Pages

Tuesday, May 26, 2015

PEMUDA UMNO SOKONG DALANG SEBAR VIDEO MUHYIDDIN DIAMBIL TINDAKAN




Pemuda Umno hari ini bersetuju agar penyebar video Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis tertutup pada minggu lalu diambil tindakan kerana mendedahkan tata rahsia parti.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kenyataan kedua-dua naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak sama sekali bercanggah antara satu sama lain.
"Jangan kata Shafie dan Zahid cakap benda yang berbeza. Saya hendak jelaskan di sini. Shafie kata itu bukan kesalahan jenayah, Zahid kata tindakan akan diambil bukan kesalahan jenayah. Kita akan ambil tindakan dalaman, parti.
Khairy berkata demikian pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur hari ini.
Shafie semalam menyifatkan tindakan individu yang mendedahkan video ucapan Muhyiddin dalam satu program di Janda Baik minggu lalu bukan satu kesalahan jenayah sehingga memerlukan tindakan tegas diambil.
Pendirian Shafie itu dilihat berbeza dengan kenyataan Zahid yang berjanji mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut.
Khairy berkata Pemuda Umno berpendirian, perlu ada kerahsiaan dalam hal parti terutamanya melibatkan majlis yang diadakan secara tertutup.
"Walaupun apa yang disebut timbalan presiden itu sangat penting, tetapi tindakan membocorkan rakaman itu tidak betul.
"Saya rasa kita perlu ambil tindakan terhadap pembocor maklumat tersebut, sebab dalam parti mesti ada kerahsiaan.
“Walaupun kita setuju dengan apa yang dicakap itu, tidak boleh di bawa keluar sebab kita cakap dalam mesyuarat,” katanya.
Minggu lalu, tersebar satu video berdurasi 7 minit memaparkan Muhyiddin menggesa individu terlibat dengan syarikat pelaburan negara 1MDB dipecat.
Muhyiddin juga mengesahkan membuat ucapan tersebut dan mempertahankan pendiriannya. – 26 Mei, 2015.

No comments:

Post a Comment