Pages
▼
Friday, July 18, 2014
Kenyataan penuh Perutusan Khas Nahas #MH17 , sidang tergempar Parlimen dipanggil !
PERUTUSAN KHAS-NAHAS MH17
OLEH
YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
1. Semalam, hari Khamis, 17 haribulan Julai 2014, dunia secara am dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah dikejutkan dengan tragedi tidak diduga, apabila pesawat komersial Boeing 777-222 Malaysia Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah diberitakan terhempas di kawasan Timur Ukraine.
2. Penerbangan tersebut dilaporkan telah berlepas pada jam 12.15 tengahari waktu tempatan dan dijadualkan tiba di KLIA pada jam 6.10 pagi waktu Malaysia. Pesawat berkenaan membawa sejumlah 298 orang yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. 43 orang daripadanya merupakan warganegara Malaysia termasuklah 2 orang bayi.
3. Pihak Malaysian Airlines telah mengesahkan menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara atau ATC, Ukraine yang ia terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
4. Justeru, bagi pihak Kerajaan, saya menzahirkan perasaan sangat dukacita dan pilu terhadap peristiwa tragik yang menimpa para penumpang serta anak-anak kapal tersebut.
5. Jadinya, Kerajaan ingin merakamkan ucapan takziah dan belasungkawa juga simpati yang amat mendalam kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan mangsa-mangsa tragedi. Makanya, diharapkan kepada semua, agar cekalkan semangat dan tabah menempuh dugaan amat berat ini.
Rakyat Malaysia Yang Kasihi Sekalian,
6. Sekalipun pesawat MH17 itu dipercayai ditembak jatuh, namun buat masa ini, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diabsahkan.
7. Walau apapun, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.
8. Selanjutnya, sebagai menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia, maka saya selaku Perdana Menteri, memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut.
No comments:
Post a Comment