Pages

Wednesday, December 6, 2017

UCAPAN DASAR PEMUDA UMNO DEDAH FAKTA HARAPAN PALSU PEMBANGKANG @khairykj #KN





UCAPAN DASAR
KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2017
17 RABIULAWAL 1439 / 6 DISEMBER 2017, 8.30 PAGI,
Dewan Tun Hussein Onn, PWTC

“Nostalgia Dongeng, Harapan Palsu, Transformasi Sebenar ✔”

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat kita sekali lagi berkumpul di perhimpunan tahunan terbesar parti keramat orang Melayu. Sesungguhnya ini adalah satu tanggungjawab yang berat bagi kita yang mewakili suara akar umbi dari seluruh pelosok tanah air sebagai pewaris kepada perjuangan yang telah menentang penjajah, memerdekakan negara dan memajukan bangsa. 

2. Dalam kita berhimpun di dewan serba indah ini, jangan dilupa mereka yang diuji dengan musibah banjir - yang kini di pusat pemindahan, menunggu surutnya air, menadah harapan. Kepada Allah SWT kita berdoa agar semuanya diselamatkan, dipermudahkan urusan dan diberi ketabahan.

Para perwakilan sekalian,

3. Kita bukanlah yang pertama, bukan juga yang terakhir. Di medan inilah lahirnya sebuah perjuangan yang suci, yang digagas pejuang terdahulu dan ditatang generasi ke generasi, zaman berzaman. Dan untuk tika dan saat ini, perjuangan suci itu tergalas di atas bahu kita semua.

4. Apa yang saya maksudkan adalah - kita merupakan penyambung kepada sebuah perjuangan murni - perjuangan untuk menyatukan bangsa. Bukan perjuangan yang disulam kebencian terhadap sesiapa, tetapi satu wadah yang mulia, yang lahir di istana dan bukan di jalan raya - yang memungkinkan penyatuan orang Melayu, yang menzahirkan cita-cita orang Melayu, yang mempertahankan hak dan kedaulatan orang Melayu. Sebuah perjuangan yang dibina atas harapan sebenar untuk mengangkat martabat bangsa, bukan atas benci, bukan atas dendam, semata-mata untuk kuasa.

5. Tahun lepas, pada pentas yang sama kita telah melafazkan ikrar persediaan Pemuda kepada pucuk pimpinan parti bagi menghadapi perang besar kita tidak lama lagi. Kita melaungkan slogan perang mewakili lebih 600,000 Tariq Ibn Ziad sebagai hulubalang parti. Namun hari dan purnama berlalu, gendang perang masih belum dipalu. Tapi janganlah ini membuatkan kita alpa dan leka, menyandar dari kedudukan siap siaga. Kerana tiada lagi teka teki sama ada ini perhimpunan agung terakhir parti sebelum PRU ke-14 nanti. 

6. Maka atas kesedaran itu, biarlah perhimpunan kali ini kita tumpukan kepada satu persoalan sahaja. Rakyat Malaysia kini berada di sebuah persimpangan dilema – kekal atau ubah. Satu pangkah yang bakal menentukan nasib mereka hari ini, dan masa depan anak dan cucu mereka nanti. Lebih daripada pilihan raya-pilihan raya yang lalu, membuat keputusan itu amat sukar kali ini kerana lanskap politik telah banyak berubah. Justeru, ramai yang masih di atas pagar, memerhati dan mencongak-congak, dan hanya akan membuat pilihan di saat akhir nanti.

7. Di Pakatan sebelah sana, walaupun tetap caca merba, kini wajahnya berbeza. Partinya sudah berbeza. Pemimpinnya juga bertambah, apabila ada yang berpaling tadah dari sini ke sana. Mereka mempersembahkan nostalgia, gandingan Mahathir dan Anwar - sebuah gabungan lama pemerintah negara namun dijenama sebagai gabungan masa depan. Mereka juga menjaja harapan, dengan belanjawan dan track record di negeri mereka berkuasa, juga kononnya ditunjangi bakat muda yang lebih hebat daripada kita.

8. Alhamdulillah, UMNO pula kini kuat semula apabila sudah pulih dari drama pembelotan dan perebutan kuasa. Barisan telah kita kembali rapatkan dan hati telah kita satukan semula. Perjuangan kita tidak menjaja gula-gula namun bertunjangkan kepada transformasi yang digarap untuk Malaysia.

9. Maka, persoalan besar yang saya maksudkan itu adalah mengapa rakyat perlu mengundi kita, Barisan Nasional? Mengapa di kotak undi nanti, hanya dacing yang perlu dipangkah, dan bukan yang lain. Bahawa nostalgia dongeng yang dilagukan di sana, bahawa harapan palsu yang digula-gulakan mereka, tiada bandingannya dengan keazaman dan transformasi sebenar yang kita bawa.

10. Di perhimpunan agung terakhir sebelum kita turun ke gelanggang ini, marilah kita bangkitkan keyakinan orang ramai bahawa UMNO lah pilihan yang satu, prihatin terhadap rakyat, bijak mengurus negara – bahawa UMNO lah yang terbaik untuk meneraju dan mengemudi Malaysia dalam menghadapi apa jua cabaran melanda.

Para perwakilan sekalian,

11. Perkara pertama yang perlu kita bincangkan adalah soal nostalgia. Dewasa ini, rakyat Malaysia sering dimomok-momokkan dengan nostalgia-nostalgia dongeng. Tidak salah kita mengimbau semula kenangan-kenangan semalam. Mungkin ada yang bernostalgia zaman persekolahan, kegirangan jiwa remaja tanpa kerisauan. Tidak kurang mereka yang bernostalgia kekasih lama. Tatkala cinta bertaut pada pandangan pertama. Atau zaman kita masih hebat bersukan, ketika fit dan cergas tubuh badan.

12. Tetapi bahayanya ialah apabila kita dijamukan nostalgia yang diubah, ditokok tambah, sehingga lebih sudu dari kuah - nostalgia mimpi di siang hari, tersasar jauh dari realiti - memori yang sengaja diolah semula agar menyimpang dari kebenaran.  Kekasih pertama sebenarnya tak cantik manapun, tetapi nostalgia yang direka seolah-olah berskandal dengan Miss Universe.

13. Saya faham bahawa sebagai manusia, kita suka dibuai nostalgia. Namun untuk perkara sebesar dan seserius ini, kajilah dalam-dalam setiap nostalgia yang diimbau agar kita arif – adakah ia dongeng atau realiti. Seperti yang disebut pujangga dan pakar falsafah dari Sepanyol, George Santayana - “Mereka yang tidak mengingati sejarah bakal mengulanginya”. Cicero dari ketamadunan Romawi pula pernah berkata - "Jika kita tidak mengetahui sejarah yang sebenar sebelum kita lahir ke muka dunia, maka selama-lamanya kita tidak dewasa”.

14. Nostalgia dongeng ini bahaya, saudara-saudara. Dalam konteks politik ia boleh membawa bencana. Kerana kita boleh terbawa-bawa bukan dengan realiti, tetapi satu fatamorgana sejarah yang mengaburi mata. Bahawa zaman dahulu lebih baik daripada hari ini. Bahawa tahun 80-an dan 90-an dahulu, indah serba serbi. Yang peliknya anak muda yang belum atau baru lahir pada masa itu juga cakap benda yang sama. Seolah-olah mereka turut sama melaluinya.

15. Lihat sahaja kepada media sosial. Bila mana kita patahkan hujah, tepis fitnah pembangkang, ada sahaja anak muda yang pertahan Pakatan dengan berkata "Kini Pakatan ada Tun M. Zaman beliau berkuasa, hebat-hebat belaka". Ini yang saya maksudkan dengan nostalgia dongeng. Konon zaman beliau pembangunan untuk semua, bina KLCC, bina litar Sepang, bina KLIA. Konon zaman beliau rakyat dipelihara, ekonomi sama rata, GST tiada, kroni tak berleluasa. Konon zaman beliau kerajaan adil, rakyat berkuasa, tiada diktator semuanya telus. Kononnya segala yang baik hari ini sebab beliau yang bina, segala yang buruk salah kita semata-mata.

16. Saya bukan mengatakan bahawa segala yang berlaku di zaman beliau adalah tidak bagus. Maklumlah, 22 tahun itu suatu tempoh yang panjang. Takkan tiada langsung perkara baik yang dilakukan dalam tempoh sepanjang itu. Dan perkara-perkara baik yang telah beliau gagaskan, tidak kita sanggah - malahan pujian telah kita berikan.  Cuma yang saya tidak boleh terima adalah dongeng yang dibawa dan yang diterima bulat-bulat oleh sesetengah daripada kita hari ini – bahawa di zaman beliau segala-galanya adalah sempurna dan indah belaka, tetapi sekarang ini keadaan begitu teruk sekali. Itu mitos yang tidak boleh saya terima.

17. Seperti yang ditulis pakar ekonomi, Bryan Caplan dalam bukunya ‘The Myth of the Rational Voter’, manusia sering bias terutamanya bias sebagai pesimis. Manusia secara lumrahnya sentiasa pesimis terhadap keadaan hari ini dan terus kagum dengan keadaan lampau. Nostalgia dongeng ini perlu ditangkis dan ditentang kerana ia memberikan gambaran seolah-olah keadaan yang terdahulu lebih baik daripada yang sekarang. 

18. Sebab itulah rekod lama mesti dikaji semula. Ada yang kata kenapa perlu dikorek cerita lama - tak perlu diungkit sejarah lalu. Jawapan saya, sejarah lalu perlu dikaji dan difahami, agar kesimpulan mudah tidak dibuat oleh para pengundi muda. Agar pengundi muda tidak senang-senang membuat logical reasoning atau penaakulan mantik bahawa – dulu zaman Mahathir dan kini zaman Najib. Zaman dahulu lebih baik daripada zaman sekarang. Bermakna Mahathir lebih baik daripada Najib. Justeru, kita undi parti Mahathir. Penaakulan mantik sedemikian yang perlu kita perjelas dan hapuskan.

19. Lebih dari itu, perlu kita kaji implikasi keputusan yang dibuat di zaman tersebut kerana legasi keputusan itu sesetengahnya begitu membebankan kita hari ini. Mungkin dahulu kita tidak sedar kesan daripada keputusan yang dibuat. Namun hari ini, ia amat jelas sekali.

20. Pastinya apabila berbicara tentang pembangunan, kita tidak boleh menafikan kepesatan kemajuan yang dibawa oleh pemimpin terdahulu. Malangnya anak muda hari ini dikhayal dengan nostalgia dongeng sehingga mereka percaya bahawa negara kita ini jauh lebih baik dahulu berbanding sekarang. Mungkin mereka terlalu muda untuk mengingat betapa tidak seimbangnya pembangunan masa dahulu. Ya, memang betul Menara Kembar Petronas yang tinggi menjulang adalah legasi beliau, begitu juga Litar Lumba Sepang dan Putrajaya. Tapi jangan dilupa, kebanyakan daripada fokus kemajuan tersebut hanya di Lembah Klang sahaja.

21. Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain? Kawasan-kawasan majoriti ahli perwakilan yang ada di dalam dewan ini? Di zaman beliau tiada pula kita melihat projek-projek seperti koridor ekonomi di Iskandar, di Utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Juga Vision Valley di Negeri Sembilan. Pada zaman itu, ada ke dibina Lebuhraya Pan Borneo yang menyambungkan Sematan di hujung Sarawak hingga Tawau di hujung Sabah, tanpa tol? Apakah ada pembangunan yang besar di Pantai Timur Semenanjung? Yang pasti berlaku dan takkan saya lupa, projek Lebuhraya Pantai Timur di Terengganu dibatalkan setelah Barisan Nasional kalah di situ pada tahun 1999!

22. Janganlah kita membiarkan diri hanyut dibuai nostalgia dongeng tatkala terdongak kagum melihat Menara Berkembar, lantas percaya bahawa Malaysia lebih makmur pada zaman itu. Pembangunan negara dalam erti sebenar bukan hanya dengan terdirinya KLCC atau terbangunnya Putrajaya semata-mata. Pada zaman itu, negeri yang kadar kemiskinannya berada di paras bawah satu peratus hanya Kuala Lumpur sahaja - yang lain jauh lebih tinggi. Negeri beliau sendiri lebih sepuluh peratus. Takkan kita cetek sangat, semata-mata ada KLCC, ada Putrajaya, ada Litar Sepang, kita terus anggap semua rakyat dari Perlis ke Johor, Perak ke Sabah, hidup sama rata?

23. Tetapi hari ini ketidaksamarataan itulah yang sedang diperbetulkan. Bukan sekadar Lebuhraya Pan Borneo, tetapi projek-projek seperti ECRL yang akan memacu kemajuan kawasan Pantai Timur telah dimulakan. Tok Bali, Jelawat, Kampung Raja, Kemasik, Maran dan Mentakab - ekonomi di kawasan-kawasan tersebut bakal dirancakkan. Ini barulah pembangunan dan kemajuan sama rata. Ini bukan nostalgia dongeng. Ini realiti yang dibawa oleh Perdana Menteri sekarang. 

24. Begitu juga dengan pembangunan pesat yang bakal datang ke selatan Semenanjung dengan projek HSR. Jangan ingat hanya KL dan Singapura sahaja dihubungi. Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan turut menerima limpahan pembangunan daripada kewujudan keretapi laju ini. Bangi, Seremban, Bandar Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri - semua akan dimajukan. Ini bukan zaman Mahathir Mohamad. Ini zaman Najib Razak!

25. Ini baru sentuh cerita pembangunan yang tidak seimbang. Belum lagi kita bincang tentang perjanjian berat sebelah yang sampai hari ini membebankan kita. Sekali lagi kita tidak nafikan usaha beliau membangunkan pelbagai prasarana asas. Antaranya lebuh raya dan penjanaan elektrik. Memang kalau nak tunggu peruntukan kerajaan semata, memang kita tidak mampu membangunkannya dengan segera. Sebab itulah dasar penswastaan diwujudkan. Dasar ini sebenarnya tidak salah. Sektor swasta dipelawa untuk membina dan menguruskan prasarana asas dengan menerima kontrak konsesi untuk tempoh beberapa tahun. Pengguna pula membayar apa yang dipakai dalam bentuk tol atau bil elektrik. Mudah.

26. Namun demikian, kerajaan mestilah memastikan perjanjian konsesi itu seimbang dan tidak berat sebelah. Dah namanya Kerajaan - ia wujud untuk menjaga kebajikan rakyat, bukan sekumpulan kecil tauke-tauke besar. Tetapi itulah yang berlaku di zaman beliau. Anwar pula sebagai Menteri Kewangan jadi bidannya. Selepas proses penswastaan besar-besaran berlaku, syarikat-syarikat ini menerima durian runtuh. 

27. Kenapa saya cakap durian runtuh? Sebab yang rugi rakyat, yang untung tauke - semua kerana perjanjian pro-tauke yang dipersetujui gandingan pemimpin zaman itu. Kenapa TNB dipaksa membeli kuasa janaan IPP untuk tenaga yang tidak digunakan? Sebab perjanjian pro-tauke berat sebelah. Tiap-tiap tiga tahun tol lebuh raya boleh dinaikkan tanpa terma, sebab apa? Sebab perjanjian pro-business berat sebelah. Dan perjanjian berat sebelah ini masih terpaksa kita tanggung dan sedang cuba kita selesaikan sehingga ke hari ini. Ini yang dimaksudkan legasi yang membebankan rakyat.

28. Perjanjian pro-tauke berat sebelah satu hal – bukan setakat itu sahaja, apabila syarikat-syarikat besar ini hampir bungkus, duit rakyat juga yang digunakan untuk menolong mereka. Saya yakin kita semua masih ingat istilah ‘bail-out’ yang begitu disebut-sebut pada satu ketika dulu. Bila krisis kewangan Asia melanda, syarikat-syarikat ini semuanya ditebus dan diselamatkan oleh kerajaan. Kos puluhan bilion ringgit, guna duit siapa - duit kita, duit rakyat. Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan, bila dilanda krisis, Petronas melalui MISC yang selamatkan. RM1.7 bilion duit siapa? Duit kita, duit rakyat juga. 

29. Ini lagi satu nostalgia dongeng yang saya tak boleh tahan. Konon zaman mereka semua sempurna - zaman kita salah sedikit pun dah macam bencana. Janganlah kita jadi Melayu yang mudah lupa, kegagalan mega pun kita tak ingat. Bank Negara rugi tukaran asing lebih RM31 billion, kita lupa? Perwaja Steel rugi RM10 billion, pun kita lupa? PKFZ rugi RM4.6 billion, kita lupa juga? Belum kira BioTech Valley, konon nak tarik pelabur dan pelaburan, tapi apa yang terjadi –sasaran pelaburan RM1 bilion sepi tanpa berita. Belum lagi cerita tentang e-Village - konon nak bina Studio Hollywood Asia, tapi setelah bagi peruntukan lebih RM2 bilion, habuk pun tiada. Satu lagi - InventQjaya - konon nak bina pusat kajian dan paten - kajian dan patennya entah ke mana, hutang RM242 juta yang rakyat sehingga kini terpaksa biaya. Ini belum kira lagi kerugian RM1.5 bilion Maminco dalam pasaran timah, lepas itu guna pula duit KWSP untuk bayar hutang mereka; kerugian beli semula saham MAS lebih dua kali harga pasaran; penggunaan duit rakyat untuk naikkan harga saham Time Dot Com bila mereka berhutang hampir RM5 bilion. Dan macam-macam lagi kalau kita nak bercerita.

30. Justeru, sudah-sudahlah kita membiarkan diri hanyut dalam nostalgia dongeng bahawa beliaulah pemimpin teragung. Dahulu dan kini – dua zaman berbeza. Malaysia pada ketika itu adalah antara sebahagian kecil negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka – pelaburan luar melimpah masuk, merangsang pembangunan ekonomi yang pantas. Hari ini, negara seperti India, China dan Vietnam yang dahulunya mengamalkan dasar tertutup, kini terbuka luas pintunya, memberikan lebih pilihan kepada para pelabur, menjadikan persaingan begitu sengit buat Malaysia. Kita bukan ingin memberi alasan tetapi realiti perlu diperjelaskan.

31. Sewajarnya, tatkala keadaan lebih mudah ketika itu, janalah pulangan jangka panjang yang lebih menyeluruh dari setiap ringgit pelaburan yang diterima. Jangan hanya fikir output dan bangunan siap cepat-cepat sahaja. Ini tidak. Sebagai contoh, semasa bina KLCC, Hazama Corporation dari Jepun bina Menara 1, Samsung Engineering dari Korea bina Menara 2. Senibina arkitek dari Argentina. Buruh asing diimport dari Bangladesh dan Indonesia. Tak nampak usaha perkasa modal insan tempatan yang tersusun dan berkesan daripada pelaburan yang diterima.

32. Berbeza dengan kerajaan hari ini. Kita tidak hanya berfikir bila bangunan nak siap dan kerja selesai sahaja. Kita fikir jauh ke depan – bagaimana setiap ringgit pelaburan dapat memberikan kesan optimum dan menyeluruh. Tatkala kita ingin membina ECRL, betul ada pelaburan dari China dan buruh pun kita guna buruh luar. Namun, satu program latihan industri juga dibangunkan untuk lebih tiga ribu graduan tempatan agar kemahiran baru mereka pelajari. Apabila MRT dibina, kita bangunkan Akademi Latihan Terowong pada tahun 2011, untuk melatih anak muda tempatan dalam bidang tersebut. Matlamat kita adalah supaya anak muda Malaysia sendiri yang bina MRT2, MRT 3, ECRL dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kita pastikan MRT sediakan peluang sebanyak RM22 bilion untuk syarikat bumiputera yang layak. Selain itu, syarikat besar yang dapat kontrak kerajaan dan GLC, kita wajibkan latih graduan muda melalui Skim Latihan 1 Malaysia atau SL1M. Syarikat-syarikat GLC pula bukan hanya dinilai dari untung ruginya, tetapi juga peranan yang dimainkan dalam memperkasa agenda bumiputera. Itu adalah wawasan Najib Razak!

33. Acapkali beliau mendabik dada dan mengingatkan kita akan kejayaan beliau memenangi lima pilihan raya umum, setiap kali dengan majoriti dua pertiga. Nostalgia dongeng sekali lagi dijaja - kononnya ini bukti beliau pemimpin yang popular, yang hebat berbanding sekarang kerana majoriti dua pertiga sukar diperolehi. Mereka yang hanyut dengan nostalgia dongeng ini lupa, bahawa persekitaran politik zaman dahulu jauh beza berbanding hari ini. Media arus perdana dikawal sepenuhnya, media alternatif kurang ada.  Segala spin dan cerita semua ditentukan oleh beliau - yang tak ikut telunjuk terus masuk penjara. Kalau zaman beliau ada internet, ada blog, ada segala bagai media sosial seperti hari ini, saya teringin nak tengok sama ada beliau masih boleh menang mudah dua pertiga.

34. Ada pula yang mungkin kata, kenapa dulu senyap? Tak cakap apa-apa? Jawapan mudahnya, dulu tiada kebebasan bersuara, baik di luar mahupun di dalam parti. Surat khabar yang kritikal ditutup. Pengkritik-pengkritik politik dicekup dan dihumban ke penjara dalam Ops Lalang. Bila nak tutup mulut lawan, berlakulah tragedi Memali konon atas alasan keselamatan negara. Mahkamah dikawal sepenuhnya, sehingga Ketua Hakim Negara dipecat tanpa sebab yang kukuh. Perkara asas dalam sistem kehakiman pun diabaikan - ISA digunakan, dijadikan senjata - untuk menahan individu-individu yang dirasakan ancaman politik tanpa perlu dibicara. Jangan lupa, Timbalan Perdana Menteri dia sendiripun kena tumbuk sehingga mata lebam. Timbalan Perdana Menteri hari ini ditahan bawah ISA dulu. AUKU dijadikan pendinding untuk menghalang mahasiswa bersuara. Dalam parti, kerajaan, dan negara wujud a culture of fear. Kuku besi. Sekarang dia bercakap macam dia orang suci dan kita pula yang zalim dan diktator.

35. Jadilah bangsa yang celik dan dewasa. Yang memandang dengan akal, mendengar dengan minda, menilai dengan bijaksana. Berdirilah bertunjangkan fakta, tidak melenting apabila dicocok, tidak longlai apabila digosok. Jadilah bangsa yang arif sejarah. Yang mengkaji sebelum percaya, yang menyelidik sebelum bersuara. Yang pendiriannya berhujung pangkal, bukan didorong natijah yang dangkal. Tidak salah menyanjung pemimpin, tetapi teraskanlah ia dengan analisa yang objektif, bukannya perasaan, mitos, dan dongeng. Melangkahlah ke hadapan berpaksikan hakikat dan realiti, jangan biarkan diri dikawal nostalgia dan emosi, kerana perjalanan kita masih jauh lagi.

Sidang Perwakilan sekalian,

36. Selesai cerita nostalgia dongeng dan mitos kemaksuman pemimpin itu. Tetapi lawan kita bukan hanya menjaja nostalgia. Mereka juga sedar bahawa rakyat ingin tahu apa yang mampu disajikan untuk hari-hari mendatang. Di sini saya ingin mengingatkan para pengundi muda, bahawa jika nostalgia dongeng itu bahaya, yang lebih berbahaya lagi adalah harapan palsu. 

37. Kalau mendengar janji-janji pihak lawan, nescaya kita akan jadi Superman. Boleh terbang, boleh angkat bangunan, boleh segala-gala. Namun hakikat dunia tidak sebegitu. Berjanji memang mudah – bulan, bintang, matahari waima cakerawala. Sesiapa pun boleh kalau setakat menabur janji. Tetapi pengundi yang celik dan rasional mesti bertanya, bolehkah janji itu dilaksana?

38. Sebagai contoh, tiada siapa yang suka bayar cukai. Kita sendiri pun akui, tak suka bayar cukai. Tapi suka atau tidak, kita tetap bayar cukai. Sebab apa? Kerana cukai itulah yang membiayai pembangunan, membantu yang memerlukan, dilabur untuk masa depan. Bila SST dimansuh, GST diperkenal - ramai tak setuju. Tetapi untuk tahun lepas sahaja, kutipan GST mencecah RM 41 bilion. 

39. Bukan RM41 bilion itu masuk poket pemimpin sebagaimana yang ditohmah anak-anak muda di luar sana. Duit inilah yang digunakan untuk buat jalan, bina lebuh raya, biaya pendidikan di universiti, naik taraf sekolah, bayar operasi hospital dan klinik kerajaan, dan macam-macam lagi. Lagi-lagi bila hasil pendapatan kerajaan daripada sektor minyak sudah berkurang - bukan sebab kita sengaja jual minyak dengan harga rendah. Tetapi kerana harga pasaran minyak mentah global turun mendadak. Saya nak tanya, pembangkang ini lagi pandai dari negara-negara lain yang ada GST? United Kingdom, Australia, Germany dan 170 negara lain, semua ada GST. Malah di kalangan negara-negara ini, tidak ada satu kes pun di mana bila kerajaan bertukar, GST dihapus bersama. Itulah yang Datuk Ahmad Maslan dok terangkan satu negara sampai berbuih mulut.

40. Tapi kalau nak ikut harapan palsu pembangkang, mereka kata kalau menang akan hapuskan GST. Dari mana mereka nak ganti RM41 bilion untuk menampung pembangunan negara? Ada yang kata nak kembalikan SST yang terbukti tidak cekap, terbukti mudah dielak oleh peniaga-peniaga jahat. Ada pula yang kata jumlah itu boleh diperolehi apabila rasuah dibanteras. 

41. Betul ke pakatan pembangkang ini tiada ketirisan dan rasuah? Kes rumah banglo Ketua Menteri Pulau Pinang tu apa? Kes Rumah Disneyland di Ampang, kes Jambatan Klang ke-3 kos naik RM41 juta daripada asal, kes permit jual pasir, PBT beli barang harga dua kali ganda pasaran, tender terbuka jadi rundingan terus, kos perunding buat lebuh raya dan terowong sampai RM305 juta - bukankah itu semua ketirisan? Macam mana mereka nak jimat RM20 bilion setahun kalau di peringkat kerajaan negeri pun tiris tak sudah-sudah?

42. Jangan lupa, harapan palsu mereka ini bukan hanya setakat penghapusan GST tetapi ada macam-macam lagi. Nak hapus tol, nak tangguh PTPTN, nak bagi macam-macam percuma. Kalau di negara maju, rakyat sudah tolak mereka. Pengundi di sana sentiasa menyoal parti-parti politik, duit untuk janji-janji pilihan raya ini datang dari mana? Sebab kalau janji manis sangat sampai boleh dapat Diabetes, ada dua sahaja kemungkinan. Pertama, kita terpaksa naikkan segala jenis cukai seperti mana negara Scandinavia yang rakyatnya membayar cukai pendapatan lebih 50% dan kadar GST nya lebih 20%. Kedua, negara kita bankrap sebab hutang tak terbayar. 

43. Bankrap negara ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang enteng, para perwakilan sekalian. Ia tragedi ngeri yang mesti kita elakkan. Negara akan kucar kacir, nak pinjam dana payah, tarik pelaburan sukar, akhirnya ketakutan dibawa ke jalan raya. Itu baru negara yang gagal - failed state. 

44. Satu lagi contoh janji mereka, nak bantu penghutang PTPTN. Dulu janji nak mansuhkan terus hutang PTPTN. Sekarang dah cerdik sikit, justeru ubah pintu gol, minta ditangguhkan sahaja - hanya perlu mula bayar semula bila gaji cecah RM4 ribu.  

45. Masalahnya, kalau cadangan ini dibuat tanpa idea dan perancangan untuk merancakkan ekonomi dan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, ramai graduan nanti akan mengambil masa untuk cecah gaji RM 4,000. Kesannya, dana dalam Tabung PTPTN akan berkurangan. Kalau berkurangan, generasi adik-adik dan anak cucu kita nak pergi universiti guna duit apa? Jelas pembangkang tak peduli pasal hari esok - janji dapat undi, dapat kuasa, hari ini.

46. Mungkin di sini ada yang bertanya, apa penyelesaian BN? Setidak-tidaknya pembangkang ada juga bagi harapan, dan kononnya, harapan palsu lebih baik daripada tiada harapan langsung. Janganlah kita kurang membaca, kritik sahaja banyak, lambat nak berfikir tetapi cepat melatah buat andaian. Isu PTPTN ini daripada dulu lagi telah diperjuangkan oleh Pemuda. Seawal April 2012, Pemuda lah yang anjur perbincangan tentang PTPTN.  September tahun yang sama, kerajaan buat pengumuman pertama ringankan beban penghutang PTPTN. Selepas itu, tahun demi tahun, bantuan ini diteruskan. Yang bayar konsisten, yang bayar melalui potongan gaji, mereka dapat diskaun. Yang mampu bayar penuh, dapat diskaun lagi besar - tahun ini diskaun 15%, tahun depan diskaun 20%. Ini semua datang dari desakan kita dan keprihatinan kerajaan. 

47. Namun strategi utama BN adalah penyelesaian jangka panjang untuk masa depan yang mampan. Ini cara yang terbaik. Sebab itu kita fokus kepada pelaburan, fokus kepada penghasilan pekerjaan berpendapatan tinggi, fokus kepada TVET, usahawan dan universiti berkualiti, fokus kepada sistem pendidikan yang terkini. Inilah corak pembangunan di serata dunia - kembangkan ekonomi dan melabur dalam modal insan. Bila ekonomi berkembang, peluang pekerjaan bertambah, pendapatan juga meningkat. Justeru, mudahlah nak bayar PTPTN. Itu pembangunan total. Tetapi pembangkang suruh anak muda kita untuk tidak bayar hutang PTPTN. Itu yang diajarnya!

48. Bukan itu sahaja. Mereka juga berjanji nak hapuskan semua tol. Nak rampas semula konsensi. Kerajaan dah buat kira-kira, kos ambil alih semua konsesi tol adalah sebanyak RM400 billion. Saya nak tanya - macam mana kita nak ambil alih kesemua konsesi ini? Nak bayar dengan apa? Bajet kerajaan setiap tahun pun sekitar RM200 bilion. Jadi duit nak ambil alih konsesi ini nak petik dari pokok mana? Konsesi itu perjanjian. Kalau kerajaan sendiri mungkir janji, mungkinkah ada para pelabur yang masih ingin datang melabur di sini? Dan kalau tidak, dari mana kita nak dapatkan duit untuk pembangunan masa hadapan?

49. Di sini saya perlu sebut. Jangan ingat UMNO tak prihatin pada rakyat. Kerajaan faham akan cabaran yang mendepani rakyat. Di perhimpunan ini, isu kos sara hidup dibangkitkan setiap tahun. Dan Kerajaan juga bukanlah tidak berhati perut. Cuma kita tidak mahu menjadi Kerajaan yang tidak bertanggungjawab - berjanji bulan dan bintang, sehingga terpaksa mengorbankan masa depan. Apa yang kita lakukan ialah bila mampu, kita akan laksanakan. Dalam Bajet 2018 misalnya, kita umum mansuh empat tol. Di utara kita mansuh tol Bukit Kayu Hitam, di Selangor kita hapus dua tol, Batu Tiga dan Sungai Rasau, di Johor kita hapus tol EDL. Ini kerajaan bertanggungjawab, bukan politikus populis. Kita bantu rakyat tanpa memudaratkan negara dengan janji yang boleh memufliskan kita.

50. Sama juga dalam menyelesaikan isu pengangkutan. Nampak beza visi BN dan kecetekan Pakatan. Penyelesaian mereka - turunkan harga kereta. Memang jawapan mereka nampak sangat menarik, berupaya memancing pengundi. Tetapi apa akan jadi dengan masalah kesesakan lalu lintas? Bagaimana dengan isu pencemaran alam sekitar? Inikah penyelesaian jangka panjang mereka? 

51. Kalau itu jawapan mereka 20 tahun lepas saya boleh faham. Ini dah 2017 - rata-rata negara maju memberikan fokus mereka untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam. Anak muda sekarang risau tentang pencemaran alam sekitar akibat terlalu banyak kereta di atas jalan raya. Dengan pengangkutan awam yang terjalin baik dan menyeluruh, rakyat dapat bergerak dengan murah tetapi selesa - alam sekitar juga terpelihara. Itu penyelesaian kita. Di bawah Datuk Seri Najib Razak, LRT 3 dirancang, MRT dirancang, MRT 2 dirancang, MRT 3 dirancang, BRT dirancang, KTM dan LRT pula ditambah baik. Rangkaian bas di negeri-negeri lain dinaik taraf. Penyelesaian mereka ternyata hanya bersifat hari ini, demi inginkan kuasa, yang lain belakang kira. Kerajaan memilih untuk melihat hari ini tanpa melupakan masa depan.

52. Keghairahan mereka mengejar kuasa juga dapat dilihat di negeri-negeri tadbiran mereka. Dulu angkuh mendabik dada. Kononnya mereka lebih baik dari kerajaan negeri yang lain - Lim Guan Eng pada tahun 2013 berkata - bagi saya sepenggal, saya selesaikan masalah banjir di Pahang. Baru-baru ini, keluar lagi video lama, dia perli Kelantan berhubung isu banjir.

53. Namun harapan ternyata tinggal harapan. Kononnya mereka lebih telus dan menjaga rakyat, bukan pemaju. Tetapi lihat sahaja tahap kerakusan mereka dalam meluluskan projek pembangunan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Tahun 2016, 8 projek; tahun 2015, 8 projek; dari tahun 2008 ke 2014, 24 projek diluluskan. Saya nak tanya - projek pembangunan berleluasa yang tak terkawal ini menguntungkan siapa - rakyat jelata atau pemaju kroni? Nak sangat kejar pendapatan negeri, berlaga bahu dengan syarikat pembangunan tetapi yang sengsara akhirnya siapa? Rakyat juga yang menderita. Lain kali jangan bongkak pertikai orang lain. Asyik perlekeh jaga tepi kain orang, kain sendiri terlondeh tak terpandang.

54. Sama juga dengan Selangor. Cerita sedap berdegar-degar, rupanya tetap harapan palsu. Konon nak hapus tol, tetapi kerajaan Pakatan Harapan Palsu juga yang setuju DASH & SUKE dibuat. Enam lebuh raya bertol pun mereka bersetuju dan masukkan dalam rancangan pembangunan negeri sehingga 2035. PKNS pula pegang 30% saham KESAS, Kumpulan Perangsang Selangor pegang 20% Sprint, dua-dua syarikat kerajaan negeri tetapi KESAS dan Sprint masih lagi lebuh raya bertol. Bagaimana pembangkang boleh melaungkan slogan hapuskan tol, sedangkan Kerajaan Negeri mereka, bukan setakat meluluskan pembinaan beberapa lebuh raya bertol, malahan juga merupakan pemegang saham dalam syarikat-syarikat konsesi ini?

55. Ini contoh terakhir - ibu segala kepalsuan, tipikal Pakatan Harapan palsu. Waktu Bajet 2018 dibentang, semasa PM umum bonus RM1,500 untuk semua penjawat awam, mereka perli kita. Kononnya sikit. Ketika membentangkan belanjawan di Selangor, mereka umumkan pula - Selangor bagi bonus tiga bulan. Tetapi seperti janji-janji manis Pakatan yang lain, bila kita dengar betul-betul, bila kita tengok fine print, ini yang sebenarnya. Duit itu sudah dibayar pun tahun ini.

56. Itulah skrip Pakatan setiap kali nak kuasa - harapan palsu. Pakatan Harapan Palsu. Segala peluang dan ruang digunakan untuk menuba rakyat dengan janji manis hari ini, demi undi hari ini, untuk mereka berkuasa juga hari ini. 

57. Pujangga pernah berkata – dunia ini bukan hanya diwariskan oleh generasi terdahulu tetapi juga dipinjamkan kepada kita oleh generasi hari esok. Justeru, dalam mendepani cabaran hari ini, janganlah hanya memilih penyelesaian jangka pendek yang hanya meloloskan diri kita sendiri, tetapi meninggalkan beban hutang yang bakal menjepit dan menjadi musibah untuk generasi seterusnya. Janganlah kita menjadi generasi yang hanya ghairah memikirkan tentang diri dan dunianya hari ini, sehingga lupa akan peranannya terhadap hari esok. Termakan harapan palsu, musnahlah masa depan anak cucu.

Sidang perwakilan sekalian,

58. Nostalgia dongeng dan harapan palsu mesti kita tolak. Kita tolak sebab ia nostalgia bersifat regresif, menulis semula sejarah secara selektif. Kita tolak kerana ia harapan palsu yang menyasar dari logika, direka hanya demi kemenangan politik dan bakal mengorbankan masa depan anak cucu kita.

59. Kerajaan yang terbaik untuk kita, dan juga anak cucu kita adalah yang melihat hari esok sama pentingnya seperti hari ini, jika tidak lebih lagi. Yang memastikan masa depan harus lebih baik dari sekarang, dan bukan sebaliknya. 

60. Namun ini tidak bermakna kita buta dan tak endah kepada cabaran rakyat hari ini. Pemuda sedar – cabaran kehidupan sehari-hari menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat mereka. Ada yang terpaksa berhutang untuk sesuap nasi. Ada yang simpanannya tak seberapa, runsing jikalau hujan di tengah hari. Ada yang risau tentang nasib keluarga dan hari esok - kerana gaji masih rendah atau masih mencari kerja. Ada rakyat yang terpaksa jual rumah, terpaksa tambah hutang, terpaksa ikat perut hanya untuk melalui kehidupan hari demi hari.

61. Pemuda dan kerajaan sedar akan keadaan ini. Sedaya upaya, kami cuba ringankan bebanan semasa. Namun realitinya, cabaran struktur ekonomi sebegini tiada jawapan pintas - intervensi yang diperlukan semuanya memakan masa - baik dalam meningkatkan pendapatan rakyat dengan membina sistem pendidikan yang menawarkan kemahiran lebih berharga, mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi, membina lebih ramai usahawan kecil yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan mahupun juga pelaburan infrastruktur seperti pengangkutan awam, internet pantas, dan perumahan mampu milik, agar kos harian rakyat dapat dikurangkan.

62. Realitinya, kesemua masalah ini juga adalah satu legasi. Bila mana pentadbiran dahulu wawasannya lebih untuk membina monumen gergasi tetapi tidak untuk membangunkan rakyatnya sendiri. Selepas itu, barulah ada usaha untuk mengisi kelompongan yang ada. Zaman Pak Lah, baru kita beri fokus kepada pembangunan modal insan - biar rakyat ada kemahiran, ada peluang tambah pendapatan, perkasa jiwa juga fikiran. Zaman Najib pula kita mulakan transformasi segala serbi – sediakan infra, perkemas sistem pendidikan, tarik pelaburan juga kerja berpendapatan tinggi. 

63. Segala tiang dalam sebuah struktur ekonomi yang inklusif, baru dibina hari ini, kerana ia tidak dirangka dahulu. Kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu - di mana kerajaan terlalu beriya-iya mengejar gah semasa, sehingga kabur pandangannya untuk masa depan. Kesilapan di mana kita mendabik dada dengan pelaburan projek mega di bandar besar - yang dikejar hanya outputnya sahaja, struktur cantik dan megah, tanpa memperkasa rakyat dari segi kemahiran, pendidikan dan macam-macam lagi untuk hidup selesa di hari mendatang. 

64. Walaupun Malaysia gah ketika itu, kesannya begitu dirasai sekarang. Rakyat perit hari ini lantaran tidak cukup dipersediakan. Kesilapan ini yang sedang kita perbetulkan, agar anak cucu kita tidak serupa nasibnya. 

65. Alhamdulillah, segala apa yang Kerajaan lakukan bagi memperbaiki keadaan hari ini ternyata telah mula membuahkan hasil. Perubahan demi perubahan, kejayaan demi kejayaan telah dilihat - KDNK Negara berkembang dengan stabil, pendapatan tidak hanya bergantung kepada sektor minyak dan gas, hampir 2.5 juta pekerjaan baharu dicipta, pendapatan perkapita juga semakin meningkat.

66. Ini bukan hanya angka-angka besar di permukaan sahaja - ia menjalar di peringkat akar umbi, dirasai oleh rakyat sendiri. BR1M dan bantuan bersasar, bukan dedak – ia telah membantu lebih 7 juta isi rumah. Jalan baharu, air dan rumah di luar bandar, sudah lebih enam juta yang mengecap nikmatnya. Bagi yang di bandar, pengangkutan awam dibina - kalau dulu hanya 10% yang menggunakannya, sekarang dah meningkat dua kali ganda dengan tambahan aliran dan kekerapan. Tahap jenayah juga turun hampir separuh. Kalau dulu Internet LTE hanya 18% sahaja yang dapat, kini lebih 60% mempunyai akses kepada internet pantas ini. UTC dan RTC, kini ada untuk pastikan perkhidmatan kerajaan sampai dengan cepat dan mudah kepada rakyat.

67. Modal insan juga diperkasa. Purata pencapaian anak-anak kita dalam sains dan matematik telah meningkat berpuluh-puluh mata dalam ukuran antarabangsa. Tahap universiti pula telah meningkat kepada ranking ke 25, 11 tangga lebih baik berbanding lima tahun yang lalu. Bagi yang tidak ke universiti, kini ada ruang sampai 164 ribu untuk pelajar TVET, bagi mengisi 900,000 peluang pekerjaan yang berteraskan kemahiran menjelang 2020. Bukan itu sahaja, daripada tahun 2009 ke 2016, pendapatan purata B40 naik lebih 98%, M40 pula naik lebih 79%.

68. Bila cakap angka-angka kejayaan sebegini, jangan pula kita bosan. Ini senjata kita, bukti bahawa banyak yang telah dilaksana. Ini hanya sebahagian sahaja, banyak lagi kalau nak cerita. Cuma cukuplah ini sahaja disebut, sebagai bukti kepada satu transformasi sejati - hari ini kita pelihara, masa depan kita bina. Transformasi secara menyeluruh - pelan transformasi ekonomi dan kerajaan, di bawahnya segala aspek secara terperinci kita sentuh. Inilah dia transformasi sebenar.

69. Dalam konteks ini, saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana selaku Menteri Belia dan Sukan, saya diberikan mandat untuk memulakan usaha Transformasi Nasional 2050 atau TN50 - inisiatif paling penting bagi menyediakan Malaysia untuk menghadapi segala cabaran mendatang.

70. Bermula di Universiti Malaya pada 19 Januari, kita membawa minda anak muda 33 tahun ke hadapan, ke tahun 2050 - ke satu era yang pastinya sangat berbeza. Ini bukan gimik politik. Kita benar-benar kaji segala pola yang bakal beri impak kepada rakyat Malaysia nanti. Apa respon kita bila robot dan teknologi merata-rata, mengancam untuk mengambil pekerjaan kita? Apa respons kita bila masyarakat semakin menua – tahun 2035, Malaysia menjadi sebuah 'Ageing Nation' dengan implikasi kepada sistem kesihatan dan persaraan kita? Apa respons kita bila kedaulatan sempadan maya sering terancam, melalui serangan siber dan digital? Apa respons kita kepada gangguan yang bakal datang dengan revolusi industri keempat nanti?

71. Mana ada kita dengar sangat pihak pembangkang bercakap tentang persediaan untuk cabaran masa depan ini. Mereka tak bincang pasal Artificial Intelligence, pasal Internet of Things, pasal 'Ageing Population', pasal pemeliharaan alam sekitar, keselamatan makanan, tenaga, dan sebagainya. Bila mereka sibuk kritik kita, jaja harapan palsu, kita buat apa? Kita sediakan rakyat untuk masa depan, kerana failing to plan is planning to fail. Jika kita gagal untuk merancang, kita merancang untuk gagal.

72. Itulah TN50 yang Presiden ilhamkan. Dengan mandat beliau, kita turun padang berjumpa anak muda di seluruh negara, dengar suara dan aspirasi mereka.  Hampir dua juta anak muda kita dampingi, lebih 60,000 aspirasi diperolehi. Pemimpin kita turun padang setiap minggu untuk apa? Untuk pastikan rakyat Malaysia bersedia untuk masa hadapan. TN50 is securing a better future for Malaysia.

73. Ibnu Khaldun pernah berkata - "He who finds a new path is a pathfinder, and he who walks far ahead of his contemporaries is a leader, even though centuries pass before he is recognised as such.” Maksudnya, barangsiapa yang meneroka jalan baharu, yang berani melangkah jauh ke hadapan mendahului generasinya, dialah pemimpin yang sebenar, walaupun hakikat itu hanya akan terbukti nanti.

74. Percayalah sidang perwakilan sekalian, apa yang kita buat dengan TN50 ini, perkara yang wajib. Melihat ke hadapan dan membina masa depan yang lebih baik, adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Mungkin faedahnya tak sempat kita nikmati, tetapi percayalah, anak cucu kita nanti akan hargai budi dan bakti ini – budi dan bakti Parti UMNO, budi dan bakti Kerajaan Barisan Nasional.

Sidang perwakilan sekalian,

75. Bercakap tentang menyediakan masa depan yang baik untuk rakyat Malaysia, Pemuda ingin mengutara sebuah kebimbangan yang cukup serius – iaitu hasrat kita untuk melihat transformasi yang bukan hanya membawa manfaat kepada majoriti tetapi memastikan tiada anak muda yang hanyut ketinggalan.

76. Maka di ruang ini, Pemuda ingin menzahirkan sokongan penuh kepada agenda sosial baharu yang dibawa Presiden dalam Belanjawan 2018 dengan penubuhan Socio Economic Research Institute atau SERI. Ini merupakan bukti bahawa segala transformasi ekonomi, politik dan fizikal akan dilengkapi dengan transformasi sosial – transformasi yang akan melihat kepentingan nilai peribadi dan kualiti diri setiap anak Malaysia nanti.

77. Saya bukan hanya bercakap sebagai Ketua Pemuda, hanya sebagai Menteri Belia, tetapi juga sebagai seorang bapa. Agenda sosial baharu ini diperlukan sekarang juga. Pelbagai isu sosial membelenggu dan mencengkam masyarakat, terutamanya anak muda Melayu hari ini - dera dan buli lebih 14 kes sehari, ponteng sekolah lebih 70 kes sehari, dadah lebih 84 kes sehari, anak luar nikah lebih 131 kes sehari dan cerai pula lebih 184 kes sehari. Jumlah yang saya sebutkan tadi adalah kes yang direkodkan – jumlah sebenarnya hanya Allah jualah yang tahu.

78. Menuju ke TN50 nanti, masyarakat dan generasi muda akan berhadapan dengan cabaran yang berbeza berbanding apa yang kita depani hari ini. Mereka bukan hanya berhadapan gejala sosial yang biasa tetapi juga gaya hidup sedentari, masalah kesihatan mental, ketagihan skrin dan budaya mencemuh dan mengecam seperti cyber bully. Nilai kekeluargaan di rumah pula sudah tidak seperti semalam – ibu bapa melayan Facebook dan Whatsapp 24 jam, anak-anak pula melayari kehidupan di alam maya hingga kurang interaksi sebenar.

79. Jika tiada penekanan kepada agenda sosial, fabrik masyarakat akan koyak dek arus zaman, akan rabak dek teknologi dan modernisasi. Akhirnya, anak muda kita akan hanyut dalam dunia sendiri, tersisih dari gelombang transformasi - dan selama-lamanya gagal penuhi potensi. 

80. Sebagai Ketua Pemuda, saya tidak sanggup melihat Malaysia dibawa ke tahun 2050 tanpa setiap satu anak mudanya dibawa bersama. Maka Pemuda akan memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada SERI untuk meneliti permasalahan sosial ini. Transformasi kerajaan dah cantik, transformasi ekonomi dah cantik, transformasi politik pun dah cantik. Kita lengkapkan ia dengan transformasi sosial supaya tidak ada seorang pun anak bangsa yang ketinggalan.

Saudara Perwakilan Sekalian, 

81. Kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang memperbetulkan kekurangan lalu, menguruskan keutamaan dan cabaran semasa serta merancang yang terbaik untuk masa depan. Inilah tunjang bagi transformasi sebenar. 

82. Surat Al-Anfal Ayat 53 ada menyebut:

83. Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

84. Nikmat kita hari ini adalah transformasi sebenar yang dilaksana, bukan janji manis palsu yang dijaja. Itulah nikmat dalam realiti sejati. Jangan kerana terikut-ikut emosi, kita pangkah undi semata-mata nak mencuba yang baharu. Kita tolak nikmat yang sekian lama kita kecapi. Kita tak bersyukur dengan nikmat yang diberi. Jangan nanti bila hilang kenikmatan tersebut, menyesal kita di kemudian hari. Yakinlah bahawa transformasi sebenar inilah nikmat sejati, jangan diubah-ubah lagi.

85. Namun, di sebalik kejayaan kita selama ini, saya akui, kami juga tidak sempurna – ada khilaf dan cacat celanya. Kerana itulah lumrah manusia, tidak lari dari salah dan dosa. Dan untuk itu, saya mohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap kami. Namun, apabila rakyat menilai keseluruhan rekod pentadbiran sedia ada, mereka akan menyedari bahawa lebih banyak baik dari buruknya. Janganlah membiarkan satu dua kekurangan mengaburi segala kejayaan yang telah dikecapi.

86. Saya tahu rakyat berada di persimpangan dilema – memilih kami atau pihak di sana. Jika boleh saya berpesan - dalam memilih nanti, nilai sedalamnya dan kaji seluruhnya. Perhati segala. Pilih dengan adil dan bijaksana. Do so on balance. Timbang yang baik, timbang juga buruknya – setelah itu, pilihlah yang terbaik untuk kita dan anak cucu kita.

Saudara Perwakilan Sekalian, 

87. Sudah lebih satu jam saya bercakap tentang pilihan raya dan pilihan yang ada pada kali ini. Yang jelas, pilihan yang terbaik dan terbukti adalah transformasi sebenar yang kita bawa. Transformasi Sebenar oleh Kerajaan Barisan Nasional, oleh Dacing di bendera biru.

88. Maka mesej terakhir saya pada pagi ini adalah tentang persediaan parti. Persediaan kita sebagai UMNO. And I want to be quick and direct. Tiada lagi berkias bersulam seni, hanya mesej pendek dan jelas untuk semua sebelum melangkah ke medan perang.

89. Yang pertama - kita sudah tawarkan diri sebagai kerajaan masa depan melalui TN50. Maka kita juga perlu tawarkan diri sebagai parti masa depan. Kita perlu yakinkan rakyat bahawa UMNO adalah a party of the future, dan bukan lagi parti semalam. Namun, bagaimana nak buktikan UMNO parti masa hadapan? Tunjukkan UMNO yang segar dari segi pemikiran, UMNO yang segar dari segi pendekatan, UMNO yang segar dari segi tawaran kita untuk Melayu Maju seperti dibawa UMNO Johor. Namun bukti yang paling senang dan nyata - segar dari segi rupa bentuk calon yang akan kita bariskan.

90. Keduanya, solidariti kita kepada parti. Kita jangan pandang enteng cabaran yang dibawa parti serpihan yang keluar daripada UMNO. Walaupun kita yakin UMNO lebih kuat, UMNO lebih hebat, kita jangan lupa bahawa parti Bunga ini akan tetap mencedok dari kolam penyokong yang sama. 

91. Jadi kita perlu ada solidariti kepada parti. Jangan langsung ada rekahan apalagi keretakan dalam UMNO. Semakin banyak rekah dan retak kita, semakin banyak penyokong yang akan dicedok oleh mereka. Sebagai contoh mereka yang tidak terpilih menjadi calon. Jika yang tidak terpilih ini tak ada solidariti, mudahlah mereka menjadi sasaran, penyokong-penyokong mereka akan dicedok parti lawan. Isu ini mungkin kelihatan kecil tetapi bibit-bibit keretakan inilah yang akan meruntuhkan UMNO dari dalam.

92. Maka sayangilah UMNO lebih dari kita sayang diri sendiri. Jangan sekali gadaikan solidariti kepada parti. UMNO inilah yang telah membawa kita di mana kita berdiri hari ini. Jangan kerana pentingkan diri, kita dengan mudah berpaling ke pihak lawan. Tak jadi calon pun tak apalah, asal parti kita menang. Jangan gadaikan maruah dan harga diri, jangan pentingkan agenda peribadi, sampai UMNO rebah tak mampu berdiri. 

93. Ketiga, solidariti kita sebagai sebuah parti. Saat ini, keutamaan kita adalah pilihan raya, dan bukan pemilihan parti. Yang perlu kita fikirkan sekarang adalah tentang strategi pilihan raya, pasal taktik nak tambah kerusi, cara nak menangi hati pengundi. Jangan kita pening memikir pasal pemilihan parti, fikir pasal pemimpin mana yang nak diundi nanti.

94. Biar kita ke medan perang dengan hati yang tenang, dengan fikiran yang lapang. Jangan terbeban dengan persoalan siapakah yang perlu diundi nanti. Jadi, we settle the big question today, tak perlu lagi dibelenggu persoalan ini. Maka dengan itu, di pentas ini Pemuda nak cadangkan - bila menang pilihan raya nanti inshaAllah, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tak perlu dipertandingkan, dan kita beri sokongan sebulat hati kepada Dato Sri Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk terus kemudi parti. Buang sarat persoalan itu jauh-jauh, sekarang kita fokus bagi BN menang besar

Sidang perwakilan sekalian,

95. UMNO sebagai sebuah gerakan siasah Melayu, bukan sahaja memayungi sebagai khemah besar buat semua orang Melayu, tetapi juga parti yang menjadi nadi dan teras muafakatnya seluruh rakyat Malaysia, di bawah Barisan Nasional. Itulah keramatnya UMNO. Wadah orang Melayu yang bukan sahaja menjaga bangsanya tapi juga bangsa lain. Parti yang mencerminkan sifat terpuji orang Melayu sebagai bangsa pemimpin. Parti yang tak mampu dipisah dari denyut nadi sejarah negara dan tak rela api perjuangannya terpadam jua - bukan sahaja orang Melayu dan agama Islam tetapi roh negara majmuk ini sendiri. Parti yang menjadi tunjang tertubuhnya Perikatan hingga membawa kemerdekaan ke hari ini.

96. Namun, parti UMNO kini berdepan dengan orang Melayu yang berada di persimpangan jalan – antara mantap dengan perpaduan atau ranap dengan perpecahan. Hari ini, bangsa kita berpecah belah dek pilihan politik yang tumbuh melata, orang Melayu bercakaran hingga tidak lagi sehaluan. Apakah bangsa kita sanggup menjadi umpama buih di lautan, nampak banyak kelihatan tapi sekali ditepuk pecah bertebaran. Apakah kita rela negara dituba, oleh kelompok yang hanya mengejar kuasa? Insaflah, pilihan raya kali ini bukan hanya penting bagi masa depan Malaysia, tetapi juga masa depan bangsa.

97. Kepada bangsaku izinkan saya berpesan, bermuafakatlah. Bak titah amanat Tuanku Sultan Johor minggu lalu – muafakat, tanpa kompromi. Jangan kita terlena dibuai mimpi, jangan kita terpedaya dengan bait halus penjaja janji, kelak bangsa tersungkur di kemudian hari, dengan sesal yang tak berguna lagi. Sanggupkah kita menghadap bangsa yang tertiarap di tanah sendiri, mewariskan parti UMNO sekadar di nota kaki? Sekali Melayu kehilangan kuasa kerana berbalah dan bersengketa, musnahlah harapan dan masa depan bangsa. Sekali kuasa Melayu berpecah di peti undi, ia tak mungkin bercantum kembali. Jika terlepas apa di tangan, apalah yang dapat digenggam lagi.

98. Maka, pergunakanlah segala daya dan upaya bagi mengembalikan sokongan politik orang Melayu untuk mengundi UMNO sebagai parti utama, seterusnya memayungi umat Melayu dan rakyat Malaysia sepanjang masa. Berpadulah tenaga bersama rakan-rakan komponen kita di bawah panji Barisan Nasional bagi membawa rakyat Malaysia terus maju dan makmur, rukun damai, hidup bersama ke gerbang sentosa.

99. Oleh itu, saudaraku semua, bangkitlah kita berjuang demi agama, bangsa dan nusa. Inilah ikrar kita, inilah sumpah setia Pemuda. Kita mara siap siaga, berpadu tenaga, bersatu hati ke medan pilihan raya di bawah teraju Panglima kita, Dato’ Sri Najib Tun Razak. Sekarang ini kita mara, undur bukan pilihan. Sekarang ini kita lawan, gentar sesekali jangan. Sekarang ini kita gempur, berjuang habis-habisan.

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum wbt. 

No comments:

Post a Comment