Pages

Wednesday, June 25, 2008

Melayu perlu kuat - Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri – Raja Nazrin



KUALA KANGSAR 21 Jun – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.

Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

“Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2008 di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu.

Titah baginda, bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah, malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

Baginda bertitah, MCKK menjadi kampung cerdik pandai Melayu yang terpilih daripada kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik.

‘‘Di sinilah asuhan, di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun temurun.

“Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap, dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya dan negara.

‘‘Bisikkan kepada mereka akan petua orang- orang tua bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

‘‘Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi, terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah.

‘‘Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya yang bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja,’’ titahnya.

Raja Nazrin bertitah, untuk itu, negara perlu melihat kedudukan MCKK daripada kaca mata penilaian yang berbeza dan tidak wajar disamakan dengan mana-mana institusi pendidikan lain.

Titah baginda, berasaskan akar sejarah penubuhannya, identiti MCKK daripada segi bentuk, tenaga pengajar, kurikulum dan kokurikulum harus mempunyai keunikan.

‘‘MCKK perlu senantiasa disuntik dengan nafas baru agar kekal dihormati sebagai institusi pendidikan menengah yang terunggul di negara ini.

‘‘Beta insaf betapa pentingnya kualiti, betapa mustahaknya taraf pendidikan di kolej ini ditingkatkan bertaraf dunia agar tradisi melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dapat diteruskan.

‘‘Dan keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan,’’ titah baginda.

ShareThis

1 comment: