Pages

Wednesday, October 14, 2020

NAJIB DEDAHKAN KENAPA UMNO PERTIMBANG TARIK DIRI DARIPADA KERAJAAN PN

 



Ada yang sokong dan ada yang kritik kenyataan UMNO semalam untuk pertimbangkan sokongan pada kerajaan PN dan meletakkan syarat.

Keputusan ini adalah keputusan sebulat suara Biro Politik UMNO dan disokong oleh semua ketua perhubungan setiap negeri.
Sememangnya pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan membuat keputusan yang tidak mengambil kira suara akar umbi.
Jika akar umbi tak mahu, pemimpin UMNO tidak akan membuat keputusan.
Walaupun saya bukan lagi ahli Biro Politik UMNO atau ketua perhubungan mana-mana negeri (dan tidak hadir mesyuarat tersebut), saya ingin memberi pendapat saya.
Semasa PM7 letak jawatan secara mengejut, pendirian UMNO masa itu ialah untuk pilihan raya umum diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik masa itu.
Namun, Majlis Raja-raja tidak bersetuju dan kita diminta untuk memberi sokongan untuk mewujudkan kerajaan PN.
Di sebalik kegembiraan bahawa kerajaan PH sudah tumbang, ramai penyokong dan akar umbi UMNO masa itu juga membantah kita bekerjasama dengan PPBM sebab PPBM telah banyak mengambil Ahli Parlimen serta ahli parti dan kita baru bertembung di PRK Tanjung Piai.
Selama berbulan-bulan selepas kerajaan PN dibentuk, ramai yang juga mahu kita tolak PN dan kukuhkan MN.
Ramai yang juga percaya bahawa jika kita tidak membentuk kerajaan PN bersama, PPBM serta geng yang lompat keluar PKR untuk masuk PPBM juga akan terkubur pada PRU15.
Namun apa yang berlaku di Sabah (termasuk mengambil kerusi UMNO dan PN letak calon bebas untuk pecahkan undi BN), kenyataan-kenyataan dari ketua Armada PPBM serta perkongsian kuasa yang di lihat berat sebelah telah terus membakar ketidakpuasan dan kemarahan ramai ahli-ahli UMNO.
Sebagai contoh, PM adalah dari PPBM dan pengganti PM iaitu Azmin juga dari PPBM sekarang.
Dalam hal ekonomi, menteri kewangan bukan dari BN mahupun PAS.
Menteri yang jaga ekonomi dan yang jaga perdagangan luar juga bukan dari BN ataupun PAS.
Begitu juga dengan Khazanah dan Petronas.
Malah, tiada seorang pun dari UMNO atau PAS dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid.
Sebaliknya, individu seperti boss The Edge dilantik ke dalam pula bersama tiga orang menteri PPBM.
(UMNO kini digelar gila kuasa pulak?)
Sebab kita bersama dalam kerajaan PN, suka atau tidak, UMNO dan BN juga akan turut dipersalahkan jika adanya keputusan ekonomi yang meragukan ataupun ekonomi bertambah teruk walaupun tiada seorang dari BN atau PAS terlibat dalam sebarang keputusan yang melibatkan ekonomi.
Contohnya seperti gesaan berulang-kali UMNO untuk moratorium pinjaman dilanjutkan atau diberi kepada Sabah tidak didengar oleh kerajaan PN serta penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World yang diteruskan dan bakal menyebabkan kerajaan hilang syarikat hartanah terbesar negara dengn pemilikan tanah terbesar walaupun UMNO sudah bantah langkah ini sejak tahun lalu.
Dari segi pengawalan Covid pula, Majlis Keselamatan Negara menolak cadangan Menteri Kesihatan dari UMNO untuk melaksanakan kuarantin wajib untuk mereka yang pulang dari Sabah sebelum PRN.
Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin mandatori di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negera serta kegagalan Menteri PPBM untuk mengasingkan tahanan serta SOP yang sepatutnya turut menyebabkan kluster Sivagangga di Kedah dan penularan amat teruk di Sabah serta beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.
Dan kini, UMNO turut dipersalahkan bagi gelombang ketiga Covid pada masa kini.
Sejak kerajaan PN dibentuk, pemimpin BN mempertahankanya (termasuk saya yang juga sering memberi pelbagai saranan yang seterusnya diambil kerajaan) biarpun ramai keputusan atau kesilapan adalah dilakukan oleh menteri PPBM sebab itu adalah janji kami semasa membentuk kerajaan PN.
Namun ramai yang rasa ini tidak adil sebab yang buat silap mereka tapi yang mempertahankan mereka adalah ktia pula.
Keputusan UMNO semalam adalah untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik.
Keputusan mesyuarat UMNO semalam tidak menyentuh tentang sokongan kepada Anwar jadi PM ataupun bekerjasama dengan DAP (namun Guan Eng tentu happy jika dia berpeluang kerjasama dengan saya).
Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin UMNO, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid.
Dan jika Perikatan Nasional boleh didaftarkan sebagai parti politik, kenapa pula Muafakat Nasional tidak boleh?
Ini selaras dengan jawapan saya bulan lepas bahawa saya adalah "orang parti" dan akan menyokong penuh keputusan rasmi parti biarpun ada kala saya tak setuju secara peribadi tetapi saya akan bincang melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik secara terbuka.
"Najib to support party's decision on Anwar"
Pendirian saya tiada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda-propaganda PH dan Tun Mahathir sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.
Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah.
Saya yakin dan pasti saya dapat membersihkan nama saya dan didapati tidak bersalah termasuk di mahkamah rayuan jika sistem perundangan adalah adil dan bebas dari pencaturan Tun Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya.
Berhubung dengan itu juga, saya tidak mahu menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan PN ataupun apa-apa kerajaan baru selama kes-kes saya belum selesai dan nama saya belum dibersihkan.
Bagaimanapun, nasihat saya pada UMNO dan kerajaan PN secara am ialah pemulihan ekonomi, pengawalan Covid serta kebajikan Rakyat adalah keutamaan dan apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenarkan untuk menjejaskannya.
Menteri-menteri dari UMNO dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini.

NAJIB RAZAK

No comments:

Post a Comment