ADAKAH TARIF AIR AKAN NAIK SELEPAS PEMBELIAN SPLASH DENGAN HARGA 10x GANDA?
Kerajaan negeri Selangor memuktamadkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bernilai RM2.55 bilion iaitu jumlah yang 10 kali ganda lebih tinggi berbanding tawaran yang dibuat oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim iaitu RM250 juta. Ada beberapa perkara yang membawa tanda tanya berkenaan pembelian RM2.55 bilion ini:
1) Keuntungan pemegang saham SPLASH berlipat ganda dan luar biasa:
Untuk rekod, mengikut laporan media 2014, nilai pelaburan asal Splash adalah berjumlah RM400 juta dan pemegang saham Splash sebelum ini telah menerima pulangan dividen sebanyak RM725 juta.
Tawaran asal Tan Sri Khalid Ibrahim RM250 juta akan menyaksikan pemegang saham menerima pulangan keseluruhan sekitar RM975 juta. Jika ditolak nilai pelaburan awal Splash, pulangan bersih yang dibuat oleh pemegang saham Splash adalah berjumlah RM575 juta atau sekitar 140%.
Bermakna, jumlah RM2.55 bilion baru ini 10x lebih tinggi bakal membawa jumlah pulangan kepada pemegang saham Splash jauh luar biasa. Sebab itulah Tan Sri Khalid berkeras tidak mahu berganjak dari tawaran asal RM250 juta yang sudah dianggap adil.
Ini belum lagi mengambilkira keuntungan terkini, misalnya tahun lepas dimana Splash mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM225 juta yang secara langsung akan memberi pulangan yang tinggi kepada pemegang sahamnya. Angka keuntungan serupa berlaku setiap tahun.
Jika ada yang bertanya mengapa perjanjian konsesi boleh membawa keuntungan luar biasa, suka saya mengingatkan bahawa konsesi ini bermula pada tahun 2000, sewaktu pentadbiran Perdana Menteri keempat.
2) Nilai 2.55 bilion bukan kos keseluruhan
Menteri Besar Selangor menyatakan bahawa jumlah RM2.55 bilion ini adalah 28% lebih rendah berbanding nilai buku bersih (NBV) bagi menggambarkan seolah-olah 2.55bilion ini angka adil. Harus diingatkan, jumlah RM2.55 bilion ini masih belum mengambil kira liabiliti serta tanggungan syarikat Splash ini. Semakan menerusi kedudukan kewangan Splash bagi tahun 2017, jumlah keseluruhan liabiliti dan tanggungan Splash adalah sebanyak RM3.07 bilion. Bermakna RM2.55 bilion yang bakal dibayar hanya untuk pegangan saham/ekuiti dan selepas itu masih lagi perlu menanggung liabiliti dan hutang.
3) Tarif air terpaksa dinaikkan
Kos pembelian SPLASH yang tinggi ini membawa kepada satu kesimpulan, yakni dijangka akan menaikkan tarif air bagi rakyat, sepertimana diakui oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli sendiri.
Kerajaan negeri Selangor perlu segera tampil memberi penjelasan mengapa jumlah kos pembelian SPLASH ini teramat tinggi dan apa rasionalnya memaksa rakyat mensubsidi ahli perniagaan? Adakah ini erti ekonomi rakyat yang kononnya diperjuangkan Pakatan?
Air naik 20 kali ganda pun tak apa, rakyat Selangor semua dah kaya raya....horeyyyyyyy!!!
ReplyDelete