
Kerajaan Pas Kelantan diibaratkan sebagai kerajaan Abu Nawas kerana Menteri Besarnya yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang pemimpin yang kuat ‘auta’.
Datuk Alwi Che Mat yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Kelantan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden mendedahkan bagaimana beliau menjadi mangsa kepada Nk Aziz pada persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Kelantan.
“Saya tanya kenapa terlalu marahkan UMNO hingga sanggup berkawan dengan syaitan dan iblis, malah hingga sanggup mendoakan perkara yang tidak baik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w ketika ditanya bagaimana untuk masuk syurga, baginda menjawab sebanyak tiga kali iaitu jangan marah. Bagaimanapun Nik Aziz kata beliau akan menjawabnya pada sebelah petang.
“Ketika menjawab soalan berkenaan, Nik Aziz kata nafsu tidak boleh ditahan. Ia mesti dikeluarkan. Sebab itulah tok-tok guru semuanya kena kahwin…kalau tidak kahwin tidak ada maknanya dan jadilah macam paderi.
“Saya kemudiannya bangun. Saya kata , yang saya tanya adalah nafsu amarah dan jawapan yang diberikan adalah nafsu syahwat. Saya tanya buah oren kenapa pula dijawabnya buah epal. Tengok bagaimana dia pusing,” katanya .
Alwi yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan menegaskan, kerajaan Pas Kelantan bukan sahaja gagal dalam pengurusan, malah turut gagal meningkatkan mercu syiar Islam.
“Saya juga pernah bertanya di dalam dewan persidangan..Apakah kegemilangan Islam yang telah dicapai oleh kerajaan Kelantan. Lalu dijawab oleh Nik Aziz kegemilangan Islam yang dibawa ialah bahawa pemindahan akaun kerajaan negeri kepada Bank Islam.
“Saya kata, letak duit di dalam Bank Islam itu bukanlah kecemerlangan Islam tetapi penubuhan Bank Islam itu sebenarnya kejayaan dan ia adalah hasil usaha UMNO. Naik kapal bukan kejayaan tetapi bina kapal itu adalah satu kejayan,” katanya sambil mednapat tepukan gemuruh para perwakilan