Pages
▼
Friday, August 22, 2008
Tuduhan pembangkang makan diri
Ada peribahasa, kata dulang paku serpih. Barangkali, itu yang hendak digambarkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengulas penahanan dua Exco Kerajaan Perak oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Katanya, dulu pembangkang sering tuduh pemimpin UMNO dan BN korup.
``Ini baru enam bulan. Jadi janganlah nak menyatakan bahawa parti itu lebih baik dari kita,'' ujarnya selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Wanita UMNO di Tanah Liat, Permatang Pauh Rabu.
Penahanan itu katanya, sebagai bukti `betapa hebatnya' pakatan pembangkang yang memerintah negeri itu.
Menurut Hishammuddin, walaupun pemerintahan pakatan di Perak baru mencecah kira-kira enam bulan, namun penahanan berkenaan menunjukkan slogan bebas dari rasuah tidak diamalkan sepenuhnya oleh parti itu.
``Mereka diberikan lima negeri dan untuk membuktikan betapa hebatnya mereka, belum sampai enam bulan, dah jadi kes begini,” katanya.
Beliau juga percaya, pembangkang akan mempolitikkan isu penahanan itu dan mengaitkannya dengan pilihan raya Permatang Pauh ketika ini.
BPR dalam kenyataannya Rabu mengesahkan dua Exco Kerajaan Perak antara enam orang yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan satu projek perumahan di Seri Iskandar, Perak.
Mengenai kempen yang masuk hari ke empat, Hishammuddin mengakui jentera pilihan raya Pemuda UMNO dan BN agak tertekan pada hari pertama dan kedua berkempen.
Katanya, cara jentera PKR bergerak sejak hari penamaan calon hingga sekarang amat rakus, tidak berdisiplin bahkan wanita dan Puteri UMNO juga diganggu mereka.
“Kalau dibenarkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berleluasa macam ini, begitu juga pengikut-pengikutnya, hancur masyarakat kita,” katanya.
Malah katanya, di sesetengah tempat, jentera BN tidak dibenarkan pasang poster sedangkan BN juga berhak berkempen.
Hishammuddin berkata, ada kes petugas PKR mengoyangkan tangga ketika petugas BN hendak memasang poster mahupun bendera sejak beberapa hari lalu.
“Apakah ini budaya kita, apakah ini cara demokrasi, apakah ini kebebasan yang mereka laung-laungkan?. Kita juga berhak untuk berkempen, kita juga berhak memperjelaskan perjuangan kita,” katanya.
Menurutnya, beliau malu mendengar banyak cerita wanita dan Puteri diganggu ketika berkempen.
“Kalau mereka sekat kita, tak ada bezanya macam apa mereka kata kita dahulu,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, Pemuda UMNO dan BN sudah dinasihatkan bersabar dan jangan berkelahi sesama umat Islam dan terus berkempen walaupun Permatang Pauh kubu kuat BN.
Beliau meminta polis membantu dan memberi jaminan bagi memastikan pengundi keluar dengan selamat pada 26 Ogos ini.- 20/8/2008
No comments:
Post a Comment