Pages

Tuesday, September 4, 2012

Sharbinee nafi jual perlawanan Terengganu vs Kedah ?




 Penjaga gawang pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menafikan terlibat ‘menjual’ perlawanan ketika menentang Kedah Sabtu lalu dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan itu. Kontroversi itu bermula apabila Sharbinee dikatakan menjadi sasaran kemarahan pengendali skuad Penyu, Peter Butler selepas penjaga gol itu melepaskan gol mudah ketika Terengganu mendahului Kedah 1-0 di laman sendiri kelmarin.

 Mohd Sharbinee berkata, dia sedia disiasat badan anti rasuah itu kerana dia tiada apa-apa yang hendak disembunyikan. “Saya mahu membersihkan nama saya dan biar SPRM siasat, tuduhan ini amat menyedihkan apabila mereka melabelkan saya pemain yang mudah ‘dibeli’.

 “Walhal saya tidak pernah melakukan perbuatan itu dalam mana-mana perlawanan sekalipun. Sekiranya saya ada melakukan kesilapan, saya rela ditegur atau dikritik, tetapi bukannya dengan cara sebegini,” katanya ketika ditemui di Jalan Sultan Zainal Abidin, dekat sini semalam.

 Dalam pada itu, bekas penjaga gawang kebangsaan itu turut mengakui dia membuat kesilapan dalam perlawanan ketika menentang Kedah tempoh hari, dan tidak takut untuk mengaku kesalahan itu. “Apabila berlaku perkara seperti ini (dituduh jual perlawanan), ia memberi tamparan hebat buat saya untuk berdepan dengan masyarakat, lebih-lebih lagi peminat bola sepak.

 “Saya bersedia menerima kritikan terutamanya daripada jurulatih, tetapi bukannya dimalukan di hadapan peminat dalam stadium,” katanya. Menurutnya, tindakan Peter Butler yang mengkritiknya di hadapan penonton menyebabkan dia hilang sabar dan bertindak membaling botol air ke arah jurulatih kelahiran England itu.

 “Saya akui hilang sabar ketika itu, dia sepatutnya mengkritik saya dalam bilik persalinan dan saya sedia mendengar bukannya melemparkan kutukan pada saya dalam padang. “Malah saya juga hairan dengan tindakan dia (Butler) kerana sebelum ini kami mempunyai hubungan yang baik,” katanya. Sementara itu, Sharbinee berkata, dia bersedia berundur jika perkhidmatannya tidak diperlukan lagi, tetapi bukan dengan cara sebegini, sambil menyangkal khabar angin mengatakan dia akan bersama pasukan Johor musim depan. 

“Saya suka bermain untuk Terengganu tetapi jika saya perlu meninggalkan pasukan ini, maka saya tidak mahu untuk dengan cara seperti ini (rasuah). “Mengenai khabar angin itu (beralih ke Johor), ia sama sekali tidak betul dan saya masih pemain Terengganu. Buat masa ini saya mahu menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cara terbaik,” katanya.

 Justeru, dia akan menunggu keputusan yang akan dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh sebelum membuat keputusan mengenai tindakan lanjut secara profesional. Sebelum ini, dua lagi pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Ashari turut disingkirkan daripada pasukan Terengganu yang didakwa oleh bekas jurulatih Kelantan itu melanggar disiplin dengan membawa pulang wanita ke bilik penginapan, ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman minggu lalu. 

Bagaimanapun, dua pemain ini tampil menyangkal dakwaan itu dan menuntut Peter Butler memohon maaf, namun bagi Mohd Sharbinee, dia tidak akan meminta Butler berbuat demikian. “Jika dia merasakan dia seorang jurulatih profesional, maka dia akan melakukan perkara yang sepatutnya,” katanya. Terengganu bakal kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Mohd Sharbinee dalam saingan pusingan kedua Kumpulan B, Piala Malaysia ketika turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok (malam ini). Selain itu, skuad Penyu juga tidak dapat menurunkan penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe, kerana digantung satu perlawanan berikutan dilayangkan kad merah ketika menentang Kedah Sabtu lalu

No comments:

Post a Comment