Pages

Friday, August 22, 2008

Ganggu jentera BN ,PKR terdesak sedangkan ini kubu kuat mereka



Permatang Pauh -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan tindak tanduk agresif jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terus keterlaluan menganggu petugas BN sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Soal beliau, jika kawasan Permatang Pauh merupakan kubu kuat mereka, kenapa strategi keganasan sedemikian rupa menjadi taruhan kepada parti terbabit yang seolah-olah membelakangi undang-undang

"Jika tahu kubu kuat mereka, kenapa jentera mereka bertindak sedemikian rupa. Saya dah pantau sebelum penamaan calon dan sebelum pilihan raya umum lalu saya sendiri membuat tinjauan dan tahu senario di sini.

"Cara mereka bergerak bermula pada hari penamaan calon, kerakusan dan tidak berdisiplin sehingga jentera kita mahu menaikan bendera jadi masalah, jentera wanita turun merayu undi diganggu, jentera Puteri pula bimbang turun ke bawah.

"Saya jadi malu untuk mendengar cerita daripada jentera Wanita dan Puteri kita yang diganggu oleh jentera mereka. Apakah ini cara kita, apakah ini budaya kita, apakah ini demokrasi yang dilaung-laungkan dan apakah ini kebebasan bersuara yang jadi perjuangan mereka", soalnya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mengunjungi bilik gerakan Wanita, di Tanah Liat, Kubang Seman di sini, hari ini.

Tegas Hishammudin lagi, tingkah laku jentera PKR jika dibiarkan berleluasa akan merosakkan keamanan serta keharmonian negara yang dibina sejak sekian lama.

"Ingat, kita juga berhak untuk berkempen, untuk menaikkan bendera, untuk mengutarakan perjuangan kita dan sebagainya.

"Saya tengok Anwar dan PKR ini kalau dibenarkan berleluasa sebegini rupa akan hancur masa depan negara. Tambahan pula dengan kempenya yang membawa isu melaga-lagakan kaum, perpaduan sesama kita, perpaduan sesama umat Islam di negara ini ianya dikhuatiri bakal menjejaskan apa yang telah dibina lebih 51 tahun lalu", ujarnya.

Beliau seterusnya berharap pengundi di Permatang Pauh yang lebih mengenali calon PKR itu agar menyampaikan mesej yang amat bermakna pada 26 Ogos ini.

"Inilah masanya kita sampaikan mesej bahawa kita mahukan keselamatan, sayangkan kestabilan dan sebagainya.

"Kalau anak muda diasuh diajar untk mengganas, untuk meludah Ketua Pemuda UMNO, mengganggu wanita kita yang hanya menjalankan tugas, apakah makna semua ini", katanya.

No comments:

Post a Comment