Pages

Wednesday, December 6, 2017

7 LEMBAYUNG ARJANA BANGSA PEMBUKA SEMBOYAN PERANG PRU14 @ZahidHamidi #KN




Bismillahirrahmannirrahim.

1. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam, Tuhan Yang Maha Esa. Salam dan selawat ke atas Rasulullah SAW, Ahli Keluarga, dan para sahabatnya, serta para tabiin yang telah mendahului kita.

“Sesungguhnya Allah SWT menciptakan apa yang dirancang, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya”. (Surah Al Qasas ayat 68)

Sidang perwakilan sekalian.

Sesungguhnya, saya lontarkan mafhum terjemahan ayat tersebut sebagai pembuka bicara, kerana kita semua dalam Dewan Merdeka ini, adalah insan terpilih, pemimpin masyarakat akar umbi. Kitalah umara’ penyambung perjuangan menyebarkan “Risalah Nubuwwah”.

Kita seharusnya menjadi pemimpin “Qudwah Hasanah”, role model yang boleh memberi teladan terbaik kepada masyarakat.

Malam ini, saya berdiri di hadapan bangsa untuk mencanai minda dalam kalangan sidang perwakilan dari Bahagian Padang Besar, Perlis hingga ke Bahagian Kudat di Sabah. Kita berhimpun di rumah agam ini, dari 191 bahagian seluruh negara, membawa niat dan hajat, mendengar debat dan amanat, demi kelangsungan umat sejagat. Persidangan ini adalah himpunan suara bangsa, menyatukan minda dan idea, merentasi kepelbagaian etnik dan budaya.

Inilah satu keindahan dan keunikan. Bagai, bila tabuh dipalu, tiupan nafiri dimainkan, yang capik datang bertongkat, yang buta teraba-raba, yang tuli leka bertanya, yang jarak tolak-tolakan, yang rendah bertinjau-tinjau, yang dara duduk bersimpuh, yang teruna duduk bersila. Semuanya atas satu agenda untuk menyambung wasilah perjuangan bangsa. Inilah Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017. Inilah perhimpunan kita!

Sidang perwakilan sekalian.

Saya tidak mahu lagi berbicara tentang 7 cabaran politik yang diutarakan dalam persidangan tahun lalu. Malam ini, saya akan bentangkan 7 manifesto bangsa yang akan menjadi satu gagasan besar. Ia juga bekalan pemikiran dan asas tindakan kita dalam menghadapi PRU ke-14.

Inilah Inilah manifesto sebelum manifesto. Inilah manifestasi akujanji kita kepada rakyat. Saya percaya 7 manifesto ini yang merangkumi 7 lembayung arjana (kejayaan) bangsa akan menjadi pegangan kita buat selama-lamanya.

Agak-agaknya / kenapalah saya memilih angka 7 ini ? / Sebenarnya / angka tujuh sering diulang dalam Al-Quran.

Allah SWT / menciptakan tujuh petala langit /
tujuh petala bumi /

Dan disempurnakan pada hari ketujuh /
Ada 7 lautan / dan ada 7 benua.
Penciptaan manusia juga / mempunyai tujuh fasa /
Pensyariatan tujuh pusingan tawaf / dan
Tujuh kali ulang-alik bagi sa’ie / dalam ibadah haji dan umrah /
Melontar jamrah juga / dengan tujuh biji batu /
Takbir pertama solat sunat hari raya / juga sebanyak tujuh kali.

Dengan ketentuan Allah SWT / 7 orang presiden / telah memimpin UMNO sejak 7 dekad yang lalu //

Pastinya, Dato’ Sri Najib sebagai Presiden UMNO ketujuh, cabarannya bukan kecil tetapi besar. Cabarannya amat berbeza dengan presiden terdahulu tambahan pula ketika ini adanya ancaman media sosial. Terima kasih aktivis media sosial prokerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu kita. Biro IT UMNO juga tidak kurang hebatnya sentiasa memberi penjelasan isu semasa, dan menangkis tohmahan pembangkang dan membalas serangan.

Pada zamannya juga tercetus suatu revolusi ekonomi dan industri yang dipacu oleh ledakan teknologi digital. Kita kini memasuki Revolusi Industri Keempat, mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi dan berdagang. Ia membabitkan kemunculan teknologi baharu seperti robotik, artificial intelligence (kepintaran buatan), teknologi nano, teknologi quantum, bioteknologi, percetakan 3D dan ‘autonomous vehicles’ atau kenderaan serba canggih.

Selain itu, semua peranti elektronik sama ada di rumah atau dalam industri telah dilengkapi dengan perisian dan alat pengesan perubahan (sensor) yang membolehkan peranti berkongsi dan bertukar maklumat di antara satu sama lain. Ini terkandung dalam Internet of Things atau IoT.

Ia pasti memberi kesan kepada geopolitik, ekonomi, keselamatan, sosial dan pendidikan negara.

Hanya sebuah parti politik yang dinamik dan progresif mampu menghadapi gelombang baharu ini. Dasar tidak pernah berubah yang berubah hanyalah pendekatan. Alhamdulillah, Dato’ Sri Presiden yang berlatarbelakang pendidikan ekonomi mampu membawa kita mengharungi Revolusi Industri Keempat ini. Kita semua ahli UMNO memberikan dokongan penuh kepada panglima kita.

Sidang perwakilan sekalian.

Gerbang PRU 14 kian kita hampiri. Dari hitungan ‘eddah’ politik, tempoh tamat penggal ini akan berakhir pada Jun 2018. Tidak boleh lari dari jeda masa itu, kita akan turun ke gelanggang sederap serentak. Datanglah Januari, datanglah Mac, atau bulan apa pun, kita akan hadapinya. Yang penting, kita harus memiliki “winning mentality” atau mentaliti untuk menang. Ia bukan sekadar konsep, bukan sekadar falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan.

Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun! Obor perjuangan yang kita bawa bersama persis kisah Tariq Ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan akan kita terjemahkan. Namun, berpaling tidak sama sekali!

UMNO tidak boleh KALAH! BN tidak boleh TEWAS! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional.

LEMBAYUNG KESEJAGATAN POLITIK

Sidang perwakilan sekalian.

UMNO adalah sebuah parti politik / yang masih bertahan dan relevan / sehingga hari ini // Berbanding parti politik lain / UMNO adalah sebuah parti politik / parti keramat / paling unggul //

Di peringkat serantau dan global / UMNO adalah parti politik yang masih kekal memerintah / tidak pernah tewas dalam pilihan raya / sejak tahun 1955 // Kita bukan riak / jauh sekali mahu bersikap takabbur // Ini adalah fakta / yang sama sekali tidak boleh disangkal // Mudah-mudahan / Allah akan memberikan kemenangan / pada pilihan raya yang akan datang //

Apakah formula UMNO hingga mampu kekal unggul ? // Kita mengamalkan kesejagatan politik sejak dahulu lagi sehingga hari ini. Yang terbaharu, Dato’ Sri Presiden dan kita semua sama-sama turun ke Pulau Pinang untuk membantu mangsa banjir. Bagi kita, jaminan keselamatan rakyat merupakan suatu keutamaan.

Saya buta warna dalam 3 perkara // Pertama / soal kemanusiaan // Kedua / dalam isu pendidikan / manakala yang ketiga / ialah soal keselamatan // Ingat / Ketika rakyat ditimpa banjir / kita mengetepikan sebarang perbedaan //

Saat saya dihubungi pada jam 30 pagi / untuk membantu mangsa banjir / saya ketepikan perbezaan politik / saya ketepikan segalanya // Bak kata pepatah / “ayam berinduk, sirih berjunjung” //

Sesungguhnya / UMNO tidak mengamalkan agenda sempit // Kita tidak hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata // UMNO mengamalkan politik keterangkuman // UMNO adalah wadah perjuangan / seluruh rakyat dari berbilang kaum // UMNO / adalah tunjang kekuatan / kepada Barisan Nasional // Kita sanggup berkongsi kuasa / bersama rakan komponen / bukan sahaja di Semenanjung / tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak //

Inilah kesatuan politik matang dan dinamik / yang UMNO amalkan dalam membina bangsa. UMNO sentiasa berjiwa besar dan mewarisi formula kesejagatan politik. Natijahnya, prinsip Rukun Negara yang kita tatang selama ini merupakan kunci kedinamikan politik UMNO.

Sidang perwakilan sekalian.

Politik keterlibatan adalah prinsip yang menjalinkan setiap perbezaan. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu isu atau ancaman, ia wajar ditangani bersama. Sehari selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu kita mempraktikkan pendekatan tabayyun dan ta’awwun. Kita bersama pimpinan PAS dan NGO Islam menyatakan kepedulian kita terhadap pembersihan etnik warga Rohingya.

UMNO dan BN mengamalkan politik ketertiban, mendokong dan menghormati proses demokrasi. Budaya anarkis yang dipelopori oleh sebahagian parti politik di Malaysia hanya menunjukkan kedangkalan dan sifat gelojoh.

Politik ketertiban bermula dengan pemilihan pemimpin itu sendiri yang mempunyai wisdom atau kebijaksanaan. Untuk itu, dalam memilih calon, UMNO memilih yang terbaik. Dalam penentuan calon-calon untuk PRU ke-14 piawaian berwibawa, dinamik dan kematangan diutamakan. Ia merangkumi aspek ‘winnable’, ‘likeable’, ‘capable’, ‘trustable’ dan ‘intelligent’.

Seseorang pemimpin itu mesti memiliki sifat “Taqarrub Illallah”, dengan mendidik dan melatih diri agar sentiasa menghambakan jiwa raga kepada Allah SWT. Oleh kerana itulah Islam menganjurkan agar pemuda dan pemudinya terdidik dengan “Jiwa Hamba” terhadap Allah SWT dan menjadi seorang Rabbani! Sifat-sifat “Ubudiyyah”, ketaatan dan kepatuhan kepadaNya yang mampu menjadi kompas kehidupan ke jalan kebenaran.

Saya akui aura kepimpinan paling sukar ditemui ialah ‘likeable’ kerana apabila seseorang itu terpilih menjadi calon, pasti akan ada yang cemburu padanya. Oleh kerana itulah, kita memerlukan pemimpin bercirikan “Qudwah Hasanah” mampu memimpin dengan contoh dan teladan terbaik.

Jauhilah sikap buruk seperti mencari “Personal Glory”. Kita berjuang demi parti dan agenda arjana bangsa. Kita perlu melangkah sebagai suatu pasukan yang mantap. Sepertimana analogi permainan sepak takraw, ada menjadi tekong, ada jadi tukang lambung (feeder) dan ada tukang libas!

Saya mengajak seluruh kepimpinan pergerakan sayap dalam UMNO agar akur dengan keputusan Dato’ Sri Presiden dalam menentukan siapa sahaja calon yang akan dipilih nanti. Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Dato’ Sri Presiden parti. Kita perlu menghayati konsep “jiwa jama’ie”. Belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan.

Sidang perwakilan sekalian.

UMNO adalah sebuah parti politik yang lengkap dan berstruktur serta akur mengikut setiap peraturan dan perundangan. Parti kita sendiri pun pernah diharamkan dan kita akur dengan kehendak perundangan.

Bukan seperti parti lain yang tidak mengendahkan peraturan dan undang-undang. Ada parti pembangkang yang tidak mahu mematuhi peruntukan yang digariskan oleh peraturan dan undang-undang. Tanpa ada mesyuarat cawangan, tiba-tiba ada mesyuarat di peringkat tinggi. Perlembagaan parti juga tidak diikuti. Mereka panggil sayap tertentu ikut sesuka hati. Pentadbiran mereka mementingkan diri sendiri.

Ada Presiden tidak bersuara, seolah-olah tiada kuasa. Pengerusi pula bermaharajalela. Membuat keputusan seenaknya.

Belum lagi cerita mereka berebut kerusi pilihan raya. Lebih teruk; mereka ada 6 ketua dalam sebuah bahtera. Bayangkan apabila kapal itu mula berlayar, 6 nakhoda ini memberi arahan yang berbeza. Agak-agaknyalah ke manakah bahtera itu hendak menghala? Jawabnya ia berpusing-pusing di tempat yang sama. ‘Cruise to no where’. Alahai! Pi Mai Pi Mai Duk Tang Tu Jugak.

Sidang perwakilan sekalian.

Bangsa kita kini semakin berpecah. Mulanya berpecah dua kemudian tiga sekarang berpecah enam. Di dewan inilah, bekas pemimpin kita pernah mengajak kita bersatu. Kini, menjadi ‘tok pawang politik’ yang mahu menghancurkan UMNO. Mereka ini bersekongkol dengan musuh politik kita. Mereka inilah yang mengamalkan ‘politik simpang-peranang’. Ingatlah “jangan sampai barang digenggam jatuh terlepas”.

Insya-Allah kita kuat; kita bukan lemah masalahnya kita berpecah.

Bukan Lemah, Tapi Berpecah

Kita bukan lemah usaha

Tapi berpecah kata

Bila sudah berpecah kata

Setiap bicara jadi sengketa


Kita bukan lemah tenaga

Tapi berpecah raga

Bila sudah berpecah raga

Setiap langkah ada curiga


Kita bukan lemah idea

Tapi berpecah rasa

Bila sudah berpecah rasa

Arah tujuan luluh binasa


LEMBAYUNG EKONOMI MAQASID SYARIAH

Sidang perwakilan sekalian.

Saya amat teruja dengan keprihatinan Dato’ Sri Presiden semasa membentangkan Bajet 2018, di mana seluruh segmen masyarakat diambil kira. Dari sektor awam hingga sektor korporat, dari penoreh getah hinggalah nelayan, dari gen X hingga ke gen Z, dan dari desa hingga ke kota.

Hebatnya bajet 2018, ia menterangkumkan pelbagai usul yang pernah diutarakan oleh saudara-saudari serta para perwakilan yang bersidang di mesyuarat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun.

Hasil usaha berterusan barisan kepimpinan yang ada ini KDNK negara pada suku ketiga tahun 2017 mencapai kadar 6.2% yang tertinggi sejak tahun 2014. Ia merupakan manifestasi dasar yang terangkum dilaksanakan oleh Dato’ Sri Presiden sejak tahun 2009. Inilah kejayaan pendekatan “Najibnomics”. Pendekatan yang mengutamakan rakyat walaupun terpaksa mengorbankan perbatuan politik (political mileage). Malangnya, semua tindakan ini dipandang sepi dan pesimis oleh orang yang menanamkan kebencian kepada kerajaan. Nyatalah kebenaran itu amat sukar dan lambat dipersetujui. Ia lebih sukar diyakini apabila dibuai berita-berita palsu atau fake news.

Hakikatnya negara sedang berkembang maju. Pertumbuhan ekonomi pada era 80 an dan 90 an berbeza dengan zaman kini. Pertumbuhan ekonomi dahulu telah membuka peluang pekerjaan sebaliknya pertumbuhan ekonomi dalam era ini tidak semestinya menyediakan peluang pekerjaan. Inilah masalah yang tersorok dalam kotak ekonomi negara.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan tahunan ekonomi dunia bagi tahun 2017 sekitar 3.5 peratus. Pertumbuhan ekonomi negara-negara maju pula terutama anggota OECD (Organisation for Economic Cooperation and Development) diunjurkan pada sekitar 2.0 peratus sahaja. Namun, alhamdulillah Malaysia berjaya melepasi unjuran IMF. Negara kita dikategorikan sebagai ‘emerging economies’ atau negara pasaran membangun kerana purata pertumbuhan 4.5 peratus.

Di sebalik pencapaian ini kerajaan sedar ketidaktentuan ekonomi dunia turut memberi kesan kepada negara. Pelbagai faktor kenaikan dalam input ekonomi sudah pasti ‘kuasa beli’ pengguna semakin berkurangan. Tambahan pula berlakunya kenaikan kos pengangkutan, makanan dan perumahan. Inilah beban sebenar yang dirasai oleh rakyat. Untuk itu, kerajaan memahami dan terus berusaha menyerap bebanan kenaikan kos sara hidup menerusi pelbagai pendekatan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Kejayaan projek berimpak tinggi seperti MRT atau Mass Rapid Transit sudah menampakkan kesan kepada penambahbaikan mutu pengangkutan awam. Kesalinghubungan atau “connectivity” infrastruktur rakyat kini menjadi lebih baik dan merangsang ekonomi tempatan serta memberi peningkatan ketara dalam kehidupan rakyat. Kajian menunjukkan jika sesebuah negara dapat menyediakan sistem pengangkutan yang lebih baik dan efisien, insya-Allah ia dapat meningkatkan KDNK sekitar 2%. Inilah yang disebut sebagai “game changer” atau pembawa perubahan kepada negara.

Sidang perwakilan sekalian.

Ekonomi Digital merupakan kuasa baharu dalam penjanaan ekonomi dunia melalui e-Dagang. Kita mesti menerajui dunia digital ini bukan sekadar sebagai penonton dan pengikut tetapi kita juga harus menjadi pemain dan pemacu utama.

Keprihatinan Dato’ Sri Presiden mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) merupakan satu manifestasi komitmen tahap tinggi kerajaan menyediakan peluang perniagaan atas talian. Inilah konsep dunia perdagangan baharu dan menjangkaui masa depan. Rakyat di seluruh negara, usahawan Melayu dan mereka yang didalam dewan ini perlu merebut segala ruang dan peluang dunia perniagaan baru ini.

Statistik menunjukkan sektor digital ekonomi tempatan semakin berkembang di mana lebih 30,000 peniaga digital telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Walaupun jumlahnya masih kecil tetapi sambutan belian atas talian rakyat tempatan amat menggalakkan. Apabila syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba mengadakan jualan khas pada 11 November lalu, ia mencatatkan jualan sejumlah 123 juta dolar Amerika (bersamaan RM515 juta). 70 peratus pesanan adalah melalui telefon pintar. Di peringkat dunia, Alibaba menjana 25.3 bilion dolar Amerika sepanjang 24 jam 11 November iaitu sekitar RM105.9 bilion. 90 peratus jualan berlaku pada peranti mudah-alih. Inilah bentuk perniagaan yang wajar kita kuasai. Inilah juga salah satu penyelesaian kepada permasalahan tempat yang menawarkan peluang kepelbagaian cara e-dagang.

iii. LEMBAYUNG PENGANGKASAAN PENDIDIKAN

Sidang perwakilan sekalian.

Dalam menghadapi kebangkitan era ekonomi digital, kita perlu menyediakan sistem pendidikan negara yang selari dengannya. Perubahan dekad memaksa kita menuntut perubahan sistem pendidikan konvensional kepada ‘Pendidikan Digital’. Persekolahan Digital (Digital Schooling) merupakan suatu inisiatif baharu. Kita akan mendedahkan warga masa depan untuk memperolehi ilmu yang sesuai pada zamannya. Daripada pelajar tempatan (local student) menjadi pelajar global (global student).

Perisian interaktif digital (interactive digital gaming) akan menjadi medium pembelajaran menarik dalam pendidikan moden. Ia juga menjadi medium pembelajaran bestari. Modul baharu inilah yang sedang kita tawarkan kepada generasi Y dan Z.

Melalui perkembangan teknologi juga, ia memudahkan proses pendidikan jarak jauh. Kita juga harus memperhebatkan konsep ‘lifelong learning’ kepada mereka agar dapat menambahbaikkan kelayakan serta pengalaman untuk membantu kenaikan pangkat dan gaji.

Kerajaan juga memberi lebih keutamaan kepada Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal Serta Vokasional (TVET), agar matlamat ini tercapai. Industri bakat ini perlu diarus perdanakan bukan sekadar pada bilangan jumlah graduannya tetapi juga diukur pada sumbangan idea dan ciptaan kreatif yang mampu menerokai pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu, amatlah wajar Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Majlis Penasihat Pendidikan Nasional memperhalusi pendidikan dan persekolahan digital itu, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pendidikan bagi pemerkasaan dan kesinambungan Dasar Pendidikan Negara. Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah percambahan minda kreatif dan lateral anak-anak. Dengan tidak menjadikan mereka ini sebagai tikus ujikaji. Kita harus meraikan kecenderungan kepelbagaian ini dan bakat semulajadi yang ada pada mereka.


Kalau hendak membeli parang,

Molek dinilai pada hulunya,

Kalau hendak memilih orang,

Molek dinilai pada ilmunya.


LEMBAYUNG KESELAMATAN NEGARA

Sidang perwakilan sekalian.

Keganasan rentas sempadan yang sudah menjadi ancaman global tidak seharusnya diambil mudah. Kita berhadapan dengan golongan radikal agama, DAESH, ISIS, militan, keldai dadah, penipuan pelaburan, perjudian atas talian, pemerdagangan manusia dan beberapa ancaman lain. Kerajaan bertanggungjawab memastikan 9 nilai teras melalui 20 strategi utama sebagaimana termaktub dalam (Dasar Keselamatan Negara) dilaksanakan demi menjamin keselamatan negara ini. Ia bukan berbentuk fizikal malahan dari aspek pemikiran.

Kita harus menginsafi bahawa keselamatan negara dan ketenteraman awam merupakan kunci teras kepada kemantapan politik serta keharmonian seluruh masyarakat di negara ini. Jaminan keselamatan politik pula adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Tanpa keselamatan tiadalah kestabilan tanpa kestabilan politik punahlah kemakmuran dan kemampanan ekonomi.

Alhamdulillah hasil kerja kuat Kementerian Dalam Negeri, Malaysia telah dinaikkan ke Tahap 2 dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang oleh kerajaan Amerika Syarikat – US T.I.P (Trafficking In Person Report) tahun 2017. Kita bukan mahu mengkiblatkan kepada mana-mana negara. Laporan ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat melibatkan penilaian terhadap 187 negara berhubung usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang.

Dalam pada itu, keselamatan di Sabah dan Sarawak tidak diabaikan. Penubuhan ESSCOM dan cadangan pembinaan tembok sempadan berteknologi terkini memaparkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan negara. Sebanyak RM250 juta sebagai peruntukkan awalan untuk menambaik aset ESSCOM. Siapa kata kita tak ambil peduli rakyat Sabah dan Sarawak? Kita juga menyediakan teknologi tercanggih di setiap pintu masuk melalui penaikan taraf ICQ.

Maka untuk dekad baharu ini, Kementerian Dalam Negeri mengharapkan masyarakat bersama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan. Kita harus menjana agenda ‘memasyarakatkan polis, mempoliskan masyarakat’ supaya matlamat sifar jenayah dapat dicapai.

LEMBAYUNG ANTARABANGSA

Sidang perwakilan sekalian.

Bangsa Melayu hari ini bukan dilahirkan sebagai pewaris jiwa hamba. Kita bangsa merdeka! Legasi kemerdekaan ini yang diamanahkan kepada kita tidak boleh dipersenda atau digadaikan. Hanya kerana ada dalam kalangan di luar sana yang kemaruk kuasa janganlah sampai menggadai Maruah Bangsa!

Kita perlu menginsafi untuk mencapai kejayaan bukan sesuatu yang mudah. Untuk mengekalkan kejayaan yang dimiliki itu jauh lebih sukar! Kita sudah memasuki tujuh dekad kejayaan. Meskipun UMNO dilambung ombak cabaran kita masih mampu mengekalkan kejayaan itu. Kita kekal sebagai parti pemerintah terulung di dunia.

Bahtera UMNO ini masih dalam pelayaran jauh membawa bangsanya berpaksikan kepada kesalingan “wehdatul fikr” (penyatuan pemikiran) antara nakhoda dan anak kapalnya. Pelayaran bangsa ini menyaksikan Tujuh Nakhoda berjaya mengharungi ombak cabaran. Penghayatan perjuangan ikhlas dan murni ini berteraskan kepada hala tuju dan jil perjuangan yang tidak lari atau berganjak dari landasan.

Dalam sistem hegemoni baharu dunia yang berteraskan ‘market space’ bukan lagi ‘market place’, Malaysia perlu menjadi peneraju kepada penyelesaian permasalahan dunia seperti krisis kemanusiaan mahu pun konflik antarabangsa. Malaysia telah berada di garisan hadapan. Bukan hanya sekadar menjadi jaguh kampung mahu pun pengikut pinggiran sistem dunia.

Kita tidak mahu menjadi bangsa terpinggir. Lihatlah apa yang berlaku kepada Warisan Empayar Arakan yang kini dilihat penuh kehinaan bergelar warga Rohingya. Hati dan jiwa saya amat tersentuh di saat saya membelai anak-anak pelarian Rohingya di Kem Pelarian Kutupalong di Cox’s Bazaar, Bangladesh. Mereka menjadi golongan terpinggir di bumi asing.

Pendirian Malaysia amat konsisten dan tegas dalam krisis kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar. Suara masyarakat Rohingya diangkat di Persidangan UNGA ke-72 di New York oleh Dato’ Seri Anifah Aman. Tidak cukup dengan itu Dato’ Sri Presiden membincangkan isu pembersihan etnik ini ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Malaysia juga berani mengasing diri (disassociate) dari kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai Rohingya kerana ianya memberi gambaran salah mengenai situasi sebenar. Desakan demi desakan ini menyebabkan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi akur menerima penempatan semula warga Rohingya di negeri Rakhine dengan pemantauan badan antarabangsa (international monitoring team).

Langkah Malaysia ini amat bertepatan lantaran University Oxford telah melucutkan anugerah ‘Freedom of Oxford’, London School of Economics juga telah menarik balik semula penghormatan Kesatuan Pelajar Kehormat Presiden (Honourary Students’ Union Presidency).

Barang dijauhkan Allah SWT, nauzubillah andai ini terjadi kepada kita, andai UMNO dikhianati dan tewas dalam pertempuran air mata tidak lagi bererti. Tiada apa yang dapat ditangisi.

Sidang perwakilan sekalian.

Lihatlah juga apa yang berlaku di Catalonia yang mahu berpisah dengan Sepanyol tetapi tidak direstui oleh pemimpin di Madrid dan raja mereka. Raja Sepanyol menyifatkan pemimpin-pemimpin pemisah Catalan sebagai perosak prinsip demokrasi dan memecahbelahkan rakyat Catalan.

Tindakan segelintir pihak di negara ini yang menghasut rakyat dengan slogan “Sabah Untuk Sabah” dan “Sarawak Untuk Sarawak” cukup bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ‘bermain api’ yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara harus kita tentang. Bak kata orang tua-tua “bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang“. Janganlah sampai kita menanggung derita akibat permainan dan hasutan campurtangan asing kelak.

Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua bahawa ini kesalahan yang amat serius dan mereka boleh dihukum dengan hukuman yang berat. Tiada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang. Perkara ini tidak harus dibenarkan berlaku.

Tindakan subversif ini berlaku apabila adanya pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik bankrap idea dan muflis jiwa. Kerana asakkan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur.

Dalam pada itu kesan percaturan politik yang menafikan kesejagatan bangsa mengakibatkan kedaulatan kita ke atas Pulau Batu Putih atau Pedra Branca terkubur. Sewajarnyalah kita memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan penghakiman ICJ (International Court of Justice).

Saya amat berbangga dengan tindakan pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO yang berani menyanggah kenyataan seorang pemimpin negara jiran. Inilah maruah kita! Inilah kedaulatan kita! Inilah tanah tumpah darah kita! Kita tidak akan pernah mengizinkan seinci pun tanah kita ini tergadai! Kita tidak rela berputih mata! Syabas Pergerakan Pemuda! Sebelum ajal berpantang maut.

LEMBAYUNG RAJA-RAJA MELAYU


Burung nuri terbang ke lembah,

Hinggap megah di tengah kota,

Rakyat Malaysia merafak sembah,

Daulat Tuanku Payung Mahkota.


Sidang perwakilan sekalian.

Buku “Sulalatus Salatin” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ada menyebut bangsa Melayu berasal dari pergunungan Bukit Seguntang kerana mengambil sempena nama sebuah sungai di situ bernama Sungai Melayu.

Terbinanya martabat dan kegemilangan bangsa Melayu adalah hasil dari waad perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Sang Seperba atau Sri Tri Buana disaksikan oleh Wan Empok Wan Malini.

Dalam waad tersebut ia menyatakan setiap anak keturunan Melayu wajib taat dan setia kepada pemimpinnya yang ketika itu adalah Sri Tri Buana. Memang ada kebenarannya ia juga ditujukan kepada Raja Raja Melayu tetapi hakikat sebenarnya adalah pemimpin Melayu.

“Setiap anak Melayu hendaklah setia kepada Rajanya dan jika ia derhaka maka hukumnya adalah bunuh. Namun begitu raja pula tidak boleh memalukan rakyatnya. Andai perjanjian tersebut diengkari maka akan diterbalikkan oleh ‘Yang Maha Esa’ bumbung rumah ke tanah dan tiangnya ke atas”.

Sebenarnya inilah rahsia yang tersembunyi hingga membolehkan kita muncul sebagai bangsa yang bermartabat hingga mampu membina kejayaan sebuah Empayar Melayu Islam Champa dan Kerajaan Melayu Islam Melaka yang penuh gilang gemilang suatu ketika dahulu.

Tetapi apabila Si Kitol dan Bendahara Mandaliar mula berbuat onar dan berkhianat pada bangsanya akhirnya hancurlah empayar kegemilangan Melayu Melaka. Hari ini, gambaran Si Kitol dan Bendahara Mandaliar sudah terjelma. Di saat kita memacu lembayung arjana bangsa individu inilah yang pernah memimpin kita sekarang ini pula mahu menghancurkan UMNO. Malahan Institusi Raja Raja Melayu turut dipersendakan.

Tahun lalu saya pernah mengingatkan supaya jangan lupa kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Peganglah dan jadikanlah amanat ini sebagai wasilah perjuangan kita.

vii. AGAMA LEMBAYUNG PERADABAN

Sidang perwakilan sekalian.

Sesungguhnya yakinlah bahawa agama itu adalah pengikat kepada manifesto bangsa ini. Kecerdasan emosi (EQ) kecerdasan spiritual (SQ) dan (kecerdasan intelektual) IQ perlu disatukan seiring supaya ia menjadi suatu garapan bersama. Perhubungan kita dengan Allah SWT menjadikan kita sebagai khalifah demi kesejahteraan ummah. Demi ‘hablum minannas’ (hubungan sesama manusia) menjadikan keberadaan kita sebagai makna yang terhakikat.

Bangsa yang meletakkan agama sebagai asas peradaban akan kekal bermaruah. Selagi mereka mempertahankan agama, selagi itulah peradaban itu terjunjung dan terunggul. Hanya peradaban sebagai suatu diagnosis formula kepada setiap kebejatan (kerosakan) ummah. Persoalan ketamadunan dapat dirungkai sejak agama Islam dibawa oleh Rasulullah SAW. Sekiranya agama itu dilindungi maka peradaban akan terus kekal terpelihara. Agama sesungguhnya adalah teras peradaban.

Penawar kepada kebejatan sosial yang melanda umat Islam hari ini harus diambil dari sudut pendekatan agama. Malah, proses deradikalisasi telah terbukti berkesan menggunakan kaedah spiritualiti. Ini yang dilaksanakan oleh KDN dan kejayaannya sudah mencapai lebih 97.5 peratus.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 secara harfiah dan jelas meletakkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Bagaimanapun agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan. Inilah nilai peradaban kita. Inilah perkara asas yang mesti dihayati dan difahami oleh rakyat Malaysia. Sunnatullah telah menentukan negara ini terdiri daripada berbilang kaum. Wajarlah perkara ini menjadi tunjang kepada manifesto bangsa.

KPI GERAK KERJA SAYAP-SAYAP

Sidang perwakilan sekalian.

Dalam misi kita mencapai kemenangan besar atau simboliknya 2314 (mensasarkan dua pertiga majoriti dalam PRU 14) saya ingin mengingatkan pentingnya gerak kerja di semua 3 sayap bagi melaksanakan pertanggungjawaban ini secara holistik.

UMNO mempunyai penyokong tegar sejak dahulu hingga sekarang. Sila pastikan 100% undi ahli UMNO tetap memihak kepada BN. Kita tidak mahu ada yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat (wait and see) sehingga ke saat akhir. Pastikan undi mereka masuk ke kantung BN! Begitu juga ahli-ahli parti dalam komponen BN. Pastikan mereka meletakkan kertas undi memilih BN sepanjang masa.

Duhai Kak Ijat (Mak Tok) yang cantik bergaya dan tampak anggun setiap masa pastikanlah sasaran ini dapat di perolehi. Buktikanlah bahawa tangan yang menghayun buaian itu mampu menggegar dan mengaut seberapa banyak undi kepada parti! Serlahkan semua potensi agar sayap wanita digeruni dan ditakuti lawan. Kita mampu menterjemahkan perasaan kasih sayang penuh berempati, memenuhkan peti-peti undi! Saya menyeru, peganglah seerat mungkin tali ukhuwah dan sumpah setia kita dalam menghadapi musuh bangsa.

Tahniah! kepada Pergerakan Wanita UMNO kerana sentiasa taat dan tidak pernah derhaka tidak goyah mengikat kesetiaan kepada Dato’ Sri Presiden. Naluri wanita adalah naluri keibuan. Tidak mungkin seorang ibu meninggalkan keluarganya ketika susah. Tidak mungkin seorang ibu membiarkan keluarganya berpecah kerana fitnah. Inilah ikrar Wanita tahun lalu.

Pergerakan Wanita UMNO sangat berjiwa besar. Sekali pun pembangkang terlalu dominan menggunakan pendekatan “hightech” namun UMNO tetap mengamalkan pendekatan “hightouch”.

Apa yang dimaksudkan pendekatan ‘hightouch’? Ia lebih mudah difahami sebagai kaedah “person to person” atau bersemuka. Ibu terbaik bangsa iaitu Pergerakan Wanita teruslah turun ke akar umbi untuk bertemu rakyat. Bukan sekadar ketuk pintu rumah, malah ketuk pintu hati dan minda rakyat untuk memilih kita.

Saya lihat pendekatan ‘hightouch’ inilah yang menjadi strategi tradisi UMNO. Dahulu jentera wanita dikenali sebagai K10 tetapi sekarang mereka dipanggil sebagai Jalinan Rakyat. Saya amat berbangga Wanita UMNO telah berjaya melancarkan JR Plus yang bekerjasama dengan Pemuda dan Puteri serta parti komponen Barisan Nasional.

Buat anakanda KJ “Mr Tall, Dark & Handsome” bantulah Ibu Terbaik Bangsa. Hulurkan tangan dan kudratmu yang penuh berurat itu membantu ibu memutihkan yang kelabu! Mengesan yang tidak dapat dikesan dan mencari yang belum dibanci! Jadilah perisai di barisan hadapan dengan Briged Gempurmu. Jadikanlah pasukanmu sebagai benteng yang kukuh dan kebal, yang tidak mampu ditembusi oleh pasukan musuh!

Pemuda harus mantap gagah dalam siapsiaga sebagai wira bangsa biar halilintar datang menyambar, biar gemuruh musuh menggempur namun undur tidak sekali. Sumpah Pemuda tidak akan pulang tanpa membawa kejayaan. Pastikan semangat Pemuda UMNO, jika dibakar tidak hangus dijemur tidak kering direndam tidak basah ditetak tidak putus.

Jejakilah setiap desa dan ceruk rantau. Bersemukalah dengan rakyat sejujurnya agar mereka diperjelaskan dan tidak terus terperangkap oleh percaturan politik tempang pembangkang.

Kepada anakanda Mas yang semakin kemas. Berbaju kurung pink yang semakin ramping.Seperti kata Kak Ijat tahun lalu ‘kurung’ itu maknanya mengurung iman dan maruah. Maka jadikanlah baju kurung ini sebagai pusaka. Ibarat UMNO, pusaka bangsa yang perlu dipertahankan. Kepada puteri srikandi negara, santunilah setiap hati wanita muda, menangilah hati mereka, setia memilih BN yang berjasa.

Puteri Peduli memanglah padu. Ia disusun bukan terburu-buru. Hasilnya saya yakin bertambah jitu. Seiring dengan perjuangan parti, saya ambil maklum Puteri UMNO akan terus melaksanakan kepeduliannya terhadap akar umbi. Saya yakin akar umbi terutamanya dalam kalangan wanita muda. Alhamdulillah, skuad #puteripeduli sudah bertebaran ke kampung-kampung bertemu dengan akar umbi. Ayuh soldadu merah jambu! Mantapkan tentera semut apimu.

Sebagai pemimpin Ibu Terbaik Bangsa saya yakin Kak Ijat mampu membimbing anakanda kita dari Pergerakan Puteri UMNO dengan penuh kasih sayang. Ingatlah pepatah petitih Melayu “Yang tua itu sentiasa memayungi dan menyayangi yang muda sementara yang muda pula harus sentiasa menghormati yang tua”. “Andai tiada yang lama tiadalah yang baharu”. “Yang lama dikelek yang baru dijunjung”.

Dalam kesempatan ini saya berseru kepada seluruh kepimpinan sayap UMNO di seluruh peringkat agar kita terus bersatu untuk waad kepada pemimpin utama kita. Ingatlah Melayu itu amat berseni caranya pegangan hidupnya hingga terjelma ungkapan “yang lorek itu kendi yang merah itu saga yang molek itu budi yang indah itu bahasa”.

JAJAN 3 A!

Sidang perwakilan sekalian.

Jika saudara-saudari bertanya apakah yang perlu dibuat untuk menang besar? Dengarlah wahai semua pemimpin sayap dan ahli parti sekalian inilah masanya yang kita tunggu-tunggu! Resipi kemenangan yang paling ampuh harus kita kongsikan. Bekalan dan jajan untuk saudara-saudari bawa pulang telah disiapkan. Dengarlah baik-baik apa yang hendak saya perkatakan ini JAJAN 3 A!

Ada sesiapa yang boleh meneka apakah JAJAN 3A itu?

A yang pertama ialah: ACTION!

A yang kedua ialah: ACTION!

A yang ketiga: Juga ACTION!

Apabila Dato’ Sri Presiden memberi arahan ACTION! kita terus menggerakkan jentera pilihan raya tanpa sebarang alasan.

Dalam PRU ke 14 ini kita meletakkan matlamat besar. Kita bukan hanya ingin menang bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah melalui Sistem First-Past-The-Post sebaliknya kita ingin memperolehi penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dan DUN dengan majoriti yang jauh lebih besar.

Ketahuilah wahai bangsaku, 1 undi kepada Barisan Nasional bermaksud 1 undi kepada PEMBENTUKAN SEBUAH KERAJAAN PERSEKUTUAN YANG BERWIBAWA DAN BERTANGGUNGJAWAB! Justeru, kita perlu memahami keperluan emosi kehendak dan citarasa “Madh’u” sebagai kumpulan sasaran kita.

Persoalan ini telah diperingatkan banyak kali oleh Dato’ Sri Presiden kita harus menumpukan seluruh tenaga dan usaha melalui pendekatan “Micro-Targetting” dan GOTV (Get Out The Voters). Tidak boleh tidak wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang telah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus Retain and Regain semua kerusi yang kita sasarkan!

Kita perlu menang besar. Kita mesti utamakan parti. Justeru, ketepikan soal berkecil hati merajuk dan sabotaj parti kerana ia hanya akan melumpuhkan gerak kerja kita.

Sidang perwakilan sekalian.

Saya telah hamparkan sebahagian gerak kerja kita sebagai jentera parti untuk berhadapan pembangkang. Sebahagian lagi saya akan lontarkan sewaktu penjelajahan saya ke seluruh negara bersama dengan rakan-rakan seperjuangan terutamanya; Dato’ Sri Hishammuddin, Naib Presiden dan Dato’ Seri Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO serta barisan pengurusan parti.

Kepada rakyat Malaysia budiman terutama bangsa Melayu, UMNO amat berterima kasih di atas sokongan dan dokongan kepada kami selama ini. Saya bagi pihak institusi kepresidenan dan parti, mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua. Keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu anda semua membolehkan UMNO terus berdiri gah memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.


Ayuhlah duhai bangsa,

Masa kian menghampiri kita,

Medan tempur sudah di hadapan mata,

Bekalan perang sudah tersedia,


Pedang sudah di tangan,

Genggam erat strategi kemenangan

Panglima sudah ke depan,

Di mana kalian ?


Di mana Ibu Terbaik bangsa ?

Di mana Pemuda tiang negara ?

Di mana Puteri srikandi pembela?


Ayuh !

Kita berdiri atas nama perjuangan,

Mari tegakkan kebenaran,

Jejak petualang kita hapuskan,

Demi sebuah kelangsungan!

Lembayung Arjana Bangsa!


Dengan lafaz “Fassabih Biham Dirob Bikawas Taghfir Innahu Kanatau Waba”, saya dengan ini merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017.

Sekian Terima Kasih, Selamat bersidang.





No comments:

Post a Comment