Pages
▼
Saturday, November 29, 2014
Tawar lompat parti RM100 juta , PR Bapak Segala Rasuah - @NajibRazak
KUALA LUMPUR — Tanpa berselindung dan mengetahui bahawa ucapan beliau disiarkan secara terus menerus oleh media yang memenuhi ruang khas disediakan, Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak terus menyelar pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) adalah “bapa kepada segala rasuah” yang sebenar.
Najib, memegang senaskhah akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 November lalu menunjukkan kepada perwakilan Umno seluruh negara yang memenuhi Dewan Merdeka, laporan mengenai keterangan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang ditawarkan oleh pembangkang untuk ‘lompat parti’ dan menyertai pakatan dengan janji RM100 juta.
Presiden Umno itu berkata bahawa perkara itu berlaku sewaktu ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berura-ura untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mewujudkan kerajaan baru dalam gerakan yang terkenal dengan jolokan ‘peristiwa 16 September’.
“Kita selama ini dituduh dan dilemparkan dengan berbagai tuduhan rasuah dan sebagainya sehingga kita kelihatan begitu kotor sekali.
“Sedangkan merekalah sebenarnya ‘bapa kepada segala rasuah’ dengan menawarkan RM100 juta untuk 10 ahli parlimen kita (untuk) melompat parti,” kata Najib disambut sorakan yang begitu gamat sekali oleh seluruh perwakilan Umno di dewan bersejarah itu.
Najib, tidak risau dengan kenyataannya itu kerana ia sudah pun diberi keterangan di mahkamah dan menjadi dokumen awam serta telah dilaporkan di akhbar.
“Saya dah rujuk dengan peguam dan ini bukanlah subjudis,” katanya.
Presiden Umno itu seterusnya menyarankan agar ahli Umno terus menyerang pakatan pembangkang dari bertelagah sesama sendiri.
Rata-rata perwakilan yang ditemui Selangor Press menzahirkan rasa puashati serta bersemangat dengan ucapan penggulungan presiden itu berbanding ucapan dasar presiden, kelmarin.
No comments:
Post a Comment