Pages

Tuesday, March 17, 2015

PM PUJI PENGANJURAN LIMA 2015 ADALAH YANG TERBAIK @HishamuddinH20 @NajibRazak





LANGKAWI - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji edisi Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) tahun ini sebagai yang terbaik sejak edisi pertama pada 1991, yang menyaksikan penyertaan pecah rekod, 512 syarikat dari 36 negara.

Ketika merasmikan pembukaan Lima'15, beliau berkata, bilangan penyertaan kali ini mengatasi jumlah 433 syarikat yang menyertai pameran itu, dua tahun lepas.

"Lima'15 menyaksikan banyak yang julung kali dan dengan kepelbagaian aspek dan dimensi pameran pada tahun ini, ia merupakan Lima terbaik yang kita pernah anjurkan," katanya pada majlis perasmian yang diadakan di atas landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini.



Najib berkata, Lima'15 juga mencatat sejarah berikutan kehadiran semua 10 Menteri Pertahanan Asean serta berlangsungnya Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) yang pertama kali, di Langkawi, dua hari lepas.

Perdana Menteri berkata, Lima telah melalui perjalanan yang panjang sejak julung kali diadakan pada 1991 semasa beliau menjawat jawatan menteri pertahanan dan ditugaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk  menganjurkannya.



Najib secara berseloroh berkata, beliau berdepan banyak kesukaran semasa menganjurkan Lima edisi pertama, berbanding Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang bertanggungjawab menganjurkan edisi terbaharu ini.

"Saya bermula dengan kosong, termasuk memastikan hotel disiapkan dalam tempoh 50 hari," katanya, mencetuskan gelak ketawa para hadirin.

Selain pameran maritim dan udara, katanya Lima'15 turut menyaksikan penganjuran pelbagai seminar termasuk Program Belia Asean, Persidangan Meja Bulat Panglima Tentera Laut dan Sidang Kemuncak Penerbangan Asean serta Latihan Menentang Terorisme Pelbagai Negara yang menggabungkan polis dan tentera.

Menurut Najib, Asean kekal sebagai pasaran menarik untuk konglomerat pertahanan global di sebalik pemotongan perbelanjaan oleh rantau lain.

Katanya, penerbitan terkemuka antarabangsa IHS Jane's meramalkan perbelanjaan pertahanan Asean akan meningkat kepada AS$44.5 bilion (RM164.65 bilion) pada 2018 berbanding AS$38.5 bilion (RM142.45 bilion) tahun ini.

"Rantau ini merupakan rantau penting dalam pertahanan dan sektor komersial lain. Latar belakang ini menjadikan Lima tempat terbaik bagi syarikat-syarikat," katanya sambil mengucap tahniah kepada penganjur yang memastikan acara dwitahunan ini berjaya.



Turut hadir pada majlis yang berlangsung di bawah terik matahari pagi Langkawi itu ialah, Hishamuddin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pegawai kanan kerajaan.

Hadir sama ialah semua 10 Menteri Pertahanan Asean yang baru selesai menghadiri ADMM selama dua hari di sini.

Majlis diakhiri dengan pertunjukan udara selama 10 minit oleh jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk terbang lintas aset terbaharu, Airbus A400M 'Atlas.


Lima 2015 berlangsung sehingga 21 Mac ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment