Pages
▼
Sunday, January 4, 2015
RIBUT : KERAJAAN PUSAT PERUNTUKKAN RM2 JUTA BAIKI RUMAH ROSAK @dzainalabidin @RRafizal @ReezalMerican
Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 549 rumah penduduk yang terjejas akibat ribut di sini Isnin lepas, kata anggota Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Beliau berkata 25 peratus daripada jumlah rumah terlibat telah selesai dibaiki secara bergotong-royong manakala baki dijangka siap sebelum sekolah dibuka pada 12 Januari ini.
"Kerja membaik pulih diurus oleh JKKKP (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan) dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sebagai badan penilai menggunakan dana Parlimen Balik Pulau," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan kejadian hari ini.
Beliau berkata peruntukan membaiki rumah yang rosak sama ada bumbung diterbangkan angin atau ditimpa pokok, diberi berdasarkan tiga tahap kerosakan, di samping bantuan kilat berupa wang tunai antara RM200 dan RM500.
Dalam pada itu, Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Firefly Airlines hari ini turut menyumbangkan 600 hamper bantuan untuk diagih kepada mangsa ribut.
Dalam kejadian antara 8 malam dan tengah malam 29 Disember lepas, puluhan kedai makan, sekolah dan sebuah masjid terjejas akibat dipukul ribut melibatkan kira-kira 1,500 penduduk.
Antara kawasan terlibat ialah 236 buah rumah di Kampung Sungai Rusa, Permatang Pasir (112), Kuala Sungai Pinang (39), Sungai Pinang (63), Pulau Betong (64), Jalan Bharu (21) serta Kuala Jalan Baru dan Pantai Acheh masing-masing tujuh buah.
Jabatan Meteorologi sebelum ini dalam kenyataan berkata ribut berkenaan membawa angin Langkisau dengan kelajuan 50 kilometer sejam dan ia disifatkan yang terburuk sejak 1967. - Bernama
No comments:
Post a Comment