sebab itu, sebagai calon yang ada rancangan masa depan, saya tidak menganggap jawatan Ketua Pemuda sebagai batu loncatan, duduk hanya satu penggal dan kemudian mendapatkan jawatan lebih tinggi.

Berikutan hasrat memegang jawatan ini untuk jangka masa lama, perkara pertama yang harus saya buat adalah bekerja bersungguh-sungguh. Jika tidak saya akan ditolak pada penggal seterusnya. Apabila kita ada kesungguhan untuk jangka panjang ia berbeza dengan azam mereka yang mahukan ia sebagai batu loncatan ke peringkat lebih tinggi atau menjadi pemimpin untuk satu penggal saja.

Apakah ciri seorang Ketua Pemuda pada pandangan YB.

Pertama mestilah seorang yang mempunyai kelantangan menyuarakan hasrat rakyat dan bangsa. Kedua, dapat berhujah dengan berkesan. Kadang-kadang kita lantang tetapi tidak berisi, maka tidak dapat menyampaikan mesej dan patahkan hujah pembangkang. Jadi kita kena ada kebolehan berhujah bagi menyampaikan maklumat serta berdepan pembangkang.

Ketiga, lebih kepada perkhidmatan. Mereka perlu memastikan telinga selalu mendengar masalah daripada bawah. Ketua Pemuda perlu meruntuhkan segala dinding protokol yang ada bagi merapatkan jurang kepemimpinan dan akar umbi. Itu paling penting. Jika kita berhenti mendengar rintihan dan masalah akar umbi, maka di situlah kita berhenti menjadi pemimpin berkesan.

Andai terpilih, apakah YB akan menjadi lebih lantang bersuara.


Kelantangan ini kena bertempat. Kalau kita hanya lantang bersuara tetapi tidak bekerja, ia tidak memberi sebarang kesan. Apa yang penting, Pemuda ini bukan hanya pendesak tetapi pembawa penyelesaian masalah. Zaman Pemuda dulu amat berbeza berbanding sekarang.

Pemuda zaman dulu tidak ada cara dan peranan untuk menentukan dasar orang muda dan menyelesaikan masalah mereka. Kini Pemuda sudah ada peranan dalam kerajaan dan diberikan tempat oleh kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk selesaikan masalah.

Minggu lalu misalnya, kelantangan Pemuda terserlah memperjuangkan dan mempertahankan Raja Berperlembagaan dalam kes di Perak. Pemuda juga membuat laporan polis dan saya menghimpunkan lebih 4,000 orang di padang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Malah, selepas itu Pemuda Selangor dan Wilayah mengambil tindakan susulan membuat demonstrasi dan perhimpunan. Ini semua adalah kelantangan Pemuda. Kelantangan Pemuda bertempat, kita bukannya buat semua itu untuk setiap isu. Kalau tidak ia akan menampakkan kita tiada kerja lain selain berdemonstrasi saja. Bagi saya, kita perlu ada dua pendekatan, satu kelantangan dari segi ke hadapan tetapi biarlah bertempat dan kedua, ada penyelesaian.

Apa pandangan yang melihat YB sebagai samseng Umno.

Saya bukan samseng... agresif Pemuda pun bertempat. Apa yang saya lakukan bukannya membawa budaya samseng tetapi kelantangan bersuara, bukan kekerasan. Itu bukan budaya kita.

YB adalah Naib Ketua Pemuda. Bukankah ini satu kelebihan berbanding calon lain.

Saya nampak, jika calon yang lain tidak popular maka ia akan bagi kelebihan kepada saya. Namun, dua calon itu ada nama dalam politik. Saya sebagai Naib Ketua Pemuda tidak bawa apa-apa kelebihan. Calon lain saya lihat menawarkan perubahan secara menyeluruh kepada Pemuda, seolah-olah apa yang sudah dilakukan Pemuda sebelum ini tidak berkesan langsung.

Sebagai Naib Ketua, saya mengambil tanggungjawab bersama Hishammuddin dan tidak benar apa yang kita buat selama ini semuanya tidak betul. Saya tidak boleh menerima dakwaan itu. Saya akui ada benda yang perlukan pembaharuan dan diperbaiki. Mungkin calon lain merasakan mereka bebas mengkritik kepemimpinan Pemuda sekarang.


Apa yang YB maksudkan peremajaan dan pemugaran dalam Umno.

Peremajaan adalah peralihan generasi. Kita melihat kini berlaku peralihan kuasa yang bukan hanya membabitkan perubahan pemimpin tetapi peralihan generasi. Daripada seorang pemimpin negara dan parti yang terakhir lahir sebelum kemerdekaan kepada pemimpin yang dibesarkan dalam era pasca kemerdekaan. Inilah peralihan generasi yang cukup ketara sekali.

Dalam konteks Pemuda, saya mahu menyeru ahli supaya buat peralihan generasi daripada kepemimpinan pada usia 40-an kepada 30-an, generasi Wawasan 2020. Saya adalah generasi Wawasan ini. Jadi itulah maksud peremajaan. Dalam konteks gerak kerja, kita kena bagi peluang ramai lagi orang muda masuk parti dan bersama dengan kita.

Kini, orang muda rasakan ada sekatan untuk berada dalam Umno dan perkara ini bukan hanya membabitkan keahlian semata-mata tetapi program yang kita laksanakan untuk generasi muda. Program yang kita laksanakan juga tidak harus syok sendiri saja. Buat program hanya untuk orang Umno. Saya nampak program yang dianjurkan hanya untuk ahli, muka yang sama dan tidak membabitkan generasi muda yang umum dan luas.

Kita harus sedar hakikat, pengundi muda untuk pilihan raya umum akan datang ada lebih 7 juta berbanding keahlian Pemuda 750,000. Oleh itu, kita kena menjangkaui batasan tradisi, tidak hanya menganjurkan program untuk ahli Umno.

Jika kita menarik penyertaan lebih ramai orang, proses meremajakan Umno akan berlangsung secara automatik kerana keyakinan orang muda kembali kepada Umno kerana Umno menampilkan wajah dan satu gerak kerja yang lebih sesuai dan serasi dengan orang muda.

Apa yang boleh YB tawarkan jika dipilih sebagai Ketua Pemuda.

Pertama, kita mahu bergerak dalam keahlian Pemuda Umno. Kita jaga kebajikan ahli Pemuda yang boleh menyebabkan ahli bersemangat membawa perjuangan. Jika kita tidak mampu menjaga rumah tangga, serta ekonomi ahli, maka semangat perjuangan turut terbatas kerana mereka terpaksa memikirkan kepentingan diri tanpa fikirkan masalah bangsa.

Kedua, menarik minat generasi muda di luar Umno. Kita nak mengenal pasti program untuk golongan muda di bawah umur 40-an ini. Kita akan mengadakan program untuk masyarakat bawah usia 40-an seperti pegawai kerajaan, guru, profesional, imam, ahli akademik serta media. Jangan kita fikir mereka yang bukan ahli Umno ini tidak sokong kita. Mereka ini menyokong cuma tidak menjadi ahli saja. Jadi, sentuhan ini berbeza. Kita perlu bertanya apa yang mereka mahukan dan apa yang patut Pemuda lakukan. Kadang-kadang kalau kita hanya mendengar suara orang Umno, pemikiran kita terbatas dan kita tidak menjadi masyarakat terbuka kerana tidak mendengar pendapat mereka di luar. Jadi saya mahu pecahkan sentimen sebegini dan segmen masyarakat. Kita mungkin adakan dialog dengan mereka dan buat program tertentu. Kita kena buat program mengikut sasaran masyarakat dan kehendak mereka.

Ketiga, saya mahu merapatkan lagi hubungan dengan parti komponen kerana sebagai Ketua Pemuda Umno, pemimpinnya juga menjadi Pengerusi Pemuda BN. Kita tidak boleh lupa kepada 14 parti komponen ini. Pendekatan yang ingin saya bawa adalah yang berhemah dan berprinsip tanpa berkompromi dengan perjuangan Umno serta pendekatan mengukuhkan lagi hubungan antara Pergerakan Pemuda komponen yang lain.

Sebelum ini kita melihat dan mencari penyelesaian dalam perbalahan yang berlaku. Kini, kita kena cari formula yang dapat kukuhkan hubungan malah, saya akan kerapkan mesyuarat Pemuda BN di semua peringkat supaya dalam apa isu kita akan bercakap senada dan satu suara. Saya tidak mahu lagi selepas ini isu seperti isu Melayu hanya dibangkitkan oleh Umno, Cina oleh MCA dan kemiskinan golongan muda India oleh MIC. Apa salahnya kita bangkitkan isu secara bersama, saya rasa tak salah. Saya rasa tak kurang semangat nasionalisme kalau saya bantu bangsa lain untuk masalah mereka sendiri. Inilah konsep perkongsian kuasa tulen.

Tidakkah YB melihat pendekatan bersuara bagi bangsa lain boleh mencetuskan rasa tidak senang.


Tidak. Apa salahnya kita melakukan perkara yang tidak bercanggah dengan perjuangan. Contohnya jika kita perjuangkan isu kemiskinan di estet, adakah ini dilihat sebagai bercanggah dengan orang Melayu? Saya rasa tidak. Jika kita cakap mengenai bantuan kepada pelajar Cina, ia juga tidak menjejaskan tumpuan kepada kepentingan Melayu. Begitu juga dengan rakan MCA dan MIC yang sepatutnya sama-sama membantu isu lain yang turut membabitkan kepentingan Melayu di luar bandar. Ini bukan 'zero sum game' iaitu saya untung kamu kalah. Kita perlu cari isu yang boleh bawa keuntungan kepada semua bangsa.

Pandangan YB mengenai politik wang hingga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mencadangkan sayap Umno dibubarkan.

Cara menangani politik wang bukan membubarkan, sebaliknya mengukuhkan lagi sayap parti. Inilah tempat kita mendidik ahli muda erti perjuangan sebenar iaitu majukan negara, bangsa serta tegakkan syiar Islam. Kalau kita bubarkan sayap ini, habislah idealisme parti yang membara di kalangan orang muda. Inilah tempatnya kita perangi habis-habisan politik wang. Kita terapkan jati diri, prinsip, keikhlasan perjuangan di kalangan mereka. Bagi menangani politik wang, kita harus kuatkan idealisme ahli.

Kenyataan Tengku Ahmad Rithauddeen itu seolah-olah politik wang cuma wujud dalam sayap sedangkan ia masalah umum yang perlu ditangani. Kalau pendidikan politik itu dijalankan menyeluruh dengan memberi latihan ahli Pemuda dan Puteri, mereka dapat menilai pemimpin berdasarkan kesungguhan dan keikhlasan perjuangan.

Saya juga mahu bawa satu budaya dalam Pemuda iaitu pemikiran yang matang. Apa saja kita buat perlu berdasarkan kepada hikmah dan kebijaksanaan. Kita pilih pemimpin bukan ikut sentimen, tapi kekuatan dan kesesuaian. Kalau tiada budaya ini dalam Pemuda, mereka akan ikut nafsu seperti kerakusan mendapatkan duit yang tidak berdasarkan kewarasan.

Tidakkah status menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh mengaburi kemampuan sebenar YB.

Saya melihat sebahagian besar perwakilan dapat menilai calon berdasarkan kekuatan peribadi bukan persepsi, pertalian keluarga atau kekuatan ekonomi. Selepas bertemu perwakilan dalam tempoh dua tiga bulan lalu, saya dapat rasakan kejujuran dan pemikiran mereka.

Saya tekankan kepada mereka, jangan pilih pemimpin kerana beliau menantu, anak atau pernah pegang jawatan tetapi pilih untuk masa depan Pemuda dan apa yang boleh beliau lakukan.

Apakah YB yakin dapat terus bertahan dalam bidang politik selepas peralihan kepemimpinan bulan depan.

Jika kemasukan saya dalam politik bergantung sepenuhnya kepada usaha Pak Lah, mungkin soalan itu relevan. Tapi dari dulu, saya cuba berdikari dan di atas kekuatan sendiri. Bagi saya, Insya-Allah saya boleh terus bertahan dalam senario pasca pentadbiran Pak Lah sebab saya tak pernah bergantung kepada pertalian itu. Saya berpolitik atas kekuatan dan kesungguhan saya.


Bagaimana dengan pandangan pihak yang beranggapan YB patut berundur selepas ketiadaan Pak Lah.


Biarlah kita serahkan kepada perwakilan membuat keputusan itu. Tiada siapa pun yang layak menentukan sama ada seseorang itu relevan atau tidak dalam parti selain ahli dan perwakilan.

Apa harapan YB bagi pemilihan ini.

Pertama, harapan saya perwakilan membuat pilihan calon mengikut merit. Kita perlu ada sistem merit dalam politik. Apabila kita nilai calon, kita tahu kelayakan calon itu untuk jadi Ketua Pemuda. Keupayaannya dari segi kebolehan dan kejujuran.

Kedua, saya harap perwakilan pilih calon yang mempunyai perancangan masa panjang untuk Pemuda bukan hanya 'singgah' untuk jawatan lain. Buat pilihan ikut realiti, bukan persepsi. Saya rasa perwakilan Pemuda lebih mengenali saya dan realiti siapa saya daripada persepsi yang ada.

www.bharian.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.