Saya diminta terus terajui MAIPP – Shabudin
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
TASEK GELUGOR 1 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menolak peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Sehubungan itu, Shabudin yang telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 April lalu selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang baru telah diminta meneruskan tugasnya sehingga tempoh watikah pelantikan berakhir pada 31 Disember tahun depan.
Menurut Shabudin, beliau bersama ahli majlis MAIPP telah diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan tersebut.
‘‘Tuanku Mizan berpendapat semua ahli majlis (MAIPP) yang lain perlu meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga berakhir tempoh watikah pelantikan.
‘‘Baginda juga meminta segala perancangan dan usaha yang dirancang untuk kepentingan umat Islam sebelum ini diteruskan bagi mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.
Shabudin ditemui pada majlis lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda di sini hari ini.
Pada 8 April lalu, Shabudin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MAIPP selepas menerima desakan daripada kerajaan negeri pimpinan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu jawatan itu diberi kepada calon baru.
Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR yang sebelum ini mendesak Shabudin meletakkan jawatan selepas pakatan pembangkang menguasai Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.
Shabudin dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP berkuat kuasa 1 Januari 2008 hingga Disember 2009.
Menurut Shabudin, pihaknya yakin perkara tersebut sudah sampai kepada pengetahuan pimpinan kerajaan negeri.”
nota: syukur ke hadrat Illahi, negara kita masih mempunyai Agong yang menjaga perihal agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan. Apakah nasib YDP MAIPP ini sekiranya tanggungjawab perihal agama Islam di Pulau Pinang terletak di atas kuasa ketua menteri atau exco negeri sahaja??
Daulat Tuanku!
No comments:
Post a Comment