Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan banjir yang melanda negeri ini sebagai malapetaka besar dan bukan fenomena biasa.
Pada masa yang sama, beliau mengumumkan kerajaan akan membina kediaman sementara dalam bentuk blok supaya mangsa banjir di negeri ini dapat menduduki kediaman tersebut untuk sementara waktu sehingga penempatan kekal dibina.
Beliau berkata, pihaknya perlu berunding dengan Kerajaan Pas Kelantan terlebih dahulu sebelum penempatan kekal dapat dibina.
‘‘Hari ini saya membuat tinjauan di daerah Gua Musang dan Kuala Krai, kedua-dua daerah ini merupakan kawasan yang paling berat atau teruk sekali.
‘‘Saya juga melihat keadaan di jambatan antara Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru yang mana air di kawasan itu naik hampir ke paras tiang lampu, cuba bayangkan jambatan itu sudah tinggi tetapi air naik lebih tinggi sehingga mencecah lampu jambatan ini.
‘‘Keadaan ini menggambarkan betapa dahsyat malapetaka menimpa negeri ini khususnya kawasan Kuala Krai sebab itu lawatan saya telah dapat kesimpulan, kita perlu melihat ini sebagai satu bencana atau malapetaka yang sangat berat dan bukan banjir biasa,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan sehari meninjau mangsa banjir ke Gua Musang dan Kuala Krai di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
Najib berkata, malapetaka tersebut berlaku disebabkan pembukaan tanah secara berleluasa terutama pembalakan yang berlebihan sehingga memberikan kesan kepada alam sekitar.
‘‘Tidak ada keadaan semula jadi yang boleh menahan air daripada turun ke sungai dengan begitu pantas. Kedua, balak yang mengalir dalam sungai membawa kesan sebab balak itu menutup laluan jambatan yang menyebabkan air melimpah kiri dan kanan jambatan Manek Urai,’’ katanya.
Sementara itu, katanya, pembinaan rumah sementara itu tidak termasuk dalam peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta yang diumumkan untuk negeri-negeri yang ditimpa bencana alam itu.
‘‘Ini semua kos tambahan yang saya dapat andaikan besar kali ini kalau kita hitungkan keperluan untuk seluruh negara, ini merupakan keperluan perbelanjaan yang cukup besar dan tidak dirancang tetapi perlu diperuntukkan oleh kerajaan.
‘‘Saya tanya berapa rumah yang musnah di Kuala Krai mereka tidak dapat bagi tahu saya secara tepat tetapi beratus buah rumah yang telah musnah sama sekali.
‘‘Yang tidak musnah pun mengalami kerosakan yang begitu berat sekali, saya berasa amat sedih dan apa yang saya lihat menyayat hati saya,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment