Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan bertindak tegas terhadap pihak yang terlibat dalam kes seorang guru Melayu dibaling dengan buku dan alatan tulis di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor minggu lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, siasatan sedang dilakukan dengan memanggil pihak-pihak terlibat dengan segera.
“Namun, saya menasihatkan kepada semua pihak agar bersabar dan jangan menimbulkan sebarang spekulasi termasuk isu perkauman agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Para ibu bapa dan orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan sebarang tidak kepuasan hati terhadap pengurusan sekolah serta guru di laman sosial dan mereka hendaklah menggunakan saluran betul untuk berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Cek Peruntukan Tabung Penyelenggaraan Sekolah-Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2015 di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung dakwaan seorang guru Melayu dibaling dengan buku dan alatan tulis oleh bapa anak muridnya di SJKC Pai Chee di Mersing, Johor pada minggu lalu.
Guru terbabit, Salina Daud, 49, turut mendakwa, susulan kejadian itu, dia melaporkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan sekolah tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Sementara itu, Sin Woon memberitahu, kegagalan sekolah bantuan kerajaan yang menerima peruntukan penyelenggaraan untuk menghantar laporan pelaksanaan projek kepada pihak kementerian boleh menyebabkan mereka tidak akan menerima lagi bantuan itu untuk tahun seterusnya.
Katanya, bagi mengelakkan perkara tersebut, setiap sekolah diminta menghantar laporan pelaksanaan projek dengan lebih kerap bagi memudahkan pihak kementerian melakukan pemantauan.
“Sebenarnya langkah ini bertujuan mengetahui adakah peruntukan itu telah digunakan untuk tujuan penyelenggaraan atau sebaliknya.
“Saya berharap pihak lembaga pengelola sekolah dapat menggunakan sebaik-baiknya peruntukan ini bagi menaik taraf dan menyelenggara kemudahan infrastruktur agar dapat mewujudkan ruang pembelajaran yang selamat serta selesa kepada para pelajar,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment