BN Mahu Tawan Permatang Pauh Untuk Bawa Lebih Banyak Pembangunan Kepada Rakyat

on Monday, August 11, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




BUKIT MERTAJAM, 11 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu menawan Permatang Pauh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu nanti kerana penduduk di kawasan itu amat memerlukan infrastruktur sempurna dan pembangunan.

Sejak 10 tahun lepas, Permatang Pauh tidak menyaksikan banyak kemajuan kecuali Seberang Jaya, bandar bersepadu yang dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai pusat pentadbiran, perumahan, perindustrian dan perdagangan di kawasan utara Malaysia.

Pembangunan di Seberang Jaya membabitkan Sunway City, dan juga Taman Perindustrian Seberang Jaya di Jerawat, Hospital Seberang Jaya dan Bandar Perda, akan dibangunkan sebagai bandaraya pintar yang dilengkapi dengan kemudahan moden menjelang 2010 seperti Pusat Perdagangan Wawasan Pulau Pinang (PWTC).

Daripada sebuah bandar sunyi, Seberang Jaya kini sebuah bandar yang sibuk dengan pelbagai kegiatan ekonomi berbanding dua jirannya, Penanti dan Permatang Pasir.

Pembangunan besar-besaran kini bertumpu di bandar Seberang Perai yang dianggap sebagai pemangkin pertumbuhan di Pulau Pinang pada abad ke-21.



Kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya, dengan populasi kira-kira 180,000 orang, tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang sejak 20 tahun lepas.

Wakil Rakyatnya Datuk Ariff Shah Omar Shah berkata penduduk di Permatang Pauh patut menjadikan Seberang Jaya sebagai contoh bagaimana BN telah berjaya menukarkan kawasan itu yang sebelum ini merupakan perkampungan nelayan kepada bandar yang pesat membangun.

Pembangunan di kawasan Permatang Pauh, diwakili Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1999 sehingga beliau melepaskan kerusi itu baru-baru ini bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil akan datang, telah menyebabkannya jauh ketinggalan, kata Ariff Shah.

Beliau berkata penduduk di kawasan itu berdepan dengan pelbagai masalah seperti longkang tersumbat, pendidikan anak-anak mereka, dan kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam berbanding dengan Seberang Jaya.

Menurutnya, sebuah taman pertanian akan diwujudkan bagi menyediakan persekitaran yang kondusif dan selesa kepada penduduk dari 12 kampung di Seberang Jaya.

Daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen itu, Seberang Jaya yang dikuasai BN jauh lebih membangun daripada dua lagi kawasan, Penanti dan Permatang Pasir, kecuali kawasan bandar Permatang Pauh.

Tetapi Permatang Pauh lebih terkenal, terima kasih kepada budak kampung Anwar, satu masa dahulu aktivis pelajar dan pencetus demonstrasi yang kemudiannya menyertai Umno dan menjadi Menteri Pelajaran dan kemudiannya Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, dan kini Penasihat PKR. Jika tidak, ia masih merupakan kawasan yang sunyi.

Ariff Shah berkata kawasan Penanti dan Permatang Pasir berdepan dengan pelbagai masalah infrastruktur, termasuk banjir sejak bertahun lamanya dan kekurangan projek pembangunan.

Kerusi Permatang Pasir diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS dan kerusi Penanti oleh wakil PKR, Mohammad Fairus Khairuddin.

"Pada pilihan raya kecil akan datang, tidak kira siapa yang dicalonkan BN untuk menentang Anwar, saya menggesa pengundi supaya mengundi dengan bijak kerana ia akan menentukan masa depan kawasan itu," kata Ariff Shah.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar terdiri daripada 68.5 peratus Melayu, 24.79 peratus Cina , 6.3 peratus India dan 0.41 bangsa lain.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, Dr Wan Azizah mengalahkan wakil BN Datuk Pirdaus Ismail, bekas imam Masjid Negara, dengan majoriti 13,398 undi.

-- BERNAMA


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.