Pages

Friday, October 4, 2013

KEHEBATAN ATM DI SOMALIA BLACK HAWK DOWN AKAN DIBIKIN DOKUMENTARI !




pada 3 Oktober 1993, lebih 100 anggota tentera Malaysia bertarung nyawa untuk menyelamatkan sekumpulan renjer Amerika Syarikat yang terperangkap di Mogadishu, Somalia.

Insiden itu dirakamkan dalam filem Hollywood, Black Hawk Down. Filem itu bagaimanapun tidak memberikan gambaran yang tepat tentang sumbangan tentera Malaysia dan apa yang sebenarnya berlaku di negara bergolak itu 20 tahun lalu.

Dalam satu wawancara dengan Astro AWANI, Major Jeneral (B), Datuk Md. Rozi Baharom yang terlibat dalam operasi berkenaan mengenang kembali hari bersejarah itu.


"Gambaran yang salah itu akan dibetulkan dalam sebuah dokumentari yang akan menceritakan kebenaran di sebalik peristiwa itu," katanya.

Misi menyelamat yang dijalankan bersama Renjer Amerika Syarikat dan komando Delta Forces mengakibatkan banyak nyawa terkorban termasuk Korporal Mat Aznan manakala sembilan lagi tentera Malaysia cedera.

Biarpun begitu, keberanian pasukan ’19 Melayu Diraja Mekanise’ itu hampir tidak dipedulikan dan diremehkan oleh media antarabangsa seolah-olah tentera Malaysia tidak memainkan peranan penting atau malah bukan sebahagian daripada misi itu.

Malah, peranan tentera Malaysia semasa insiden itu yang menyaksikan militia Somali menembak jatuh dua pesawat helikopter UH-60 Black Hawk langsung tidak ditonjolkan dalam filem Black Hawk Down yang terbit pada 2001. Hal itu mengecewakan hati tentera Malaysia.

Md Rozi ketika itu merupakan Timbalan Komander bagi batalion Malaysia. Umurnya 42 tahun ketika beliau sama-sama mengepalai pasukan tentera Malaysia mengharungi jalan raya di Mogadishu memburu hulubalang Somali, Mohamed Farrah Aidid dan konco-konconya.

Menurut Md. Rozi, pasukannya yang lengkap dengan kereta perisai anggota dan senjata bergadai nyawa membantu misi tentera Amerika untuk mengeluarkan 70 renjer negara itu yang terperangkap.




Oleh kerana gambaran yang tidak adil dalam filem tersebut, Md. Rozi menulis sebuah buku tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Beliau juga kemudiannya bertemu dengan pengarah dokumentari, Ahmad Yazid Ahmad Puad untuk menerbitkan sebuah dokumentari bagi menceritakan kisah yang tidak diketahui oleh dunia itu.

Ahmad Yazid berkata, beliau berminat dengan kisah tersebut dan setuju untuk menerbitkan dokumentari berkenaan.
                                          

“Saya menghasilkan dokumentari ini untuk tayangan di pawagam. Ia akan jadi filem dokumentari pertama yang akan ditayangkan di pawagam di negara ini.

“Saya juga berjaya mendapatkan produser filem dan televisyen Britain, John Smithson untuk jadi produser eksekutif.

“Kalau semuanya berjalan lancar, dokumentari itu akan masuk panggung akhir tahun depan," kata Ahmad Yazid.

Smithson beberapa tahun lalu terlibat dalam menerbitkan filem Hollywood, 127 Hours, yang diarahkan oleh Danny Boyle.

Pada 1993, kebuluran dan perang saudara mencengkam Somalia menyebabkan lebih 300,000 rakyatnya terbunuh dan menggerakkan operasi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu ke negara itu.

Pada 3 Oktober 1993, tentera Amerika menyusun sebuah pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota-anggotanya serta tentera pengaman PBB termasuk Malaysia.

Selama 12 jam, mereka bertempur menuju ke Pasar Bakara dan berjaya menyelamatkan lebih 70 renjer Amerika yang terkepung.

Ini kisah keberanian itu.





 NOSTALGIA MISI BERANI 





 PERISTIWA tembak-menembak untuk menyelamatkan sekumpulan anggota tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di Pasar Bakaran, Mogadishu, Somalia yang dikepung puak pemberontak 12 tahun lalu masih segar dalam ingatan Mohd Ariffin Mohd Uning, 43.

 Ketika itu dia bersama 60 anggota Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertugas di bawah pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbabit dalam operasi menyelamat askar Amerika berkenaan.

 Mogadishu yang dikuasai pemberontak diketuai Mohamed Farrah Aidid sukar ditembusi tentera pengaman berikutan pengikutnya akan membunuh siapa saja yang cuba memasuki itu.

 "Tragedi bermula apabila sebuah helikopter jenis Black Hawk cuba menurunkan anggota tentera Amerika ke pasar berkenaan menggunakan tali dan ditembak jatuh pemberontak pada 3 Oktober 1993.

 "Menurut laporan, semua anggota tentera berkenaan terperangkap dan pihak Amerika berusaha beberapa kali untuk menyelamatkan mereka tetapi gagal. Askar Amerika dilengkapi peralatan serba canggih yang cuba memasuki pasar itu menerima tentangan sengit puak pemberontak lalu mengambil keputusan pulang ke kem. "Pasukan tentera Pakistan dan India diarah membantu, tetapi menolak. Akhirnya, tentera kita diarah menyelamatkan askar Amerika yang terkepung itu.

 "Tentera Amerika buntu dan merayu tentera Malaysia menjalankan operasi berbahaya itu. Kita tiada pilihan.

Selepas diberi taklimat mengenai operasi itu, pasukan kami diketuai Leftenan Azman meninggalkan kem pasukan pengaman di Mogadishu jam 11 malam dan sampai di Bakaran Market jam 7 pagi keesokannya," kata bekas Koperal Mohd Ariffin yang bertugas sebagai makanise Batalion ke-19 RAMD.

 Dengan menaiki 16 unit kereta perisai jenis Condo, anggota tentera Malaysia bergerak secara konvoi dalam keadaan cukup bersedia tetapi berhati-hati menghadapi sebarang kemungkinan. Jika perjalanan biasa tidaklah mengambil masa begitu lama sangat, tetapi dalam keadaan cukup bahaya itu, setiap pergerakan perlu berhati-hati. Tambahan pula, mereka terpaksa mengelak periuk api ditanam di atas jalan dan tembakan penembak curi dari arah merata tempat menyebabkan pergerakan terganggu.

 Dalam keadaan cukup berbahaya itu, seorang pemandu Condo, prebet Adnan terkorban akibat tembakan senjata antikereta kebal yang menembusi tingkap kenderaan dipandunya.

 Mohd Ariffin berkata, keberanian Leftenan Azman memberi arahan serta menyusun strategi menghadapi serangan pemberontak ketika operasi menyelamat menaikkan semangat pasukan. Ditanya perasaannya ketika itu, bekas tentera ini berkata, sukar hendak digambarkan.

 Peluru, bom tangan dan tembakan senjata antikereta kebal bersimpang-siur. "Dalam keadaan amat genting dengan serangan bertalu-talu kumpulan pemberontak menggunakan pelbagai jenis senjata, akhirnya pada jam 7.45 pagi pasukan kami berjaya membawa keluar semua tentera Amerika yang nyaris menjadi tawanan itu. "Saya tidak pasti sama ada tentera Amerika cedera atau terkorban kerana selepas selesai misi berkenaan saya ditugaskan mengawal lapangan terbang.

 "Apa yang saya ingat, berikutan kejayaan operasi itu askar Amerika tidak lagi sombong dengan tentera Malaysia. Sejak itu, pasukan kita dihormati tentera negara lain," katanya. Amat malang sekali, dalam filem Hollywood yang berjudul Black Hawk Down, penerbitnya memutarbelitkan peristiwa itu dan memperkecilkan peranan yang dimainkan tentera Malaysia.

Filem itu memaparkan kononnya tentera Amerika yang terperangkap di pasar Bakaran selepas helikopter ditembak jatuh diselamatkan kira-kira 120 tentera elit Amerika.

 Batalion ke-19 RAMD menyertai misi keamanan di bawah pasukan Malaysia Batalion (Malbat) selama enam bulan dari Julai hingga Disember 1993. Koperal Mohd Ariffin menamatkan perkhidmatan pada 1995 selepas berkhidmat selama 15 tahun dalam tentera. Dia kini menetap bersama keluarganya di Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani Kedah.

3 comments:

  1. salam.
    bagos idea pembikinan filem utk ketengahkan sejarah sbnr.
    tetapi diminta supaya filem dibuat tdk berskp bias.
    miltan somalia x semua kjm dan ganas spt hebahan propaganda barat.

    ReplyDelete
  2. Sila tonton tv 1 RTM Tentera America belagak mengatakan mereka adalah hero di Somalia

    ReplyDelete
  3. buat la filem.... kisah benar ni... perlu difilemkan

    ReplyDelete