Pages

Saturday, June 28, 2008

Pemuda Persoal Kerajaan Perak Amal Tender Ikut Pintu Belakang




Oleh Haris Razali

Ipoh -- Pemuda UMNO Perak menolak alasan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri berhubung tender pembelian keperluan makanan untuk 5,000 keluarga miskin tegar di negeri terbabit yang dianggarkan RM500,000.

Ketua Pemudanya, Zainol Fadzi Paharudin berkata alasan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin bahawa mereka kesuntukan masa untuk melakukan secara tender terbuka adalah alasan yang tidak masuk akal.

Malah tegas beliau lagi, keengganan kerajaan negeri untuk mendedahkan nama-nama syarikat yang mendapat kontark berkenaan juga menimbulkan satu persoalan kepada umum akan ketelusan yang dikononnya dipratikkan kerajaan negeri.

"Ke mana perginya janji mereka untuk melaksanakan tender terbuka seperti yang terkandung di dalam janji manifesto pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini. Kita bertanya perkara ini kerana mereka berjanji kepada rakyat untuk melaksanakan apa jua projek kerajaan secara tender terbuka.

"Pemuda Perak bukannya mahu mencipta isu untuk kepentingan politik, tetapi ianya adalah hakikat yang perlu diperjelaskan oleh kerajaan negeri seiring dengan prinsip mereka yang kononnya memperjuangkan ketelusan", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas isu pembelian keperluan makanan untuk 5,000 keluarga miskin tegar di negeri terbabit yang dianggarkan RM500,000.

Zainol yang juga ADUN Sg Manik seterusnya berkata langkah kerajaan negeri untuk membantu rakyat miskin adalah dialu-alukan.

"Kita tidak berniat untuk menghalang mereka untuk membantu keluarga miskin. Namun apa yang kita persoalkan ialah pemberian tender untuk membeli keperluan makanan berkenaan yang tidak dibuat secara tender terbuka.

"Membantu keluarga miskin bukanlah satu tindakan yang perlu dilakukan secara tergesa-gesa seperti bencana banjir, kebakaran sehingga kerajaan negeri tidak sempat untuk membuka tender tersebut.

"Malah syarikat yang dapat membekalkan barangan tersebut juga cukup misteri kerana kerajaan negeri seperti takut untuk mendedahkan nama syarikat tersebut", katanya.

Beliau seterusnya berharap kerajaan negeri melaksanakan janji lain sepertimana yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya mereka baru-baru ini.

"Kita akan pantau dan teliti satu persatu apa yang belum dan apa yang telah dibuat oleh kerajaan Perak. Ini janji mereka dan manusia berpegang kepada janjinya", ujar beliau.

No comments:

Post a Comment