default

PM beri penjelasan serangan dari Ku Li dan TDM

on Sunday, April 6, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


PM: Ku Li punca Umno kalah di K'tan
Apr 6, 08 4:50pm
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya "melihat diri sendiri" kerana beliau pernah menjadi punca kekalahan parti itu di Kelantan pada 1990.

Malah, tegas presiden Umno, salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen Tengku Razaleigh juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Calon BN di Galas, Saufi Deraman, gagal mempertahankannya dan tewas kepada calon PAS Che Hashim Sulaiman.
Che Hashim menang dengan majoriti 646 undi. Pada 2004, Saufi menewaskan Che Hashim dengan majoriti 1,729 undi.

Parlimen Gua Musang mempunyai tiga kerusi DUN - Galas, Nenggeri dan Paloh. Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi parlimennya itu dengan majoriti 4,394 undi berbanding 6,598 pada 2004.

Dalam pilihanraya umum 1990, Tengku Razaleigh yang ketika itu menjadi presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) telah menyertai barisan pembangkang yang dikenali Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS dan Berjasa.
S46 merupakan parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh apabila Umno diharamkan akibat krisis selepas beliau gagal menumbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Perhimpunan khas
APU berjaya merampas Kelantan dari BN, PAS dan S46 kemudian menubuhkan kerajaan campuran di negeri tersebut.
Bagaimanapun, Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan Umno selepas pilihanraya umum 1995 selepas S46 dibubarkan apabila beliau dan Dr Mahathir saling maaf-bermaafan.

Menjawab soalan di sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua penerangan Umno bahagian di ibu negara hari ini, Abdullah berkata, Tengku Razaleigh pernah dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, tetapi beliau juga gagal mengembalikan negeri itu ke tangan BN.

Presiden Umno juga kecewa kerana beliau dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh "tidak membantu" Umno Kelantan dalam pilihanraya umum lalu.
Tengku Razaleigh juga telah menyatakan hasratnya bersedia dicalonkan bertanding jawatan presiden menentang Abdullah dalam pemilihan Umno Disember depan.

Abdullah juga berkata, beliau tidak faham sikap Dr Mahathir yang seolah-olah bersikap "berdolak-dalik" dalam pendiriannya terhadap kerajaan dan pembangkang.

'Keluar arahan'

"Apabila kita (Barisan Nasional) menang besar dalam pilihanraya umum 2004, beliau kata ini kuat sangat, tak elok, mesti ada pembangkang, seolah-olah beliau dapat terima pembangkang sepanjang masa," kata Abdullah.
"Apabila pembangkang naik (menang besar), saya ingat beliau nak merayakannya, (tapi), beliau hentam kita balik...
"Mengapa boleh jadi begini, nampaknya menang banyak pun tak boleh... sikitpun tak boleh...(jadi) apa yang boleh?" tegas Abdullah lagi.

Selain itu, kata Abdullah, beliau juga didakwa terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno tidak berani bersuara, sedangkan menurut beliau lagi, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir sewaktu masih berkuasa.
"Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut. Tetapi depa kata (kepemimpinan) saya lembik tapi (ada) orang takut kat si lembik - seolah-olah dalam kabinet, (menteri) bodoh belaka, (menantu saya) Khairy (Jamaluddin) seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya.

"Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaja. Apakah pada masa dulu (era Dr Mahathir) tidak ada sekatan-sekatan tertentu… "Bila Dr Mahahtir mengambil alih jawatan daripada Tun Hussein (Onn), saya tahu reporter semua dipanggil jangan memberi liputan berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein.

"Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu, bukan saya tak tahu," katanya.
Dalam operasi besar-besaran tangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 yang digelar Operasi Lalang, lebih 100 ahli politik termasuk tiga pemimpin Pemuda Umno dan aktivis ditangkap.

Menurut Abdullah lagi, pada zaman Dr Mahahtir, arahan dibuat dari masa ke semasa agar orang tertentu tidak dipilih.
Kini, katanya, ahli-ahli umno sudah berani bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu ketika Dr Mahathir masih berkuasa.

default

Ucapan Ikhlas dari Pak Lah

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




SUARA RAKYAT DI DENGARI HARAPAN RAKYAT AKAN DI TUNAIKAN

Written by Nurul
Sunday, 06 April 2008

(KRONOLOGI PERJUMPAAN PM DENGAN KETUA PENERANGAN UMNO BAHAGIAN)

10.05 pagi ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai di PWTC hari ini bagi bertemu dengan Ketua-ketua Bahagian dari seluruh tanah air bagi untuk memberi penerangan dan taklimat mengenai prestasi BN pada PRU12 baru-baru ini.



Dewan penuh sesak sehingga para hadirin terpaksa berdiri dikeliling dewan, lebih kurang 1,300 orang tidak dapat masuk ke Dewan Tun Hussien Onn, membuat pilihan untuk menunggu di perkarangan luar dewan sahaja.



Majlis dimulakan dengan bacaan doa, dimana para hadirin menyeru kepada Allah S.W.T agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di beri kekuatan agar saling bersatu serta bantu membantu dalam menerajui negara. Sejurus acara bacaan doa Lagu Negaraku dan UMNO dimainkan bagi menaikan semangat patrioritik dikalangan pemimpin UMNO dan rakyat.



Majlis terus di hangatkan dengan ucapan dari Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyentuh isu kepimpinan Perdana Menteri yang sentiasa dikritik, dan di palit dengan tuduhan-tudahan palsu. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa perkara meletakan semua kesalahan di atas bahu pemimpin sama sekali tidak adil dan perlu di perbetulkan.



Tan Sri Muhammad turut menyarankan agar presepsi rakyat terhadap Perdana Menteri harus diubah bagi menguatkan lagi parti keramat melayu UMNO.



Dalam mengharungi zaman teknologi tinggi seperti sekarang, banyak kritikan yang UMNO terima jadi, UMNO juga memerlukan masa untuk menyesuaikan parti sejajar dengan perkembangan dunia dan teknologi.



UMNO pernah melalui zaman krisis dan hampir terkubur yang disebabkan anasir-anasir luar yang cuba menjatuhkan melayu dan orang dalam UMNO itu sendiri. UMNO dan orang Melayu harus menghentikan pergaduhan sesama sendiri dan harus memandang ke hadapan bagi berhadapan dengan musuh.



UMNO tidak boleh gagal, jika gagal UMNO gagallah Melayu, sebagai seorang melayu dan juga rakyat kita harus memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk memperkukuh dan memperkasakan Parti UMNO dalam tahun 2008 ini supaya menjadi lebih baik dari tahun 1999.



Tan Sri Muhammad juga menambah, kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang kukuh berdiri di belakang Perdana Menteri dan akan sentiasa bergading bahu mengatasi masalah negara bersama.



Bermula jam 10.45 pagi Perdana Menteri menggambil tempat untuk berucap, Ucapan beliau yang amat bertenaga dapat mengupas beberapa isu yang menjadi persoalan yang tidak terjawab sebelum ini.. Ramai yang merasa lega dan faham akan kedudukkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan seharusnya beliau diberikan kepercayaan yang penuh untuk memimpin negara dan mengepalai pucuk kepimpinan UMNO dan BN.



Beliau menggambil keputusan untuk mula bercakap setelah sekian lama mendiamkan diri apabila sentiasa diselar oleh pihak tertentu, bagi menjaga kepentingan parti UMNO dan berhasrat akan memperkuatkan parti setelah sokongan rakyat semakin berkurangan.



Sekarang adalah masa untuk memperbaiki keutuhan parti ini kerana ada pihak yang ingin merobohkan parti UMNO.



Kerajaan faham dan mengerti akan mesej yang disampaikan oleh rakyat kepada pemimpin, rakyat mahukan pembahruan, rakyat mahukan pembentukan semula badan kehakiman, dan Pak Lah akui perlaksanaannya masih belum cukup dan tidak memuaskan hati rakyat.



Pak Lah akui selepas 2004 rakyat meletakan harapan yang tinggi, yakni kita harus buat yang terbaik, kenaikan harga minyak dan barang meningkat membuatkan rakyat marah. Tapi ini bukan bermakna kami tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat.



Pihak kerajaan sentiasa mencari jalan agar dapat mengurangkan beban rakyat, dan kerajaan turut menjelaskan apa yang telah dilaksanakan. Kita mungkin tidak sedar sekarang demi memenuhi kehedak kita sebagai rakyat, semua bebanan dihalakan ke Petronas dan adakah penubuhan Petronas itu hanya untuk memberi subsidi kepada kita?



Sebagai rakyat kita sudah semestinya mahukan pembangunan, tapi apa yang berlaku , rakyat lebih cenderung mahukan subsidi dari pembangunan.



Tugas kerajaan bukan sedikit, pelbagai isu harus ditangani, isu agama, isu kuil, dan isu hindraf yang akhirnya membuat masyarakat India menolak kerajaan demi kepentingan bangsa mereka. Kebecian berasaskan agama dan bangsa semakin menjadi-jadi, termasuk juga bangsa cina yang tidak pernah berpuas hati dengan bangsa melayu.



Mereka menggangap orang melayu kuat kerana DEB diberi keutamaan pada orang melayu bagi mengkuhkan ekonomi orang melayu manakala pinjaman SME, diberi keutamaan kepada orang melayu dan pekerja sektor awam seperti polis dan askar dimana majoritinya bumiputra. Inilah yang menyebabkan orang cina tidak senang dengan orang melayu.



Pak Lah turut menjawab isu yang dibangkitkan oleh mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir yang menyatakan kita memerlukan parti pembangkang yang kukuh, bukan menahan dan menangkis pembangkang tapi seolah menggalakannya.



Bila pembangkang kuat Pak Lah dihentam oleh Tun. Adakah ini adil sedangkan Tun sendiri yang menggalakan pembangkang.



Jika dibangdingkan dengan tahun 1999, sokongan yang kita dapat sekarang adalah jauh lebih baik, kita masih mendapat sokongan dari masyarakat melayu dibandar dan diluar Bandar contohnya seperti Felda.



Semasa berkuasa Tun guna ISA, operasi lalang yang dianggapnya begitu kuat. Tetapi apa yang jadi sebaliknya apabila Pak Lah berkuasa, "Tun cakap saya lembik saya lemah dan dalam pada masa yang sama dia cakap orang takut dekat saya, saya tak nak cakap lagi (mengenai Tun Dr Mahathir) sebab banyak benda akan timbul nanti".



Pak Lah turut menjawab isu di mana orang ramai mahukan Tun menyiasat Video kes Lingam sedangkan perkara itu tidak berlaku di zaman Pak Lah. Khairy dituduh sebagai penentu kabinet dan senarai calon, "saya lebih kenal siapa menatu saya dari orang luar".



"Segala urusan kabinet dan senarai calon adalah diselenggarakan dan ditentukan oleh saya sendiri bersama Najib dan Radzi Sheikh Ahmad." Ini sama sekali tidak melibatkan Khairy ataupun tingkat empat seperti yang dituduh pihak tertentu.



Mereka hanya menyampaikan laporan-laporan Pak Lah, tetapi keputusan adalah tanggunjawab saya dan bukan mereka. Kini timbul isu kuota dalam UMNO, Pak Lah dengan tegas berkata bahawa sistem kuota itu bukan dibuat olehnya atau di zaman pemerintahannya.



Apa yang menjadi fokus Pak Lah sekarang adalah ingin mengotakan janji beliau yang mahu membasmi kemiskinan yang seakan sudah menjadi penyakit keturunan di negara ini. Tetapi pelaksanaan ini harus diteliti dan diperhalusi dari segi faktor budjet terutamanya.



Pak Lah juga mahu lebih banyak ruang diberi kepada rakyat untuk membincangkan isu semasa dengan bebas. Koridor-koridor akan diteruskan bagi merealisasikan misi negara kukuh. Pak Lah juga berhasrat dapat membantu meningkatkan lagi modal insan, sokongan terhadap parti bagi menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap kempimpianannya.



Banyak perkara yang harus kita selesaikan, kita harus menyusun semula parti kita dan berhadapan dengan kencaman perang siber. Kita juga harus melihat sikap kita terhadap agama kerana agama telah menjadi satu isu besar terhadap pihak bukan islam.



Pak Lah turut menjawab tuduhan Tun yang kerajaan tidak ada peluang untuk menggambil kembali negeri yang sudah terlepas ke tangan pembangkang, ketika berkuasa adakah Tun berjaya menggambil kembali Kelantan? Ku Li pula tidak banyak yang dilakukan dalam usaha menawan Kelantan malah beliau kalah satu kerusi di kawasan beliau sendiri.



Kita harus sedar motif PKR hanya untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, segala isu yang dibangkitkan oleh Anwar tentang media samalah seperti membuka pekung didadanya sendiri, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri Anwar orang yang mengawal media. Ia adalah pakatan Mahathir dan Anwar itu sendiri.



Ketika mula menjadi Perdana Menteri arahan pertama Tun Dr. Mahathir adalah Media tidak boleh membuat sebarang liputan tentang Tun Hussein Onn. Begitu mudah Tun lupa perkara yang dipratikkan oleh beliau sehingga menjadi satu tradisi selama 22 tahun di arena pemerintahan beliau.



Di akhir ucapan, Pak Lah menegaskan bahawa musuh kita adalah pembangkang yang tidak senang denga melayu. Semasa beliau memilih Najib sebagai timbalan beliau, apa yang beliau mahukan adalah bekerja bersama Najib, "saya sudah hampir 70 tahun, berapa lama lagi saya boleh bertahan, kita harus pulihkan parti keramat kita, Insyallah bila kamu (Najib) ambil alih nanti segalanya akan menjadi lebih baik", 2020 bukan untuk saya, mungkin Najib sebagai orang nombor satu negara yang akan melaungkan negara maju, bangsa kita maju" tambah Pak Lah lagi.

Pak Lah turut berharap dapat bersama-sama meraikan detik itu nanti walaupun ketika itu beliau mungkin duduk di kerusi roda. " Saya bukan tamak (kuasa) saya bersyukur", akhiri beliau.

default

Pulihkan survival politik UMNO

on Saturday, April 5, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments




Pulihkan survival politik UMNO

Oleh: AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)

BAGAIMANAKAH orang Melayu hendak melangkah ke hadapan dengan suasana politik sekarang? Kejutan keputusan pilihan raya umum hampir sebulan lalu masih terasa. Senario kegagalan menangani keluhan rakyat akhirnya menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ada yang tidak malu-malu mendakwa pucuk pimpinan Melayu gagal memahami dan menganalisis suara orang bawah.

Namun, apa yang berlaku ibarat pergolakan dalam urusan rumah tangga. Misalnya apabila suami dan isteri bergaduh, mereka akan berbaik-baik semula semata-mata kerana mahu menjaga hati anak-anak atau tidak mahu rumah tangga runtuh.

Oleh itu, suami dan isteri menyimpan perasaan masing-masing. Apabila sering berlaku pergaduhan, akhirnya apa yang dipendam selama bertahun-tahun akan meletup juga, sebab punca masalah keluarga tidak ditangani dengan baik.

Perkara ini juga berlaku dalam rumah tangga UMNO/BN. Sejak krisis kepimpinan UMNO 1987 yang kemudian melahirkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1988. Setelah berpisah ia kemudian berbaik-baik dan S46 dibubarkan pada 1996 atas kepentingan dan perpaduan Melayu.

Dua tahun kemudian, timbul pula isu pemecatan Anwar Ibrahim dan kemudian ramai ahli UMNO berpecah-pecah hingga lahir Parti Keadilan.

Sudah tentu, pergolakan demi pergolakan dalam rumah tangga UMNO menyebabkan semangat perjuangan ahli UMNO juga berkecamuk dan luntur.

Jika dilihat pada orang Melayu pula, ramai sudah tidak merasa erti kemerdekaan dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apabila ramai tidak faham dan tidak ambil kisah, maka mereka berani lontar bantahan dan tidak peduli perjuangan UMNO/BN. Ini yang sedang berlaku.

Menurut penganalisis politik, Datuk Dr. Abdul Razak Omar, hikmah kekalahan UMNO/BN pada 8 Mac lalu adalah “Allah mahu beri 50 peratus ujian kepada orang Melayu supaya kita renung dan ambil iktibar.

“Tuhan boleh beri ujian 100 peratus tapi Allah seolah-olah masih sayangkan orang Melayu dan mahu uji 50 peratus sahaja iaitu lima negeri jatuh ke tangan parti pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

“BN masih memerintah dengan majoriti mudah 140 kerusi Parlimen dan pembangkang 82 kerusi,” jelas Abdul Razak.

Pada pendapat beliau, inilah masa orang Melayu patut buka mata. Tetapi persoalannya, adakah kita sedar tentang ujian Allah itu? UMNO kini berada di persimpangan jalan. Jika tidak, kuasa UMNO akan terhakis.

Kajian atau pengamatan awal menunjukkan Melayu sekarang tidak peduli ketuanan Melayu lagi. Ramai yang tidak kisah hak Melayu dipinggirkan dan seolah-olah tidak peduli kedaulatan raja-raja Melayu.

Bagi Abdul Razak, Neo Malayan Union sedang muncul dalam arena politik tanah air. Malah kemunculan gabungan PKR, Pas dan DAP membentuk Pakatan Rakyat jika tidak ditangani boleh mendorong pembentukan sistem dua parti di negara ini seperti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat – siapa kuat dia yang memerintah.

Persoalannya, sanggupkah orang Melayu menerima sistem ini wujud dengan akhirnya kuasa ketuanan Melayu boleh terlucut dan dirampas oleh bukan Melayu. Melayu perlu fikirkan keadaan ekonomi mereka yang masih ketinggalan dalam pasaran terbuka.

Sebab itu pemimpin Melayu yang tulen dan ikhlas memperjuangkan hak survival Melayu perlu keluar membetulkan dan memulihkan kepincangan dalam UMNO. Pemimpin tulen itu diharap dapat memimpin pemimpin di bawahnya supaya berkualiti dan senada dengan perjuangan agenda bangsa – bukan agenda diri.

Sanggup

Ahli-ahli UMNO perlu cari pemimpin mereka yang sanggup bekerja tanpa ada agenda tersembunyi. Sebab itu pemimpin UMNO yang ada perlu berfikir di luar kotak untuk selesaikan masalah dalam rumah tangga UMNO sendiri.

Senario politik mutakhir menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih secara jelas menyatakan hasrat untuk mentadbir negara.

Dalam konteks ini menurut Abdul Razak, jika pemimpin tertinggi UMNO yakin kepada Perdana Menteri boleh meneruskan kepimpinan negara, mereka perlu akur dan bersikap terbuka dan proaktif untuk membantu Pak Lah menyusun pentadbiran parti.

“Langkah utama ialah duduk semeja tanpa prejudis memikirkan bagaimana hendak menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan keyakinan rakyat dan ahli-ahli parti.

“Langkah kedua, kepentingan diri di kalangan ahli Majlis Tertinggi (MT) mesti ditolak ke tepi. Tidak ada guna memegang jawatan MT atau menteri jika kapal sudah hendak tenggelam,” kata Abdul Razak.

Oleh itu kata beliau, kesetiaan dan komitmen parti perlu diperkukuhkan. Pada tahap sekarang usaha menyusun langkah gagah dan menjenamakan semula parti juga perlu dilakukan.

Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menyatakan keputusan segera diperlukan untuk menghindar kesangsian kalangan ahli UMNO.

Elemen mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh perlu dielak. Ahli-ahli UMNO yang ikhlas dalam parti perlu bersama pemimpin parti untuk menyelesaikan masalah dan bukan mengeruhkan lagi suasana.

“UMNO perlu ditunjukkan kukuh supaya kesangsian ahli tidak bertambah bercelaru. Pak Lah mungkin menyedari kesilapan yang membawa kekalahan. Oleh itu buang kelemahan dan pandang ke hadapan dengan bertindak lebih proaktif,” kata Abdul Razak.

Tindakan menyalahkan satu sama lain atau menuding jari akan merugikan bangsa. Jika isu sekarang ialah survival Melayu, bagaimana ahli parti hendak bangsa Melayu survive dalam situasi politik yang tidak menentu sekarang.

Tindakan yang diambil oleh ahli UMNO mesti boleh membantu mewujudkan situasi memulihkan keyakinan ahli parti. Pemulihan boleh bermula dari cawangan dan bahagian UMNO untuk mencari pemimpin yang tulen, ikhlas, komited tanpa kepentingan diri.

default

Di mana kuasa Melayu???

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Di mana kuasa Melayu???

Oleh: NOOR AZAM

MENJELANG tengah malam 8 Mac 2008, dengan jatuhnya Pulau Pinang, Perak, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke tangan bukan Melayu, dominasi kuasa politik Melayu terhakis dengan ketara sekali. Ini juga jadi titik bermulanya percaturan kuasa politik baru di negara kita.

Perubahan besar ini, sekali gus menyerlahkan bermacam persoalan politik yang sekian lama menghantui kita. Dalam masa dua minggu saja banyaklah terjadi kejutan politik yang belum pernah berlaku.

Tahun lalu, ketika merayakan 50 tahun merdeka, dengan penuh semangat dan kepuasan, Perdana Menteri kita mengatakan: “Sekarang kita memandang dan merancang untuk 50 tahun akan datang!”

Waktu itu terlintas dalam kepala saya: 50 tahun lagi, dominasi atau keutuhan kuasa politik Melayu atau pribumi negara ini, tidak akan ada lagi.

Kira-kira lima bulan yang lalu, ketika ‘kerajaan BN’ sedang hebat berkempen – untuk pilihan raya yang belum lagi ditetapkan tarikhnya - saya berbincang dengan kawan-kawan lama.

Dan setelah melihat realiti politik negara kita, lunturnya semangat kebangsaan – terutama di kalangan pemimpin generasi baru UMNO – dan melihat keterlaluannya BN, terutama UMNO, memperalatkan media miliknya dan meriahnya kerajaan membahagi-bahagikan wang, kami sependapat: Bahawa bukan 50 tahun, tetapi paling lama 20 tahun saja lagi, keutuhan kuasa politik Melayu akan tinggal jadi sejarah.

Rupa-rupanya dugaan kami meleset sekali. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 menunjukkan ia akan jadi kenyataan pada pilihan raya ke-13 – empat atau paling lama lima tahun lagi. Bahkan melihat banyaknya terjadi peristiwa politik yang luar biasa dalam masa tiga minggu selepas pilihan raya ini, bukanlah mustahil, jika dominasi politik Melayu berkubur lebih cepat lagi.

Bersamanya UMNO pun akan ikut berkubur atau akan jadi tidak relevan lagi. Kecuali jika parti Melayu ini, dengan segera dapat diberikan wajah politik yang betul-betul baru dan punya kredibiliti.

Dua puluh lapan tahun lalu Pulau Pinang jatuh ke tangan bukan Melayu, tetapi parti yang menang (Gerakan) segera bergabung dalam BN. Kali ini Pulau Pinang jatuh ke tangan bukan Melayu lagi.

Melihat komposisi dan taburan penduduknya, Pulau Pinang dan Seberang Perai akan kekal diperintah bukan Melayu kerana DAP tak akan mungkin menyertai BN.

Kita tidak akan mungkin ambil balik Pulau Pinang! Dulu kerajaan Kedah ditipu oleh Inggeris untuk ambil Pulau Pinang, kali ini rakyat pula menolak kita. Barangkali tak sampai 20 tahun lagi, Pulau Pinang akan jadi Singapura yang kedua! Rakyat yang majoriti akan membuat pilihan!

Tak munasabah

Sekarang, kita mempunyai Perdana Menteri Melayu, dari negeri yang bukan saja dikuasai bukan Melayu, tetapi juga diperintah oleh parti pembangkang. Bunyinya aneh dan tak munasabah, tetapi benar!

Demikian pulalah Perak dan Selangor – komposisi dan taburan penduduknya dan perubahan semangat dan sikap generasi baru Melayu sendiri – akan menyebabkan sukar sekali untuk menegakkan kembali kerajaan negeri yang dikuasai Melayu.

Lihatlah berapa jumlah wakil rakyat dan Exco Melayu di kedua-dua negeri ini? Dan jika kedua-dua Tuanku Sultan tidak menggunakan kebijaksanaan dan kuasa Perlembagaan negeri, Menteri Besar pun sudah dimiliki bukan Melayu.

Di kedua-dua buah ‘negeri Melayu’ ini, usaha mengembalikan kuasa Melayu akan semakin sukar, apabila kawasan perindustrian atau bandar baru terus bertambah dan membesar. Di mana saja wujud perindustrian dan bandar baru, majoriti penduduknya pastilah bukan Melayu.

Dan kalau ada Melayu pun, adalah ‘Melayu Baru’ yang semangat dan sikap budaya politiknya tidak sama lagi dengan generasi ‘Melayu Lama’.

Sekarang pun ada generasi baru yang mendapat pendidikan tinggi, pangkat dan kedudukan ekonomi yang baik, merasa tidak pernah terhutang budi kepada sesiapa.

Ada pula orang Melayu, terutama generasi muda, yang tiada kisah siapakah yang akan memerintah, asalkan sesuai dengan selera dan kehendak mereka. Bagi mereka, Melayu atau Cina atau India sama saja. Apa guna Melayu jika tidak dapat memenuhi selera dan kehendak mereka!

Petaling Jaya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) syarikat kepunyaan kerajaan negeri Selangor, sekarang majoriti penduduknya bukan Melayu. Maka tidak pernah, dan tidak mungkin akan ada wakil rakyat Melayu dari Petaling Jaya.

Di seberang Taman Tun Dr. Ismail dan Kampung Sg. Pencala, dulunya ladang kelapa sawit, hutan dan kampung Orang Asli.

Sekarang dalam masa kira-kira 10 tahun saja, jadi kawasan perumahan dan perniagaan baru. Majoriti penduduknya bukan Melayu. Maka wakil rakyatnya pun pastilah bukan Melayu.

Demikianlah yang telah, sedang dan akan terjadi di seluruh negara apabila saja ada pembanguan. Akan wujud kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan generasi ‘Melayu Baru’. Dan proses ini sedang berjalan pesat di negeri Perak dan Selangor.

Kesan politiknya telah kita lihat dari pilihan raya 2008 – kehakisan dominasi politik Melayu dan telah tercipta percaturan kuasa politik baru di negara kita. Adakah dan apakah persediaan kita untuk menghadapi realiti politik baru ini?

Kejutan

Di Perlis dan Terengganu telah terjadi kejutan politik yang menyenangkan dan juga menyedihkan. Di kedua-dua ‘negeri Melayu’ ini kita menyaksikan kuasa istana dan Perlembagaan negeri mengatasi kuasa politik ketua parti yang menang dan Perdana Menteri dalam lantikan Menteri Besar. Dan ini berlaku dalam konfrontasi persaingan kuasa yang tegang dan terbuka.

Kita merasa sedih dan malu kerana kekuatan UMNO dicabar secara terbuka dan tewas.

Namun kita senang kerana istana untuk pertama kalinya dalam masa 5o tahun telah menggunakan kuasa dan kebijaksanaan untuk kepentingan negeri dan rakyat – bukan kepentingan parti politik.

Kita tidak tahu apa sebab sebenarnya maka Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Idris Jusoh – yang berjaya mempertahankan negeri masing-masing – tidak diterima perkenan oleh istana.

Pastilah ada sebab-sebab yang besar sehingga kedua-dua sultan begitu gigih mempertahankan keputusan mereka. Alangkah baiknya jika rakyat dapat tahu sebab itu!

Bagaimanapun campur tangan istana yang cukup jelas di empat negeri ini, menjadi salah satu aspek dalam percaturan politik baru negara kita.

Para sultan generasi baru telah memperlihatkan peranan politik yang tegas dan positif. Menjadi bukti bahawa kuasa politik menerusi pilihan raya bukanlah segala-galanya. Sejauh mana dan sampai bilakah kuasa istana ini boleh berperanan untuk kepentingan kuasa politik Melayu?

default

Pergeseran Pakatan Rakyat

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



DAP: Ingat punca BA retak
Fathi Aris Omar | Apr 5, 08 11:06am

ulasan Pakatan Rakyat, nama yang dicadangkan untuk gabungan tiga parti pembangkang, wajar berlajar punca keretakan Barisan Alternatif (BA), kata tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

"Kenyataan-kenyataan dalam tempoh tiga hari ini membangkitkan persoalan sama ada ketiga-tiga parti ini benar-benar telah mengambil iktibar daripada krisis BA pada 2001, ketika DAP meninggalkan gabungan itu kerana sikap tidak berganjak PAS untuk menunaikan matlamat negara Islam, yang tidak termasuk dalam manifesto BA," kata Lim dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan yang dimaksudkannya termasuklah yang dibuat timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub bahawa "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."

Ahmad dilaporkan berkata "memang ideologi PAS, DAP dan PKR tidak sama, tetapi kita yakin masih ada ruang yang mampu mewujudkan persefahaman bagi memastikan Pakatan Rakyat ini dapat dilaksanakan."

Ahmad juga berkata tidak timbul halangan untuk PAS mewujudkan kerajaan Islam walaupun pakatan itu turut dianggotai oleh parti bukan Islam.

"Tiada halangan untuk PAS wujudkan kerajaan Islam kerana Islam tidak akan mengabaikan mana-mana pihak, apa yang penting ialah kita saling memahami dan sekali gus menjadikan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada BN," katanya seperti laporan Bernama.

Keputusan menubuhkan pakatan tersebut dibuat dalam satu perjumpaan awal minggu ini yang dihadiri oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim sendiri.

"Dalam perjumpaan hari ini, kami telah mencadangkan untuk menggabung kerjasama antara ketiga-ketiga parti tersebut di bawah nama Pakatan Rakyat," kata para pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Mereka berkata, nama tersebut dicadangkan sementara menunggu pengesahan parti-parti terbabit.

Selain itu, tambah Lim dalam kenyataan di blognya, setiausaha akhbar presiden PAS Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata "nilai-nila negara Islam sedia terjalin dalam (manifesto) Negara Berkebajikan" dan "di negeri-negeri PAS sebagai parti (pemerintah) utama, kita akan cuba menegakkan negara Islam."

Menyedari gabungan tiga parti berlainan ideologi dan sasaran pengundi, Lim berkata cadangan Pakatan Rakyat itu harus bergerak kedepan dengan berhati-hati dan semua lapisan kepemimpinan parti-parti itu memahami sepenuhnya asas kerjasama antara mereka bagi mengelak timbul perselisihan dalaman dan antara parti.

Beliau juga berkata usaha mencetuskan Pakatan Rakyat wajar menyedari wujud "eksploitasi oleh musuh-musuh politiknya, selain cuba mengelak berulang lagi keretakan BA pada 2001."

Daripada tiga parti ini, DAP dan PAS mempunyai sejarah perbezaan ideologi yang paling jauh jaraknya - dan sekali gus mudah dilaga-lagakan, antaranya akibat kecuaian mengeluarkan kenyataan, keinginan melayan kehendak penyokong tegar serta pengikut bawahan dan kegagalan membaca sentimen politik.

Tidak lama selepas kejayaan besarnya pada 1999 khususnya merampas Terengganu, PAS mula membuka wacana Islam (baca: PAS) lawan sekularisme (BN) tanpa menyedari lingkungan krisis politik dalaman Umno pada tahun-tahun sebelumnya bukanlah digerakkan sepenuhnya oleh ideologi parti Islam itu.

Era laungan reformasi sejak 1998 - susulan pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno - ditandai gerakan bantahan popular yang disertai secara meluas oleh pelbagai latar belakang organisasi, khususnya badan bukan kerajaan (NGO), ideologi dan wawasan demi melihat ruang demokrasi yang lebih terbuka.

PAS memberi sumbangan dalam gerakan itu tetapi bukan penafsir utama gerakannya - kecuali mengambil kesempatan atas kemarahan orang Melayu terhadap layanan yang diterima Anwar.

Bagaimanapun PAS gagal (atau enggan?) melihat sudut pandang yang luas walaupun DAP kemudiannya meninggalkan BA. Dalam keadaan BA hanya didukungi dua buah parti, PAS terus melancarkan keyakinan awalnya itu dalam pilihanraya umum 2004 - dokumen negara Islam.

Keputusan pilihanraya itu akhirnya menunjukkan DAP membuat pilihan yang tepat - setidak-tidaknya berjaya mengembalikan Lim dan pengerusi DAP Karpal Singh ke Dewan Rakyat. Kedua-dua pemimpin kanan itu tewas pada 1999 - padah akibat menubuhkan BA.

Kenyataan Ahmad itu, jika benar seperti dilaporkan, tidaklah sepenuhnya "salah" memandangkan wujud "keresahan" dalam kalangan orang Melayu, termasuk penyokong dan simpatisan PAS dan PKR, selepas 8 Mac apabila melihat pakatan pembangkang "didominasi" (sama ada benar atau salah) oleh "wakil-wakil rakyat Cina".

Mereka melihat jumlah kerusi DAP di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlalu besar di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan - kononnya, kuasa politik Melayu "telah lemah" kerana pembangkang ditunjangi wakil rakyat bukan Melayu.

Jumlah wakil rakyat Umno - kini di barisan pembangkang DUN - di tiga negeri tersebut tidak pula dianggap "kuasa politik Melayu"!

Ahmad dan beberapa lapisan pemimpin PAS mungkin bermain dengan kad perkauman seperti itu tanpa menjelaskan kepada penyokong tegarnya bahawa dinamika politik sudah berubah, dalam beberapa hal, dan memerlukan "fekah baru" untuk memahaminya supaya serasi dengan paradigam keislaman PAS.

Contoh ketegaran penyokong itu termasuklah bantahan PAS kawasan Besut ketika kerjasama parti itu dengan DAP menjelang pilihanraya umum ke-10.

Sekali pun tanpa permainan media arus perdana, atau "eksploitasi oleh musuh-musuh politik" seperti kenyataan Lim, memang selama ini sentiasa ada keresahan dalam kalangan orang Melayu tentang penguasaan bukan Melayu dalam politik.

Sentimen kecurigaan ini disedari oleh Umno dan media arus perdana.

Sewaktu kempen pilihanraya baru-baru ini, apabila PAS tidak lagi memalu gendang slogan negara Islam dan hudud, parti itu dituduh telah meninggalkan ideologi keislamannya dan (secara tidak langsung bermaksud) menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP.

Jumlah kerusi PAS yang sedikit di Perak dan Selangor, misalnya, membuktikan bahawa dakwaan pemimpin Umno itu ada benarnya.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan, "belum sampai seminggu cadangan penubuhan Pakatan Rakyat diumumkan, gabungan itu sudah mula retak apabila DAP dan PKR membantah hasrat PAS yang mahu menjadi tunjang kepada pakatan berkenaan serta merealisasikan penubuhan negara Islam."

"Beberapa pemimpin kanan DAP dan PKR semalam masing-masing membidas hasrat PAS itu dan menyifatkan kenyataan yang dibuat mengenainya tidak sesuai kerana boleh mengelirukan, selain menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Rakyat," laporan itu dipetik.

Karpal, menurut laporan itu, menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab dan memberi penjelasan berhubungan isu berkenaan bagi mengelakkan wujud prasangka terhadap Pakatan Rakyat.

"Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR," beliau dipetik sebagai berkata.

Perang mulut antara DAP dan PAS melalui media pula tentunya menimbulkan kegusaran kepada pembangkang, khususnya Anwar - tokoh yang diuar-uarkan sebagai aktor politik utama menyatukan tiga parti itu menjelang 24 Februari sehingga membuahkan hasil cemerlang pada 8 Mac.

Sepanjang sebulan pasca pilihanraya umum ke-12, seorang sahaja pemimpin besar pembangkang yang menunjukkan sensitiviti apa yang digelar "tsunami politik": Menteri Besar Kedah.

Bercakap kepada media sewaktu lawatannya ke Kelantan, Azizan Abdul Razak berkata:

"Kami (Kedah) tidak boleh terus menutup premis judi secara segera seperti yang Kelantan buat dan begitu juga masalah penjualan arak.

"Kedah tidak macam Kelantan kerana tukar kerajaan sudah perkara biasa di sini (Kelantan) tetapi di Kedah ini kali pertama PAS memerintah dan kerana sokongan bukan Islam juga PAS dapat menumpaskan BN."

Beliau cuma berjanji kerajaan PAS di Kedah bersedia memperkenalkan dasar baru yang tidak dibuat era pentadbiran BN tetapi boleh diterima semua pihak.

Pilihan kini di tangan Pakatan Rakyat sebelum ia dikembalikan ke tangan pengundi.

Bukan sahaja keretakan BA pada 2001, seharusnya tokoh utama DAP itu mengingatkan PAS bahawa Terengganu - yang berketuakan presiden PAS kurang lima tahun - juga terlepas daripada tangan pembangkang.

malaysiakini.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.